Perkenankanlah kami, manusia-manusia malam, menuliskan sebuah surat cinta kepadamu; seperti halnya cinta kami pada waktu malam-malam yang kami rajut sepertiga terakhir. Atau seperti cinta kami pada keagungan dan rahsianya yang penuh pesona. Kami tahu dirimu bersusah-payah lepas tengah hari, berharap intan dan mutiara dunia. Namun kami tidak perlu bersusah-payah sebab malam-malam kami berhiaskan intan dan mutiara dari Syurga.
Wahai orang-orang yang terlelap,
Sungguh nikmat malam-malammu. Gelapnya yang pekat membuatkan matamu tidak mampu melihat kuasa cahaya yang tersembunyi di sebaliknya. Sunyi senyapnya membuat dirimu hanyut tidak menghiraukan seruan cinta. Dinginnya yang merasuk semakin membuat dirimu terlena menikmati tidurmu di atas pembaringan, bergeliat manja di sebalik selimutmu yang demikian hangatnya. Aduhai, engkau sangat menikmatinya!
Wahai orang-orang yeng terlena,
Ketahuilah kami tidak seperti dirimu yang setiap malam terpejam matanya, yang terlelap pulas tidak terkira atau yang terlena oleh suasananya yang begitu menggoda. Kami tidak seperti dirimu! Kami adalah para perindu kamar di Syurga. Tidak pernahkah kau dengar Rasulullah SAW bersabda... "Sesungguhnya di Syurga itu ada kamar yang sisi luarnya terlihat dari dalam dan sisi dalamnya terlihat dari luar. Disediakan untuk mereka yang memberi makan orang-orang yang memerlukannya, menyebarkan salam serta mendirikan solat pada saat manusia terlelap dalam tidur malam." Sudahkah kau dengar tadi? Ya, sebuah kamar yang menakjubkan untuk kami dan orang-orang yang mendirikan solat pada saat manusia yang lain tertutup mata dan hatinya.
Wahai, orang-orang yang keluarganya hampa cinta,
Kau pasti mendengar namaku disebut. Aku, Abu Hurairah, periwayat hadis. Kerinduanku akan sepertiga malam adalah hal yang tidak terperi. Penghujung malam adalah kenikmatan terbesar. Tapi tahukah engkau? Kenikmatan itu tidak serta-merta kukecapi sendiri. Aku bahagi malam-malamku yang penuh syahdu itu menjadi tiga. Satu untukku, untuk isteriku dan satu lagi untuk pelayan yang aku kasihi. Jika salah satu dari kami selesai mendirikan solat maka kami bersegera membangunkan yang lain untuk menikmati bahagiannya. Subhanallah! Tidak tergerakkah dirimu? Pedulikah kau pada keluargamu?
Lain lagi dengan aku, Nuruddin Zanki. Sejarah mencatatkan aku sebagai Sang Penakluk kepada kesombongan Pasukan Salib. Suatu ketika, seorang ulama tersohor, Ibnu Katsir menyatakan bahawa... "Nuruddin itu kecanduan solat malam, banyak berpuasa dan berjihad dengan akidah yang benar." Kemenangan demi kemenangan aku raih bersama pasukanku. Bahkan pasukan musuh ada mengatakan... "Nuruddin Mahmud Zanki menang bukan kerana pasukannya yang banyak tetapi kerana dia mempunyai rahsia bersama Tuhan." Aku tersenyum; mereka memang benar. Kemenangan yang kuraih adalah kerana doa dan solat-solat malamku yang penuh kekhusyukan.
Tahukah kamu siapa orang yang setia mendampingiku? Dialah, isteriku, Khatun Atabik. Dia adalah isteri solehah di mataku, terlebih di mata Allah SWT. Malam-malam kami adalah penuh kemesraan dalam bingkai Tuhan. Gemersik dedaunan dan desahan angin seakan menjadi peneman kami saat mendung di mata kami jatuh berderai dalam sujud kami yang panjang. Kuceritakan padamu, suatu hari ada kejadian yang membuat belahan jiwaku nampak murung. Kutanyakan padanya apa yang membuatkannya resah. Ya, Allah! Ternyata dia tertidur, tidak bangun pada malam itu sehingga kehilangan kesempatan untuk beribadat. Astaghfirullah! Aku menyesal telah membuatkannya kecewa. Setelah peristiwa itu, kubayar penyesalanku itu dengan mengupah seorang pengawal khusus untuknya untuk menabuh gendang agar kami terbangun di sepertiga malam.
Wahai, orang-orang yang terbuai,
Kau pasti mengenalku dalam kisah pembebasan Al-Aqsa, rumah Allah SWT yang diberkati. Akulah pengukir tinta emas itu, seorang Panglima Perang Salahuddin Al-Ayubi. Orang-orang yang hidup pada zamanku mengenaliku tidak lebih dari seorang panglima yang selalu menjaga solat berjemaah. Kesenanganku adalah mendengarkan bacaan Al-Quran yang indah dan syahdu. Malam-malamku adalah saat yang paling kutunggu. Saat-saat di mana aku bercengkerama dengan Tuhanku sedangkan siang hariku adalah perjuangan-perjuangan nyata.
