Tuesday, 26 February 2013

Hebatnya kasih ibu...

Aku terkedu melihat beberapa photo ini...

Alangkah hebatnya kasih ibu ini! Sanggup pertarungkan nyawanya demi kasih kepada anaknya.
 
 
 
 
P/S :   My mother gave me life & never once asked for
             anything in return. That is her secret you know;
             always giving without expectations. She's as
             constant as the sunrise, the moon, the stars &
             I count on her. She helps me find my way through
             the years & makes me laugh while doing it.
             There are somethings that only a mother can do.
              Mak... how I miss you so much!


Ya, ALLAH, tolong ingatkan aku...

Setiap kali aku berasa sepi tolong ingatkan aku, ya Allah
Bahawa aku tidak pernah sendiri.
Setiap kali aku gembira tolong ingatkan aku, ya Allah
bahawa hidup ini penuh cabaran.
Setiap kali aku jatuh & tersungkur tolong bangunkan aku, ya Rabb
agar jatuhku pada kali ke 7 dan bangkit untuk kali ke 8 nya.
Celikkan mataku pada pintu-pintu lain yang terbuka dan
tidak merenung pada pintu yang terkunci
sesungguhnya aku ini insan yang lemah, ya Rabb
gagah sekejap dan goyah berpanjangan.
Setiap kali aku leka tolong sedarkan aku pada maut, ya Allah
tolong ingatkan aku pada tanggungjawabku
agar aku hidup bagai seribu tahun berbudi
agar ibadatku bagai mati sedetik lagi
bukakanlah mindaku untuk kembali ke titik yang lurus
dan hindari aku dari keseronokan duniawi.
Setiap kali aku terasa-rasa
tolong ingatkan padaku bahawa segalanya dariMU
usah amarahku meracun hati
jangan takburku memakan diri
jauhkanlah aku daripada hasad dengki dan iri
padamkanlah kekecewaanku yang menggunung
lindungilah aku dari kezaliman dunia
Tolong ingatkan aku, Ya Rahman!
Tolong sedarkan aku, Ya Rahim!
Semuanya milikMU dan hanya kepunyaanMU
Tolong ingatkan bahawa aku hanya menumpang anugerahMU maka tidak layaklah bagiku untuk terasa-rasa.
Setiap kali aku meminta-minta
pada sesuatu yang amat aku idamkan
pada sesuatu yang sangat aku impikan
namun semuanya tidak kesampaian
tidak ia hinggap walau sedetik
tolong ingatkan aku, Ya Rabb
bahawa usaha itu ditanganku
namun semua ketentuan itu hanya milikMU
dan jika aku terus meminta, merintih dan mendesak
tolong ingatkan aku, Ya Rabb bahawa KAU Maha Mengetahui setiap sesuatu
bahawa segala yang aku mahu tak semestinya yang terindah
bahawa segala yang aku benci bukannya yang tercela
dan jika nanti aku berhenti berharap tolong sedarkan aku, Ya Rahman
bahawa pada ENGKAUlah aku perlu terus meminta
tolong ingatkan aku pada kuasa doa, Ya Rahim
yang tertuju hanya padaMU
tolong ingatkan aku, Ya Rabb bahawa KAU ialah Sang Pencipta
tiada yang mustahil bagiMU yang mewujudkan segala yang tiada
tolong ingatkan aku, Ya Rabb
agar terusku memanjatkan doa tanpa henti, tanpa jemu
dan tolong ingatkan aku, Ya Rabb bahawa doa itu hanya padaMU
dan jika suatu hari nanti KAU perlihatkan lagi kebesaranMU padaku
tolong ingatkan aku, Ya Rabb untuk bersyukur padaMU
tolong ingatkan aku sekali lagi, Ya Rabb bahawa KAU ialah Al-Khaliq
Maha Mencipta segala sesuatu
tolong ingatkan aku, Ya Rabb agar keajaiban itu mendekatkan aku lagi padaMU
dan tika aku meminta cinta yang lain maka tolong ingatkan aku bahawa ianya fana
cinta itu mungkin tertolak dan digelak
tolong ingatkan aku, Ya Rabb cinta itu tak akan seindah kasih dan sayangMU
cinta itu tak sehebat cintaMU
maka tolong ingatkan aku, Ya Rabb agar cinta itu takkan pernah melebihi cinta padaMU
dan moga cinta aku padanya adalah kerana agamanya yang tika imannya hilang melenyap
maka terpadamlah cintaku padanya dan sesungguhnya, Ya Allah... aku seorang insan yang lemah
maka aku mohon diperkuatkan semangat
agar resmiku sama seperti resmi si padi makan berisi makin menunduk
usahlah mengikut resmi bagai si lalang meliuk, melentuk ditiup angin, mendabik tinggi tatkala berisi
tolong ingatkan aku, Ya Allah untuk terus meminta padaMU
tolong ingatkan aku, Ya Allah agar selalu meluruskan niatku
agar ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untukMU.
 
