Wednesday, 20 June 2012

Sesekali kenangan itu datang...

Rumah Atuk Lias dan Atuk Siti di Parit Kancil, Bakri, Muar, Johor.
Sesekali apabila kenangan itu datang, aku jadi teramat rindu. Di sinilah aku membesar. Aku duduk bersama atuk sewaktu aku baru masuk Darjah Dua selepas abah dan mak aku berpisah. Di bawah rumah itulah aku selalu bermain congkak bersama kakak dan abang aku. ,~ ~,
Pasar Awam Maharani, Muar, Johor.
Sesekali apabila kenangan itu datang... aku jadi teramat rindu. Pasar ini banyak meninggalkan kenangan aku dan suamiku dengan arwah mak aku. Selalunya jika kami balik bercuti, arwah mak akan mengajak kami ke sini untuk membeli ikan mayung kegemarannya (aku juga). Mak aku akan masak ikan mayung asam pedas yang paling hebat di dunia ini. Tetapi sekarang.... (maaf yek, hujan sekejap)... aku tak akan dapat merasa air tangan mak lagi. Makkkk....!!!
Bandar Muar
Sesekali apabila kenangan datang... aku jadi teramat rindu. Jalan inilah yang akan aku lalui jika sesekali aku pulang ke Muar. Sarapan pagi orang Muar yang paling popular adalah Satey dan Mee Bandung Muar. Kalau tidak percaya, datanglah ke Muar.
Mee Siput Goreng
Sesekali apabila kenangan datang... aku jadi teramat rindu. Inilah makanan kegemaran aku waktu kecil. Mee siput (itu panggilan di kampung aku) tetapi di Perak depa kata mee sanggul. Di kampung aku ada sorang atuk ni yang jual mee siput. 20 sen satu. Sambal dia... fuhh... best giler. Bercerita tentang mee siput ni, terliur pulak aku.
Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Muar
Sesekali apabila kenangan datang... aku jadi teramat rindu. Di sekolah inilah aku menimba ilmu. Di sebelah kanak adalah Sekolah Rendah Kebangsaan Convent dari 1979 hingga 1983 (aku bersekolah dari Darjah 2 Biru - Darjah 6 Biru). Di sebelah kiri pula adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Convent dari 1984 hingga 1988 (dari Form 1 - Form 5) Selalunya jika ada aktiviti, aku akan stay kat sekolah dan lepak kat hall yang ada tulis Dewan Budaya. Selalunya aktiviti sukan. Pada masa itu rumah sukan ada 4 sahaja iaitu Rumah Intan (Kuning), Rumah Mutiara (Biru), Rumah Delima (Merah) dan Rumah Zamrud (Hijau). Aku dalam pasukan Rumah Mutiara. Banyak kenangan aku kat sekolah ni... Rindunya!
Aku masih ingat lagi lagu sekolah yang akan dinyanyikan setiap kali ada perhimpunan. Tajuknya..

"From Each Her Best".
Through the school gates in the morning
as the bell rings out for class
all in the blue and white you see us
as in doubles file we pass.
As the years slip by in studies
busy hours of work and play
as we learn the greatest lessons
how to live life's little day.

- chorus -
Keep the school tourch burning
through the days of learning
time is precious as the hours fly by so fast
Cheerfully, obeying, all together staying
one in spirit, one in heart
in our Convent school.

Through the sun may not be shining
there's a hidden silver trend
if you turn the dark clouds inside out
you'll find in the end.
In the search for truth and knowledge
happy hearted, light and free
strong in duty to our calling
 Loyal Convent Girl's will be.

