Biasanya apabila seorang anak perempuan yang sudah dewasa, yang sudah bekerja di perantauan, yang sudah berkahwin, yang sudah belajar di luar negara atau yang sedang bersekolah di sekolah berasrama sering merasa rindu pada bondanya. Bagaimana dengan ayah? Abah? Abi atau papa? Mungkin kerana bonda yang selalu menelefon untuk bertanyakan khabar anakanda setiap hari. Tetapi, tahukah anakanda bahawa ayahlah yang selalu sahaja mengingatkan bonda untuk menelefonmu. Mungkin sewaktu kecilmu, bonda selalu bercerita dan bergurau denganmu. Tetapi, tahukah anakanda bahawa tatkala pulang sahaja ayah ke rumah dengan wajah lelah terus bertanya pada bonda tentang khabarmu dan apa yang telah anakanda lakukan seharian.
Sewaktu anakanda kecil, ayah mengajarmu mengayuh basikal. Setelah yakin bahawa anakanda telah mahir, ayah akan membiarkan anakanda mengayuh sendirian tetapi bonda melarang. Kata bonda... "Nanti dulu, ayahnya. Jangan dibiarkan anak itu. Nanti jatuh." Sedarkah anakanda... bahawa ayah dengan yakin akan membiarkan anakanda, menatap anakanda dan menjagamu mengayuh basikal kerana yakin anakanda boleh melakukannya.
Pada saat anakanda menangis meminta sesuatu, bonda akan menatapmu dengan hiba tetapi ayah akan mengatakan dengan tegas... "Boleh! Kita akan belinya nanti tetapi bukan sekarang." Tahukah anakanda bahawa ayah melakukan semua itu kerana ayah tidak mahu anakanda menjadi anak manja dengan semua kehendak anakanda selalu dipenuhi. Saat anakanda sakit, ayahlah manusia yang paling bimbang selepas bonda sehingga adakalanya terdengar ayah membentak sendirian... "Sudah dilarang jangan minum ais tapi tak mahu dengar kata." Berbeza dengan bonda yang menasihatimu dengan lembut tetapi tahukah anakanda bahawa ayah amat bimbang akan keadaanmu. Hanya ayah malu untuk menunjukkan padamu sahaja.
Ketika usia anakanda meningkat remaja, anakanda mula meminta untuk keluar berseronok dengan teman-teman tetapi ayah kata... "Tak boleh!" Ayah melarang. Tahukah anakanda, ayah lakukan semua itu untuk menjagamu kerana bagi ayah, anakanda adalah sesuatu yang sangat luar biasa berharga kepadanya. Setelah itu anakanda masuk ke kamar sambil menghempas pintu. Yang datang mengetuk dan memujuk adalah bonda. Tahukah anakanda bahawa ayahlah yang menyuruh bonda untuk memujukmu sedangkan pada waktu itu ayah memejamkan matanya dan menahan gejolak hatinya melihat tingkahmu itu. Ketahuilah anakanda bahawa ayah memang ingin memenuhi keinginanmu itu tetapi ayah memang seorang ayah yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatanmu dari ancaman dunia luar yang amat kejam. Anakanda belum tahu bagaimana rakusnya dunia luar kepada seorang gadis sepertimu.
Setelah berjaya menamatkan era sekolah menengah, ayah menasihati anakanda untuk menjadi seorang doktor ataupun peguam. Ketahuilah anakanda, semua yang ayah lakukan itu kerana memikirkan masa depanmu tetapi ayah tetap tersenyum walaupun anakanda memilih pilihan yang tidak sama dengan keinginan ayah. Ketika anakanda dapat melanjutkan pelajaran di tempat orang, ayah harus melepaskanmu tetapi tahukah anakanda bahawa badan ayah terasa kaku untuk memelukmu. Ayah hanya tersenyum dan memberikan nasihat itu dan ini serta menyuruhmu berhati-hati; padahal ayah ingin sekali menangis seperti bonda dan memelukmu erat-erat. Yang ayah lakukan hanyalah menghapuskan sedikit air matanya di sudut mata dan menepuk bahumu dan berkata... "Jaga dirimu baik-baik, ya sayang." Ayah lakukan semua itu agar anakanda kuat... kuat untuk pergi menjadi dewasa.
Pada saat anakanda memerlukan wang untuk membiayai pelajaran dan kehidupan anakanda, orang pertama yang mengerutkan dahinya ialah ayah. Ayah akan berusaha keras mencari jalan agar anakanda boleh merasa sama dengan teman-teman anakanda yang lain. Ketika permintaanmu bukan lagi sekadar boneka dan ayah tahu bahawa dia tidak mampu untuk memberikan apa yang anakanda minta... kata-kata yang keluar daripada mulut ayah... "Tidak! Tak boleh!" Ketahuilah olehmu bahawa ayah ingin sekali mahu berkata padamu... "Ya, sayang! Nanti jika ada duit ayah belikan, ya. Sabar, ya sayang!" Tahukah anakanda bahawa pada masa itu betapa sakitnya hati ayah apabila tidak dapat memenuhi permintaanmu itu kerana ayah merasa ayah gagal membahagiakan anak ayah.
Sewaktu anakanda menerima segulung ijazah, ayah adalah orang pertama yang berdiri dan memberikan tepukan untukmu. Ayah akan tersenyum bangga dan puas melihat puteri kesayangannya berjaya meraih segulung ijazah. Tertunailah hasrat ayah apabila melihat anakanda dapat meneruskan impiannya untuk mendapat segulung ijazah.
Apabila anakanda dilamar oleh seorang lelaki, ayah amat berhati-hati dalam memberikan keizinannya kerana ayah tahu lelaki inilah yang akan mengambil alih tugasnya untuk menjagamu. Akhirnya, sewaktu anakanda diijab kabulkan, ayah tersenyum bahagia. Adakah anakanda mengetahui pada hari bersejarah itu, ayah akan melarikan wajahnya ke suatu sudut yang terpencil sebentar untuk menangis. Ayah menangis kerana sangat bahagian dan ayah akan menadah tangan berdoa kepadaNYA... "Ya, Allah! Tugasku telah selesai dengan baik. Anakku telah menjadi wanita yang cantik. Bahagiakanlah dia bersama dengan suaminya."
Dialah... AYAH - orang pertama yang selalu yakin bahawa puteri-puteri kesayangannya boleh dalam segala hal. Sayangilah ayah anakanda kerana selepas dia tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempatnya.
P/S : I remember getting hugs from my father when I cried... huhuhu...
Memories hurts so much...
No comments:
Post a Comment