 
P/S :   Sesungguhnya aku sedang menasihatimu; bukanlah bererti
              akulah yang terbaik dalam kalangan kamu & bukan juga
              yang paling soleh dalam kalangan kamu kerana aku juga
              pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya
              seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila
              dia sempurna, nescaya tak akan ada pendakwah. Maka
              akan jadilah sedikit orang yang memberi peringatan.
              (Imam Hassan Al-Basri)

  


Monday, 25 February 2013

Tuhan bagi otak untuk kita berfikir...

Yang selalu dibuat - Apabila berlaku kematian, waris si mati akan mengadakan kenduri arwah (selalunya pada malam pertama , kedua dan ketiga serta seterusnya). Kononnya jika tidak dibuat kenduri, roh si arwah akan menangis (katanya leee...). Tetapi,
Yang lebih patut dibuat - Rasulullah SAW menganjurkan jiran tetanggalah yang memasak makanan untuk keluarga si mati bagi meringankan kesusahan serta kesedihan mereka. Tetapi, masyarakat kita hari ini sudah terbalik; keluarga yang sedang bersedih akibat kematian pula yang terpaksa menjamu dan menyediakan serta mengeluarkan belanja untuk kenduri arwah.
Yang selalu dibuat - Kalau menghadiri majlis walimatulurus tak tergamak rasanya kalau tak bawa hadiah atau sekurang-kurangnya sampul surat berisi. Hakikatnya, tuan rumah panggil tetamu ke majlis kenduri untuk jamuan makan dan bukannya menambahkan pendapatan. Tetapi,
Yang lebih patut dibuat - Mengapa pula apabila menziarahi keluarga si mati kita salam kosong sahaja (tak ada sampul berisi). Sepatutnya jika menziarahi keluarga si mati, kita patut bersedekah kerana lebih besar pahalanya kerana dapat menggembirakan hati orang yang sedang dilanda musibah.
Yang selalu dibuat - Bukan main segak lagi kita apabila menteri atau orang-orang besar nak melawat tempat kita; siap ada pakai bau-bauan lagi. Kasut berkilat. Yang pompuan pulak, siap tempah baju ala-ala artis gitu. Tetapi,
Yang lebih patut dibuat - Apabila menghadap Allah SWT, mengapa selekeh bukan main lagi. Yang lelaki, pakai kain pelikat aje... baju entah ke mana. Maklumlah, janji tutup pusat hingga ke lutut. Yang pompuan pulak, berkemban aje dengan alasan janji aurat ditutup dengan telekung. Nak pakai baju... panas. Hampeh sungguh!
Yang selalu dibuat - Datang ke rumah orang, tuan rumah jamu dengan pelbagai makanan. Rasa segan lak nak habiskan nanti orang kata pelahap. Kuat melantak. Jadi kita tinggalkanlah sedikit agar tidak jatuh air muka kita walaupun tuan rumah mendesak agar habiskan. (Senang nak basuh; tak payah mak simpan-simpan). Tetapi,
Yang lebih patut dibuat - Sebenarnya Rasulullah SAW ada menyarankan ` agar jangan membazir'. Jadi habiskanlah apa yang dihidangkan agar tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
Yang selalu dibuat - Banyak ibu bapa amat bimbang jika anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka akan dihantarlah anak-anak itu ke kelas tuisyen; biarpun bayarannya mahal giler. Tetapi,
Yang lebih patut dibuat - Sepatutnya ibu bapa rasa bimbang jika anak-anak mereka tidak pandai membaca Al-Quran lagi walaupun sudah akal baligh. Selain dihantar ke tuisyen, anak-anak sepatutnya dihantar juga ke kelas mengaji Al-Quran. Ini tidak, kalau nak bayar guru tuisyen sebulan beratus ringgit pun tak dak hal punya tetapi untuk bayar kelas mengaji sebanyak RM15 jer, tangan punyalah mengeletar habis; hampir-hampir nak kena kepialu.
Yang selalu dibuat - Kalau bekerja mencari rezeki, tak kira siang ataupun malam, hujan ke, ribut ke; janji masyuk. Tetapi,
Yang lebih patut dibuat - Rumah Allah, masjid, surau... tak da hujan, ribut pun tetap malas nak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia sebegini; rezeki Allah ditagih tetapi nak ke rumahNYA segan dan malas.
Jadi sebagai manusia yang diberi akal... fikir-fikirkanlah!
 
