Wednesday, 6 February 2013

Hebatnya Cinta Seorang Ibu.

Kasih sayang seorang ibu memang tiada tolok bandingannya di dunia. Banyak kejadian dan kisah yang membuktikan betapa agungnya kasih seorang ibu terhadap anaknya. Namun satu kisah yang ingin dipaparkan di sini ialah pengorbanan seorang ibu di China yang menyentuh hati masyarakat dunia tanpa mengira  sesiapa juga.
Pada 2008, China dilanda kejadian gempa bumi yang dahsyat sehingga mengorbankan ribuan nyawa dan kerugian berbillion-billion ringgit. Sebaik sahaja gempa bumi reda, sewaktu pasukan penyelamat tiba di suatu rumah yang telah musnah milik seorang wanita muda. Mereka terlihat sekujur tubuh dicelah-celah runtuhan tersebut.
 
Kedudukan bentuk badannya agak pelik  seolah-olah  dia sedang melutut (seperti orang sedang bersolat) dengan badannya menunduk ke hadapan dan kedua-dua tangannya seperti diampu sesuatu objek. Runtuhan rumah tersebut telah terkena pada bahagian belakang dan kepalanya. Ketua pasukan penyelamat dengan bersungguh-sungguh cuba untuk mencapai wanita tersebut dengan harapan wanita itu masih hidup. Namun begitu, keadaan badan wanita itu yang sejuk dan kaku menunjukkan bahawa dia sudah tiada lagi. Pasukan penyelamat lantas terus meninggalkan rumah tersebut.
Tiba-tiba, ketua pasukan penyelamat berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena lalu berpatah balik ke rumah tersebut. Dia berlutut sekali lagi dan cuba mencapai sedaya upayanya dicelah runtuhan untuk mencapai sedikit ruang kosong di bawah mayat wanita itu. Tiba-tiba, dia menjerit... "Ada bayi! Ada bayi di sini!"
Lantas seluruh pasukan penyelamat bekerjasama mengalihkan sisa runtuhan di sekeliling mayat wanita itu. Apa yang mereka lihat, ada seorang bayi lelaki yang berusia 3 bulan yang berbalut dengan selimut di dalam pelukan wanita itu. Ternyata wanita itu telah terkorban ketika melindungi bayinya. Ketika gempa bumi berlaku, dia telah menggunakan tubuhnya sebagai perisai pelindung bagi bayinya. Bayi tersebut masih nyenyak tidur ketika ketua pasukan penyelamat mengangkatnya keluar daripada celah runtuhan.
Doktor dengan pantas memeriksa keadaan bayi tersebut dan ketika mereka membuka balutan selimut bayi lelaki itu, terjumpa sebuah telefon bimbit dan terpampang di skrin telefon tersebut sepotong pesanan bertaip... "Sekiranya kamu selamat, ingatlah bahawa ibu menyayangimu..." Pesanan ini telah dibaca oleh semua orang yang berada di situ. Mereka yang ada di situ menangis dan tersentuh.
Walaupun membaca cerita ini berulang kali, tetap mampu membuatkan hati bergetar dengan kesayuan berserta keinsafan yang mendalam. Diharap kisah ini dapat membuatkan kita merenung kembali pengorbanan dan kasih sayang yang diberi oleh ibu kita. Janganlah mengikut kata hati sehingga kita gagal melihat perasaan kasih yang mendalam ibu terhadap kita.
Walaupun selalu arahan dan nasihatnya tidak kita turuti, janganlah malu atau terlalu ego untuk memohon ampun dan maaf. Tidak perlu menyusun kata-kata yang berbelit-belit dan adakalanya pelukan erat daripada seorang anak mampu meleburkan segala kemarahan di hati ibu. Percayalah, walaupun tanpa kata-kata, ia tetap dapat difahami.
Kepada pembaca yang pernah nakal suatu waktu dahulu, ingin saya  titipkan suatu pesanan... "Jangan sesekali menipu ibu" kerana Allah SWT telah menganugerahkan kepada semua ibu suatu naluri yang sangat kuat dan memberi gambaran betapa eratnya perhubungan antara ibu dan anak. Ia merupakan suatu kelebihan yang hanya akan kita fahami jika kita seorang ibu. Buat pembaca  dan sahabat yang sudah kehilangan ibu tercinta (seperti saya... sorry hujan sekejap...), tiada yang lebih bermakna selain doa dan Al-Fatihah setiap kali usai solat.
 
P/S :   Aku tidak berharap untuk menjadi orang terpenting dalam
            hidupmu kerana itu merupakan permintaan yang terlalu besar
            bagiku... Aku hanya berharap suatu saat nanti jika kau
            melihatku, kau akan tersenyum dan berkata... "Dialah yang
            selalu menyayangiku. Dialah ibuku!"
 

No comments:

Post a Comment