Wahai, orang-orang yang masih terlena,
Pernahkah kau mendengar kisah penaklukan Konstantinopel? Akulah orang di sebalik penaklukan itu, Sultan Muhammad Al-Fateh. Aku sangat tegas dalam memimpin bala tenteraku. Namun, tahukah kau bahawa sehari sebelum penaklukan itu, aku telah mengarahkan kepada pasukanku untuk berpuasa pada siang harinya dan pada malamnya pula, kami laksanakan solat malam dan bermunajat penuh harapan akan pertolonganNYA. Jika Allah SWT memberikan kematian kepada kami pada siang hari pada saat kami berjuang, maka kesyahidan itulah harapan kami yang terbesar. Biarlah siang hari kami berada di hujung kematian.
Wahai, orang-orang yang gelap mata dan hatinya,
Pernahkah kau mendengar kisah penduduk Basrah yang kekeringan? Mereka sangat merindukan air yang keluar dari celah-celah awan sebab terik matahari begitu terasa menyengat. Padang pasir semakin kontang dan tandus. Suatu hari mereka sepakat untuk mengadakan Solat Istisqa yang dipimpin oleh seorang ulama. Ada wajah-wajah besar yang turut solat bersama seperti Malik bin Dinar, Atha'As-Sulami dan Tsabit Al-Bunani. Solat dimulai, dua rakaat selesai. Harapan terbesar mereka adalah hujan yang penuh barakah.
Namun waktu terus berlalu siang, matahari kian meninggi; tiada tanda-tanda hujan akan turun. Mendung tidak datang, langit tetap membisu, tetap cerah dan biru. Dalam hati mereka tertanya-tanya apakah dosa yang telah mereka lakukan sehingga tiada hujan. Solat demi solat didirikan namun hujan tidak kunjung tiba. Hinggalah pada suatu malam, Malik bin Dinar dan Tsabit Al-Bunani terjaga . Pada saat malam itulah, aku, Maimun, seorang pelayan berwajah kuyu, berkulit hitam dan berpakaian usang datang ke masjid. Langkahku menuju ke mihrab dan kuniatkan untuk solat Istisqa sendirian.
Selesai solat dengan penuh kekhusyukan aku menadahkan tanganku ke langit lalu berdoa... "Tuhanku, betapa banyak hamba-hambaMU yang berkali-kali datang kepadaMU memohon sesuatu yang sebenarnya tidak mengurangi sedikitpun kekuasaanMU. Apakah ini kerana apa yang ada padaMU sudah habis? Atau adakah perbendaharaan kekuasaanMU telah hilang? Tuhanku, aku bersumpah atas namaMU dengan kecintaanMU kepadaku agar ENGKAU berkenan memberi kami hujan secepatnya."
Tiba-tiba, angin langsung datang bergemuruh dengan cepat, mendung tebal di atas langit seakan runtuh mendengar doa seorang pelayan ini. Doa aku dimakbulkan Tuhan. Hujan turun dengan lebatnya, membasahi bumi yang tandus. Malik bin Dinar dan Tsabit Al-Bunani berasa hairan lalu kukatakan kepada mereka... "Aku hanya seorang budak miskin harta yang hitam pekat mungkin lebih pekat dari malam-malam yang kulalui. Hanya manusia biasa tetapi aku menjadi sangat luar biasa kerana doaku yang makbul dan malam-malam yang kupenuhi dengan tangisan dan taqarrub padaNYA."
Wahai, orang-orang yang masih sahaja terpejam,
Penghujung malam adalah detik-detik termahal bagiku, Imam Nawawi. Suatu hari, muridku bertanya kepadaku, bagaimana aku boleh menghasilkan pelbagai karya. Bila waktu aku berehat? Bagaimana aku mengatur waktu tidurku? Lalu aku jelaskan kepadanya... "Jika aku mengantuk, aku akan hentikan solatku dan bersandar pada buku-bukuku sejenak. Selang beberapa waktu, jika aku segar kembali aku akan meneruskan ibadahku." Aku tahu kau pasti berfikir bahawa hal ini sukar dijangkau oleh akalmu yang sihat tetapi itulah yang telah aku lalui dan sekarang kau boleh menikmati pelbagai karyaku.
Wahai, orang-orang yang tergoda,
Begitu kuatkah syaitan mengikat lehermu saat engkau tidur? Ya, sangat kuat! Tiga ikatan di tengkuk lehermu itu lalu dia menepuk setiap ikatan itu sambil berkata... "Hai, manusia! Engkau masih punya malam yang panjang kerana itu tidurlah."
Sedarlah! Jangan kau dengarkan kata-kata syaitan itu. Semuanya tipu muslihatnya. Syaitan itu berbohong. Maka bangunlah. Kerahkan kekuatanmu untuk menangkis godaannya. Sebutlah nama Allah SWT maka akan lepas ikatan yang pertama. Kemudian berwuduklah maka akan lepaslah ikatan yang kedua dan yang terakhir, solatlah. Solat seperti kami maka akan terlepaslah semua ikatan-ikatan itu.
P/S : Aku terkenang arwah mak mertuaku yang tidak pernah lekang
dengan solat malamnya dan mulutnya tidak pernah letih
mengaji Al-Quran. Kini aku betul-betul rindu dengan mak.
Apakah aku boleh mengikut jejak mak? Mampukah aku? Makkk...
Mak.. aku betul-betul rindu akan mak! Al-Fatihah... |
assalamualaikum acik...hehhee kite da jmpe blog acik... :)
ReplyDeleteAssalamualaikum, Cik Ecah...
DeleteAda juga orang yang baca blog acik ni, ya. Alhamdulillah! Moga-moga dapat memberi peringatan dan inspirasi kepada semua pembaca. Anyway, thanks. You are the first person yang beri komen. Thanks alot. Jangan lupa follow selalu. Ajaklah member semua.