P/S :   As I look back on my life, I realize that every time I thought
             I was being rejected from something good, I was actually
             being re-directed to something better.
 
 
 

 
 

Saturday, 23 February 2013

Siapalah aku di hadapan Tuhanku...

Allahuakbar... Allahuakbar...
Allahuakbar... Allahuakbar...
Subuhnya - di mana aku berada?
Masih enak dalam kelambu rindu dan selimut cinta
sambil berfoya-foya dengan waktu
masa bagaikan menderu dan langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin di hujung waktu
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Zohor - aku lebih memikirkan kelaparanku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku selalu bertolak ansur dengan waktu
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku gadaikan sebuah ketaatan
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Asar - aku lupa warna masa cepat berubah
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak di hujung kepala
aku masih bercerita tentang hebatnya Tuah yang setia
dan Si Jebat yang derhaka
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Maghrib - aku leka melihat warna malam yang menutupi senja
tetapi aku masih berlegar di sebalik takbirnya
mencari sisa-sisa keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalannya bertongkat-tongkat nanti
ruginya bertingkat-tingkat
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Isyak - kerana masanya nan panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan menggangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut cintaku
bercumbuan dengan waktu dan anganku
siapalah aku di hadapan Tuhanku?
Kini, aku semakin tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan Masjidku menjadi sepi
kerana di hujung hidupku ada mati.
 
P/S :   Adakalanya kita terlupa, kita jauh daripada Allah dan lalai
             dalam menjaga hubungan kita denganNYA. Sebab itulah
             jangan ditanya mengapa kita lemah saat derita menimpa
             kerana kita rasa bantuan itu tiada daripadaNYA. Ubatnya
             adalah mendekat kepada Ilahi; biar dahi melekat ke bumi
             dan sujudmu yang penuh berkat.
 



Shyyy...! Hanya Tuhan yang tahu...