Faithful to the pattern set us
in the years that follow on
we'll remember all the lessons
like a verse of some sweet song
all the hours we spent together
in the classroom, hall or field
and our hearts will turn as memories burn
dear Convent school to you.
Sekolah Menangah Kebangsaan Dato' Sri Amar DiRaja, Muar
Sesekali apabila rindu datang... aku jadi teramat rindu. Selepas habis Form 5 di Sekolah Convent, aku dapat tawaran ke Form 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sri Amar Muar, tahun 1989 - 1990. Di sekolah ini tak berapa banyak kenangan yang aku ada cuma sewaktu di sekolah ini aku telah memenangi Peraduan Menulis Skrip Drama Sejarah pada peringkat Kebangsaan. Dahsyat giler... aku tewaskan semua sekolah dalam Malaysia ni. Skrip aku juga dinobatkan sebagai skrip terbaik. Dan yang aku tak boleh lupa ada sorang cikgu tu, kalau tak silap aku namanya Cikgu Shamsuddin, ajar subjek Ekonomi (entah ada lagi atau tidak cikgu tu). Cikgu tu selalu panggil nama aku `budak baru' dan selalu suruh aku jawap soalan cepumasnya. Tu je le kenangan aku. (sedih le pulak...)
Alone
Aku teringat satu lirik yang dinyanyikan oleh Opick berjudul Maha Melihat. Liriknya betul-betul menyentuh dan menghiris naluri aku yang selalu dihimpit pelbagai kenangan.
"Andai bisaku mengulang waktu hilang dan terbuang,
 Andai bisaku kembali hapus semua pedih,
 Andai mungkin aku bisa kembali ulang segalanya,
 Tapi hidup takkan bisa meskipun dengan air mata."
P/S  :  Sesekali aku mengintai di balik awan...
           Aku bukannya insan yang petah berbicara melalui mulut tetapi
           meluahkan melalui tulisan. Segalanya jadi lebih mudah untuk
           diluahkan kerana pengalaman itu memberi erti pada hati & minda.

Tuesday, 19 June 2012

Umat Islam tidak perlu disusun...

Dalam satu program yang bertajuk `One Family' dari `Channel Online Islamik' (MAJD); speakernya, Dr Yahya AlYahya (Ketua CALL to Islam Committe Amerika Syarikat) mengatakan bahawa umat Islam tidak pernah perlu diatur. Mereka hanya perlu yakin sahaja. Beliau menceritakan kisah berkenaan seorang bukan Islam (Non-Muslim) Amerika Syarikat yang sedang berbincang dengannya mengenai Islam sambil Dr Yahya menonton secara langsung siaran dari Kaabah di TV.
 

Orang Amerika Syarikat sangat kagum tentang bagaimana sebegitu ramai orang di Masjidil Haram (lebih daripada 3 juta umat Islam) berada di sana pada malam terakhir bulan Ramadhan; begitu sesak sehingga tidak teratur.
Dr Yahya bertanya pada Non-Muslim itu... "Berapa lama anda fikir mereka akan turun untuk menyusun dalam barisan dan mula solat?"
Non-Muslim itu menjawab... "Dua atau tiga jam."
Dr Yahya berkata... "Tetapi Masjidil Haram dari Kaabah ada 4 tingkat."
Non-Muslim itu menjawab... "Oh, itu akan memakan masa 12 jam untuk mengatur mereka."
Dr Yahya berkata lagi... "Anda mesti ingat bahawa mereka berasal dari negara-negara di seluruh dunia dan dengan bahasa yang berbeza."
Non-Muslim berkata pula... "Hal ini sangat mustahil untuk mereka menyusun barisan dengan apa cara sekalipun."
Kemudian tiba waktu solat dan Imam berkata... "Estawod! (Tetapkan dirimu!)"
Dan dalam beberapa saat sahaja, seluruh pemandangan berubah dan berkerumun 3 juta umat Islam lalu menetapkan diri sendiri dalam barisan dengan teratur dan lebih baik dalam masa beberapa saat sahaja itu.
Orang Amerika Syarikat menatap kaca TV itu untuk beberapa saat dan kemudian kedengaran dia berkata... "Ash-hadu Allah illaha illallah, wa ash-hadu anna Muhammad Rasulullah."

Kredit : Isuhangat

P/S  :  Takbir (3 kali)
           Hasbi rabbi jallallah...
           Ma fi qalbi ghayrullah...
           Nur Muhammad Sallallah...
           La illaha illallah....


Masih Mahukah Kita Berdiam Diri Lagi?

Apa kata Pendita Za'aba mengenai Melayu...
"Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu adalah melatih dirinya menjadi peminta sedekah. Maka, tidak ia akan sampai ke mana-mana dalam pekerjaan dalam mencapai kejayaan. Jika dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa-apa yang ia boleh berbesar hati kerananya sebab ianya bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri; hanya dapat dengan pertolongan orang lain."
"Perangai suka meminta tolong sahaja walaupun meminta tolong kepada Allah SWT dengan tidak menjalankan usaha ikhtiar dengan secukupnya; sangat tidak betul kepada Islam."

Kiasan yang dilampiaskan oleh Pendita Za'aba terhadap orang Melayu dalam majalah `Qalam' (bilangan 19:1952) adalah amat wajar untuk direnung. Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak kerajaan semata-mata harus dikaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris.

Pendita Za'aba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad adalah seorang cendekiawan Melayu yang disegani dan turut melakukan  kritik terhadap bangsanya. Dalam dunia di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan perniagaan, penerokaan bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan serta kekuatan peribadi yang terbabit dengannya.

Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari `kambing hitam' dalam jalan keluar daripada masalah. Malah terdapat kecenderungan yang amat aktif di kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan elektronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan dan merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah serius dan menyentuh mengenai jati diri serta kekuatan bangsa Melayu itu sendiri.

Dalam bukunya berjudul `Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri', DBP 1982; beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.
Pendapat Orientalis Barat tentang bangsa Melayu...
"Menurut teori yang saya tidak bantah, masyarakat Melayu pada dasarnya baik budi pekerti; mereka tidak berjiwa tamak dan apabila mereka dapat, mereka puas dengan keperluan pada masa itu maka mereka bahagia -  mereka sangat percaya pada pepatah bahawa kecukupan pada hari ini merupakan pengganti kemalangan," kata John Cameron, 1865; Our Tropical Possession in Malayan India.
"Kesulitan tentang tenaga kerja ini barangkali harus diatasi dengan mengambil kuli dari India kerana orang Melayu tidak mahu bekerja kecuali untuk dirinya sendiri" - Isabella Bird, Februari 1879, Taiping, Perak.
"Satu faktor penting dalam penanaman getah dan kelapa di Malaya adalah tenaga kerja. Penduduk asli Malaya tidak cukup jumlahnya dan tidak sesuai dalam banyak hal lapangan kerja di ladang besar, orang Melayu membenci pekerjaan rutin," kata B.J. Eaton, 1923, Agriculture.
"Orang Melayu memiliki tahap kelambanan yang luar biasa. Iklim Tropika yang basah, malaria, tanah yang mempermainkan tanaman, tatacara kemewahan para pemimpinnya, yang membuat rumah bagus dan pakaian bagus yang merbahaya bagi petani - semuanya telah menonton pilihannya untuk bersikap diam, kehidupan tanpa cita-cita. Dia lebih senang mengharungi jalan di sungai atau bekerja di dalam lumpur sawah daripada menjadi budak yang dikendalikan oleh jam dalam ruang kerja atau pejabat," kata R.O. Winstedt, 1956, Malaya and It's History.
"Orang-orang Melayu adalah penjebak yang ulung dan mereka memborong hadiah yang dibayar oleh pemerintah untuk pembasmian hama. Pada tahun 1904 dibayar sekitar lima ringgit atas hasil jeratan termasuk 45 ekor harimau, 20 ekor harimau tutul dan 13 ekor harimau kumbang di samping 989 ekor ular, 1130 ekor buaya dan 1732 butir telur buaya."
"Selama sekitar 15 tahun di Raub, tidak kurang lima terowong yang dibina oleh para pengendali Melayu, tidak pernah ada kemalangan kerana kesemberonoan mereka."
"Pada dasarnya, orang Melayu adalah pemalas, orang Cina adalah pencuri dan orang India adalah pemabuk; namun masing-masing dalam kelompok pekerjaan khususnya; murah dan cekap apabila betul-betul diawasi," kata C.G. Warnford Lock, 1970, Mining in Malaya for Gold and Tin.
Sikap dan kemiskinan bangsa Melayu pada 1840-an...
"Jika orang Melayu yang besar, orang Melayu mesti mempelajari dan memelihara secermatnya bahasa Melayu di samping menerima serta menambah pengetahuan baharu." Kata-kata Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir ini dipetik dari bukunya yang bertajuk `Kisah Pelayaran Abdullah' yang mendedahkan kemiskinan orang Melayu. Pada ketika itu ramai yang marah kerana kelancangan Abdullah. Watak seperti Munsyi Abdullah sering kali tidak popular, menjadi tohmahan dan dilupai oleh sejarah.
Catatan sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke 18, orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah bin Abdul Kadir atau Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah di antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya, `Hikayat Abdullah (1840an) mengandungi pandangan beliau mengenai beberapa adat kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai penyebab kepada kemunduran bangsa Melayu.
Munsyi Abdullah dalam buku-buku `Hikayat Abdullah' dan `Hikayat Pelayaran Abdullah' turut membuat kritikan yang pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke 19. Beliau menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas mereka, kurangnya ilmu pengetahuan di kalangan mereka, cara hidup mereka sehinggalah episod perpecahan di kalangan mereka.
Abdullah tidak sahaja mengkritik tetapi memberi cadangan bagaimana kehidupan orang Melayu dapat diperbaiki. Munsyi Abdullah memberikan pandangan bagaimana mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kelemahan mereka. Beliau juga turun ke lapangan, belayar ke negeri-negeri Melayu, melawan ombak, mengharungi ancaman lanun dan perang saudara bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika itu.
'Kisah Pelayaran Abdullah' bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga dimuatkan keinsafan dan nasihat tentang nasib orang Melayu sendiri. Beliau menjadi pengkritik bangsa yang berterus-terang dan konstruktif.
Malangnya hari ini ada di kalangan orang Melayu sendiri, mereka yang duduk dalam keselesaan dan kemewahan, yang tidak pernah merasa kesusahan dan penderitaan rakyat mahu menjadi juara bagi pihak orang Melayu.

