Setiap kali aku berasa sepi tolong ingatkan aku, ya Allah
Bahawa aku tidak pernah sendiri.
Setiap kali aku gembira tolong ingatkan aku, ya Allah
bahawa hidup ini penuh cabaran.
Setiap kali aku jatuh & tersungkur tolong bangunkan aku, ya Rabb
agar jatuhku pada kali ke 7 dan bangkit untuk kali ke 8 nya.
Celikkan mataku pada pintu-pintu lain yang terbuka dan
tidak merenung pada pintu yang terkunci
sesungguhnya aku ini insan yang lemah, ya Rabb
gagah sekejap dan goyah berpanjangan.
Setiap kali aku leka tolong sedarkan aku pada maut, ya Allah
tolong ingatkan aku pada tanggungjawabku
agar aku hidup bagai seribu tahun berbudi
agar ibadatku bagai mati sedetik lagi
bukakanlah mindaku untuk kembali ke titik yang lurus
dan hindari aku dari keseronokan duniawi.
tolong ingatkan padaku bahawa segalanya dariMU
usah amarahku meracun hati
jangan takburku memakan diri
jauhkanlah aku daripada hasad dengki dan iri
padamkanlah kekecewaanku yang menggunung
lindungilah aku dari kezaliman dunia
Tolong ingatkan aku, Ya Rahman!
Tolong sedarkan aku, Ya Rahim!
Semuanya milikMU dan hanya kepunyaanMU
Tolong ingatkan bahawa aku hanya menumpang anugerahMU maka tidak layaklah bagiku untuk terasa-rasa.
Setiap kali aku meminta-minta
pada sesuatu yang amat aku idamkan
pada sesuatu yang sangat aku impikan
namun semuanya tidak kesampaian
tidak ia hinggap walau sedetik
tolong ingatkan aku, Ya Rabb
bahawa usaha itu ditanganku
namun semua ketentuan itu hanya milikMU
dan jika aku terus meminta, merintih dan mendesak
tolong ingatkan aku, Ya Rabb bahawa KAU Maha Mengetahui setiap sesuatu
bahawa segala yang aku mahu tak semestinya yang terindah
bahawa segala yang aku benci bukannya yang tercela
dan jika nanti aku berhenti berharap tolong sedarkan aku, Ya Rahman
bahawa pada ENGKAUlah aku perlu terus meminta
tolong ingatkan aku pada kuasa doa, Ya Rahim
yang tertuju hanya padaMU
tolong ingatkan aku, Ya Rabb bahawa KAU ialah Sang Pencipta
tiada yang mustahil bagiMU yang mewujudkan segala yang tiada
tolong ingatkan aku, Ya Rabb
agar terusku memanjatkan doa tanpa henti, tanpa jemu
dan tolong ingatkan aku, Ya Rabb bahawa doa itu hanya padaMU
dan jika suatu hari nanti KAU perlihatkan lagi kebesaranMU padaku
tolong ingatkan aku, Ya Rabb untuk bersyukur padaMU
tolong ingatkan aku sekali lagi, Ya Rabb bahawa KAU ialah Al-Khaliq
Maha Mencipta segala sesuatu
tolong ingatkan aku, Ya Rabb agar keajaiban itu mendekatkan aku lagi padaMU
dan tika aku meminta cinta yang lain maka tolong ingatkan aku bahawa ianya fana
cinta itu mungkin tertolak dan digelak
tolong ingatkan aku, Ya Rabb cinta itu tak akan seindah kasih dan sayangMU
cinta itu tak sehebat cintaMU
maka tolong ingatkan aku, Ya Rabb agar cinta itu takkan pernah melebihi cinta padaMU
dan moga cinta aku padanya adalah kerana agamanya yang tika imannya hilang melenyap
maka terpadamlah cintaku padanya dan sesungguhnya, Ya Allah... aku seorang insan yang lemah
maka aku mohon diperkuatkan semangat
agar resmiku sama seperti resmi si padi makan berisi makin menunduk
usahlah mengikut resmi bagai si lalang meliuk, melentuk ditiup angin, mendabik tinggi tatkala berisi
tolong ingatkan aku, Ya Allah untuk terus meminta padaMU
tolong ingatkan aku, Ya Allah agar selalu meluruskan niatku
agar ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untukMU.
P/S : Sesungguhnya aku sedang menasihatimu; bukanlah bererti
akulah yang terbaik dalam kalangan kamu & bukan juga
yang paling soleh dalam kalangan kamu kerana aku juga
pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya
seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila
dia sempurna, nescaya tak akan ada pendakwah. Maka
akan jadilah sedikit orang yang memberi peringatan.
(Imam Hassan Al-Basri)
No comments:
Post a Comment