        Biasanya apabila seorang anak perempuan yang sudah dewasa, yang sudah bekerja di perantauan, yang sudah berkahwin, yang sudah belajar di luar negara atau yang sedang bersekolah di sekolah berasrama sering merasa rindu pada bondanya. Bagaimana dengan ayah? Abah? Abi atau papa? Mungkin kerana bonda yang selalu menelefon untuk bertanyakan khabar anakanda setiap hari. Tetapi, tahukah anakanda bahawa ayahlah yang selalu sahaja mengingatkan bonda untuk menelefonmu. Mungkin sewaktu kecilmu, bonda selalu bercerita dan bergurau denganmu. Tetapi, tahukah anakanda bahawa tatkala pulang sahaja ayah ke rumah dengan wajah lelah terus bertanya pada bonda tentang khabarmu dan apa yang telah anakanda lakukan seharian.
        Sewaktu anakanda kecil, ayah mengajarmu mengayuh basikal. Setelah yakin bahawa anakanda telah mahir, ayah akan membiarkan anakanda mengayuh sendirian tetapi bonda melarang. Kata bonda... "Nanti dulu, ayahnya. Jangan dibiarkan anak itu. Nanti jatuh." Sedarkah anakanda... bahawa ayah dengan yakin akan membiarkan anakanda, menatap anakanda dan menjagamu mengayuh basikal kerana yakin anakanda boleh melakukannya.
        Pada saat anakanda menangis meminta sesuatu, bonda akan menatapmu dengan hiba tetapi ayah akan mengatakan dengan tegas... "Boleh! Kita akan belinya nanti tetapi bukan sekarang." Tahukah anakanda bahawa ayah melakukan semua itu kerana ayah tidak mahu anakanda menjadi anak manja dengan semua kehendak anakanda selalu dipenuhi. Saat anakanda sakit, ayahlah manusia yang paling bimbang selepas bonda sehingga adakalanya terdengar ayah membentak sendirian... "Sudah dilarang jangan minum ais tapi tak mahu dengar kata." Berbeza dengan bonda yang menasihatimu dengan lembut tetapi tahukah anakanda bahawa ayah amat bimbang akan keadaanmu. Hanya ayah malu untuk menunjukkan padamu sahaja.
        Ketika usia anakanda meningkat remaja, anakanda mula meminta untuk keluar berseronok dengan teman-teman tetapi ayah kata... "Tak boleh!" Ayah melarang. Tahukah anakanda, ayah lakukan semua itu untuk menjagamu kerana bagi ayah, anakanda adalah sesuatu yang sangat luar biasa berharga kepadanya. Setelah itu anakanda masuk ke kamar sambil menghempas pintu. Yang datang mengetuk dan memujuk adalah bonda. Tahukah anakanda bahawa ayahlah yang menyuruh bonda untuk memujukmu sedangkan pada waktu itu ayah memejamkan matanya dan menahan gejolak hatinya melihat tingkahmu itu. Ketahuilah anakanda bahawa ayah memang ingin memenuhi keinginanmu itu tetapi ayah memang seorang ayah yang bertanggungjawab dalam menjaga keselamatanmu dari ancaman dunia luar yang amat kejam. Anakanda belum tahu bagaimana rakusnya dunia luar kepada seorang gadis sepertimu.
        Setelah berjaya menamatkan era sekolah menengah, ayah menasihati anakanda untuk menjadi seorang doktor ataupun peguam. Ketahuilah anakanda, semua yang ayah lakukan itu kerana memikirkan masa depanmu tetapi ayah tetap tersenyum walaupun anakanda memilih pilihan yang tidak sama dengan keinginan ayah. Ketika anakanda dapat melanjutkan pelajaran di tempat orang, ayah harus melepaskanmu tetapi tahukah anakanda bahawa badan ayah terasa kaku untuk memelukmu. Ayah hanya tersenyum dan memberikan nasihat itu dan ini serta menyuruhmu berhati-hati; padahal ayah ingin sekali menangis seperti bonda dan memelukmu erat-erat. Yang ayah lakukan hanyalah menghapuskan sedikit air matanya di sudut mata dan menepuk bahumu dan berkata... "Jaga dirimu baik-baik, ya sayang." Ayah lakukan semua itu agar anakanda kuat... kuat untuk pergi menjadi dewasa.
        Pada saat anakanda memerlukan wang untuk membiayai pelajaran dan kehidupan anakanda, orang pertama yang mengerutkan dahinya ialah ayah. Ayah akan berusaha keras mencari jalan agar anakanda boleh merasa sama dengan teman-teman anakanda yang lain. Ketika permintaanmu bukan lagi sekadar boneka dan ayah tahu bahawa dia tidak mampu untuk memberikan apa yang anakanda minta... kata-kata yang keluar daripada mulut ayah... "Tidak! Tak boleh!" Ketahuilah olehmu bahawa ayah ingin sekali mahu berkata padamu... "Ya, sayang! Nanti jika ada duit ayah belikan, ya. Sabar, ya sayang!" Tahukah anakanda bahawa pada masa itu betapa sakitnya hati ayah apabila tidak dapat memenuhi permintaanmu itu kerana  ayah merasa ayah gagal membahagiakan anak ayah.
        Sewaktu anakanda menerima segulung ijazah, ayah adalah orang pertama yang berdiri dan memberikan tepukan untukmu. Ayah akan tersenyum bangga dan puas melihat puteri kesayangannya berjaya meraih segulung ijazah. Tertunailah hasrat ayah apabila melihat anakanda dapat meneruskan impiannya untuk mendapat segulung ijazah.
        Apabila anakanda dilamar oleh seorang lelaki, ayah amat berhati-hati dalam memberikan keizinannya kerana ayah tahu lelaki inilah yang akan mengambil alih tugasnya untuk menjagamu. Akhirnya, sewaktu anakanda diijab kabulkan, ayah tersenyum bahagia. Adakah anakanda mengetahui pada hari bersejarah itu, ayah akan melarikan wajahnya ke suatu sudut yang terpencil sebentar untuk menangis. Ayah menangis kerana sangat bahagian dan ayah akan menadah tangan berdoa kepadaNYA... "Ya, Allah! Tugasku telah selesai dengan baik. Anakku telah menjadi wanita yang cantik. Bahagiakanlah dia bersama dengan suaminya."
        Dialah... AYAH - orang pertama yang selalu yakin bahawa puteri-puteri kesayangannya boleh dalam segala hal. Sayangilah ayah anakanda kerana selepas dia tiada sesiapa yang dapat menggantikan tempatnya.
P/S :   I remember getting hugs from my father when I cried... huhuhu...
              Memories hurts so much...
 

