Rindu untuk menulis lagi seperti dahulu. Tulisan terakhir yang kutulis "Apabila aku jatuh sakit..." pada 2 Mei 2014 di blog ini; sebelum aku diuji Allah dengan kematian.
"Kenapa Allah uji aku?"
"Dosa kau banyak sangat kot. Kafarah!"
"Gulp!!!"
Apabila mengenangkan dosa yang senantiasa dilakukan sama ada yang sengaja ataupun tidak, dosa yang nyata mahupun yang tersembunyi; terasa sungguh ketat dalam dada ini; sukar untuk bernafas, lemah segala tulang sendi. Namun apabila merasakan keampunan Allah lebih banyak dan lebih luas dari seisi langit dan bumi, air mata terus mengalir sepi. Mungkin kau lihat aku yang paling kuat bertahan di sini tetapi sekejap ya... aku akan rebah menangis di hadapan Tuhanku.
"Allahu Rabbi!"
"Jikalau dah tertulis di langit; takkan tergelincir walau satu inci takdir kita di landasanNYA."
Aku memang suka menulis. Aku menulis bukan untuk sesiapa atau kerana sesiapa ataupin bukan untuk apa-apa tetapi kerana hati dan minda yang mendesak jari ini untuk terus menulis. Selagi aku menulis, tak ada sesiapa yang akan dapat menghukumku atas pendapat yang aku berikan. Tak ada sesiapa yang akan menyekatku dengan menyampaikan pendirianku ini.
Sewaktu menulis... langit mula menggelap. Mungkin langit akan menangis sebentar lagi kerana menyambut kerinduanku ini. Beberapa titisan air yang turun benar-benar menyegarkan hati tetapi berlaku hanya sebentar sahaja. Awan merajuk agaknya. Hujan yang dinanti tak jadi membasahi bumi. Hati ini dan langit seakan sudah sepakat untuk menjadi muram dan hitam.
Sakit?!
Memang tak seronok. Tapi kena banyak bersabar. Katanya di samping dapat menggugurkan dosa; boleh juga menyambung silaturrahim. Ya lah... ramai yang akan datang berziarah, saling bertemu muka, berkumpul, saling bawa buah tangan, penuh dengan senyuman rindu, ucapan doa yang tak lekang-lekang di bibir. Apabila sakit, kita akan salurkan semua kesakitan itu melalui tangisan. Duka yang seketika itu akan Allah gantikan dengan kegembiraan yang tidak terhingga. In Sha Allah!
Orang yang tak alaminya tak akan faham. Jadi, kalau kita tak boleh memberi semangat pada orang yang sakit, baik diam sahaja. Bukan menyesali takdir Ilahi cuma terkadang diri ini rebah; rasa tak berdaya.
"Wahai, hati...tabahlah!"
Apabila sakit atau demam, yang selalu ada dalam kepala aku adalah 'mati'. Bukannya aku tak takut pada mati... takut sesangat sebab amalanku cuma sekangkang kera jer; belum lagi sekangkang kingkong. Mengingati mati memang menakutkan. Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup dan akibatnya mati akan terus jadi mati dalam kamus hidup kita.
*bersambung*
No comments:
Post a Comment