Saturday, 23 February 2013

Siapalah aku di hadapan Tuhanku...

Allahuakbar... Allahuakbar...
Allahuakbar... Allahuakbar...
Subuhnya - di mana aku berada?
Masih enak dalam kelambu rindu dan selimut cinta
sambil berfoya-foya dengan waktu
masa bagaikan menderu dan langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin di hujung waktu
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Zohor - aku lebih memikirkan kelaparanku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku selalu bertolak ansur dengan waktu
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku gadaikan sebuah ketaatan
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Asar - aku lupa warna masa cepat berubah
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak di hujung kepala
aku masih bercerita tentang hebatnya Tuah yang setia
dan Si Jebat yang derhaka
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Maghrib - aku leka melihat warna malam yang menutupi senja
tetapi aku masih berlegar di sebalik takbirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalannya bertongkat-tongkat nanti
ruginya bertingkat-tingkat
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Isyak - kerana masanya nan panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan menggangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut cintaku
bercumbuan dengan waktu dan anganku
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Kini, aku semakin tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjidku menjadi sepi
kerana di hujung hidupku ada mati.
 
P/S :   Adakalanya kita terlupa, kita jauh daripada Allah dan lalai
             dalam menjaga hubungan kita denganNYA. Sebab itulah
             jangan ditanya mengapa kita lemah saat derita menimpa
             kerana kita rasa bantuan itu tiada daripadaNYA. Ubatnya
             adalah mendekat kepada Ilahi; biar dahi melekat ke bumi
             dan sujudmu yang penuh berkat.
 



No comments:

Post a Comment