Tuesday, 19 February 2013

Apabila sendirian begini...

Apabila sendirian begini...
aku diriuhkan sepi
gelisah bergeseran
menderaskan rasa gemuruh
bagai air terjun
mengocak ketenanganku.
Apabila sendirian begini...
aku dibingitkan rasa bosan
keluh saling berselisihan
bagai keretapi malam
merempuh kebahagiaanku.
Apabila sendirian begini...
ruang ini menjadi medan akal
yang diriuhkan pengalaman dan perasaan
berantukan perpanjangan
lalu aku padamkan api itu
di atas sejadah keimanan
kulafazkan doa dan zikir berpanjangan
tidak lagi mengunyah kebatilan.
Apabila sendirian begini...
peliharalah aku dalam kegelapanMU.
 

P/S :   Ya, Allah... When I'm alone and had nothing, I asked for
              a friend to help me bear my pain. No one come except
              YOU, ALLAH. Thank you, ALLAH!

Jangan sampai pandangan menjadi fitnah.

        Pepatah Inggeris ada mengatakan "Don't judge a book by it's cover!" Ertinya jangan menilai seseorang berdasarkan luarannya. Jika dikaji semula, pepatah ini ada asasnya. Kita selalu cenderung menilai orang lain berdasarkan penampilan perlakunya. Orang pertama yang kita jumpa akan kita nilai (pandangan pendapat) atau `first impression' (kata omputeh lee...) Tak apalah tu, mungkin itu fitrah. Itu juga salah satu cara yang kita gunakan untuk memilih sama ada sesuai untuk dibuat kawan atau tidak. Tetapi dah nama pun `pandangan', jadi tanggapan itu mungkin salah.
        Seeloknya pandangan atau pendapat itu kita simpan sendiri atau kita selidik kebenarannya. Bukan sebarkan pada orang lain tanpa mengambil kira asasnya. Jika pendapat kita betul, maka tak jadi masalah tetapi jika salah... bukankah itu fitnah?
        "... dan fitnah itu lebih kejam daripada pembunuhan..."  (Al-Baqarah 2:191)
Orang kata orang diam itu sombong.
Orang kata orang yang bising itu suka publisiti.
Orang kata orang yang menundukkan kepala itu penakut.
Orang kata orang yang mendongak ke langit itu berlagak.
Semuanya orang kata...
Dan semua kata-kata itu datangnya dari mata; mata yang tertipu
Itulah mata yang celik tetapi buta
Siapa tahu, diamnya itu kerana berfikir
Siapa tahu, bisingnya itu kerana memberi peringatan
Siapa tahu, kepala yang ditundukkan itu kerana menjaga pandangan
Siapa tahu, kepala yang didongakkan itu kerana menikmati kebesaran Allah SWT
dan siapa tahu bahawa orang yang berkata-kata itu punya unsur fitnah?
        "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita maka telitilah (untuk menentukan) kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan) yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."
(Al-Hujurat 49:6)
        Fitnah itu besar pengaruhnya. Fitnahlah punca Saidina Umar Al-Affan dibunuh, punca perang berlaku antara Saidina Ali RA dengan Saidatina Aisyah. Ingatlah! Sedangkan kawan-kawan atau pasangan kita yang sudah bertahun-tahun bersamapun belum tentu betul-betul kita kenali atau difahami, inikan pula orang yang baru kita jumpa. Jangan terlalu cepat menilai seseorang kerana yang zahirnya jahat tidak semstinya jahat.
 
P/S :   Just because I'm not talking doesn't mean I'm in a bad mood.
             Sometimes I just like being quiet.
             My silence is just another words for my pain. Huhuhu...