Sunday, 24 July 2016

Cerita tentang sakit (sambungan...'Aku ingin menulis lagi')

(sambungan...)

Merenung ke luar jendela; mengira bintang-bintang di langit (menangis isk...isk...isk...)
"Kenapa ya? Bintang di langit tak terkira banyaknya; agaknya sama macam dosa-dosa aku. Gulp!"
Hampir setiap orang amat obses hendak meninggalkan sesuatu di dunia ini; meninggalkan sebuah warisan ataupun kenangan. Bertahan selepas suatu kematian. Memanglah kita semua nak dikenang; aku pun sama. Aku juga nak meninggalkan sesuatu kesan pada semua orang yg aku sayang dan pada semua yg membenci aku.

Oppss!!! Okay lah! Mungkin akulah penulis yang cukup teruk tetapi aku rasa aku dah tak mampu nak susun idea-idea aku sebab semuanya dah berkecamuk macam benang kusut. Ayat-ayat cinta aku dah macam bintang di langit yang aku dah tak boleh petakkan untuk menjadi buruj. Huhuhu...

Apabila aku mula-mula tahu yang aku sakit...
Doktor ler yang memberitahu aku yang aku mungkin ada peluang untuk bebas daripada penyakit ini atau mungkin aku akan menanggung penyakit ini sepanjang hayat aku. Aku tahu bahawa doktor itu bukannya Tuhan yang boleh menentukan hidup dan matinya seseorang pesakit itu dan aku juga tahu semua yang doktor itu katakan adalah suatu kemungkinan yang besar dan yang aku tahu, aku tak suka dengar apa-apa yang doktor itu katakan. 

Hidup aku kini semacam suatu permainan 'Russian Roulette' di mana hidup dan mati aku ditentukan dengan nasib; iaitu aku mungkin akan menderita selama-lamanya atau mungkin aku akan hanya kehilangan kaki sahaja ataupun aku akan menanggungnya sampai aku mati. 

Sabar!
Terkadang dalam mengenal erti 'sabar', airmata ini mengalir juga menahan kesakitan namun kubisikkan pada hati..."bersabarlah dan bertahanlah kerana dalam sabar itu ada keindahannya".
Memang semakin kita dewasa semakin banyak kita kena bersabar dan mengalah dengan orang di sekeliling kita; semakin banyak kita kena jaga hati orang dan mungkin juga rasa sakit hati dengan orang yang tak pernah nak memahami kita. Pada mereka yang pernah dan yang tak pernah faham... terima kasih kerana telah memberi aku luka itu. Aku akan jadikan luka itu sebagai pintu Hijrahku.

"Wahai hati! Aku tahu kau dah tak kuat lagi tetapi tolong ler jadi kuat untuk aku dan untuk mereka yang aku sayang. Masih banyak lagi dugaan dan cabaran hidup yang perlu aku hadapi bersama dengannya." 

Ya Allah, apabila tiba saat aku pergi, izinkan aku bisikkan di telinganya tentang ayat-ayat cintaku ini...
"Abang kena banyak sabar. Setiap manusia yang hidup itu pasti akan mati. Kalau ikutkan hati saya, memang saya tak nak mati; saya nak bersama abang sampai bila-bila tapi saya ni manusia biasa-biasa saja. Tiba masa, saya pasti mati; lama atau cepat... semuanya rahsia Allah. Kita ni manusia memang takut dengan kehilangan tetapi kehilangan itu adalah sebahagian daripada kehidupan, Kehilangan itu mengajar abang dan buat abang sedar bahawa waktu terlama manusia itu tetap di akhirat sana. Ya, bang... kehilangan itu memang sakit tetapi lagi sakit jika abang terlampau pegang seseorang dalam hidup abang sehinggakan abang abaikan segala kebahagiaan yang belum abang kecapi. Abang... kalau masa saya sampai nanti, abang ampunkan semua dosa saya, halalkan makan, minum dan pakai saya ya. Dan jangan lupa post pada saya ayat-ayat cinta Allah sebab saya memang memerlukannya di sana nanti..."

Dalam kesamaran malam itu...aku kecup pipinya dan kucium tangannya sepuas-puas hatiku.

"Abang... andai tangan kita tidak saling melepaskan; mungkin kini kita tak akan merasakan sesuatu yang bernama kerinduan..." 
Dia menangis teresak-esak sambil menggenggam tanganku seperti tidak akan berpisah lagi. Aku tersenyum dalam kesakitan tetapi aku rasa puas; puas melafazkan apa yang ingin aku lafazkan.

Saat jarak memisahkan kita, satu sahaja yang harus kau ketahui... akan aku jaga cinta ini untukmu.

-bersambung lagi-

No comments:

Post a Comment