Wahai saudaraku, bangsa Melayu!
Bangunlah daripada tidur lenamu... bangkitlah!
Sudah puas kita dicaci, dihina, ditindas di negara sendiri... bangkitlah Melayu!
Selamatkanlah maruah bangsa kita agar anak-anak kita tidak menjadi asing di bumi sendiri.
Jangan kita wariskan kehinaan dan kemiskinan ini pada anak-anak kita.
Kitalah tuan di negara kita dan bukannya mereka.
(Takbir 3 kali)

P/S  :  mengkritik tidak bererti menentang
           menyetujui tidak bererti menyokong
           menegur tidak bermakna membenci
           dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang terbaik



Wednesday, 13 June 2012

Menangislah, wahai anakku!

Anakku...
Ingin aku berbicara denganmu tentang tangisan. Sesungguhnya tangisan itu adalah kehidupan. Bukankah hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri juga dengan tangisan. Seorang bayi dilahirkan dengan tangisan. dewasanya dengan pelbagai ujian yang dipenuhi dengan tangisan dan kelak dia akan mati dan dihantar ke kubur dengan tangisan.

Anakku...
Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata putus asa kerana cinta akan dunia harganya persis setitis air kotor di perlimbahan. Namun setitis air mata kerana takut akan Allah SWT umpama permata yang indah gemerlapan. Penghuni Syurga adalah mereka yang banyak berdukacita di dunia. Mereka sangat bimbang; apakah kiranya nasib mereka di akhirat - apakah di Syurga atau di Neraka? Pencinta dunia pula menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.

"Alangkah sempitnya kuburku nanti," keluh seorang abid. Lalu dia menambah amal bakti dengan ikhlas dan sabar agar kuburnya nanti luas melebar. Daripada mata yang redup merenung hari akhirat yang dirasakannya semakin dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap keampunan.
"Alangkah sedikitnya hartaku ini," kesal si hartawan lalu dia semakin tamak menimbun harta tanpa kira halal dan haram. Daripada mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus dan rakus, mengalirlah air mata kecewa kegagalan.

Anakku...
Tangisan itu adalah basahan hidup. Manusia itu senantiasa ada dalam dua tangisan; sama ada tangisan yang membawa keuntungan ataupun tangisan yang membawa kerugian. Sabda Rasulullah SAW... "Ada dua titisan yang Allah SWT cintai iaitu yang pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takut akan Allah SWT. Dan tangisan seorang pendosa, lebih Allah SWT sukai daripada tasbih para wali."

Kejahatan yang diiringi rasa sedih lebih Allah SWT sukai daripada satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Kejahatan kita mungkin diampuni jika kita bertaubat dengan hati yang merendah diri. Kebaikan kita mungkin tertolak apabila rasa takbur menguasai hati. Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan kita menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya.
Anakku...
Ketahuilah olehmu bahawa ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa keterlaluan seorang ulama, hilang ilmu dan hilang wibawanya. Ketawa seorang yang jahil akan semakin keraslah hatinya dan perasaannya.
Nabi Muhammad SAW bersabda...
"Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa."
Seorang hukuma pernah bersyair... "Aku hairan dan aku pelik melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan."

Justeru, para salafus soleh (generasi awal Islam), menangislah walaupun telah banyak beramal; takut-takut amal itu tidak diterima sedangkan kita ketawa walaupun kita sedar diri masih kosong daripada amalan. Lupakah kita bahawa Rasulullah SAW bersabda...
"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke dalam Neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira yang kita idam-idamkan tercapai. Kita menangis jika yang kita cita-citakan terbarai di tengah jalan. Nikmat disambut ria dan ujian menjemput duka. Benarkah begitu keadaannya? Padahal Allah SWT telah berfirman...
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ianya buruk bagimu. Allah SWT mengetahui; sedangkan kamu tidak mengetahui."
Menangislah, anakku...
Menangislah agar senyumanmu banyak di kemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu di puak kanan ataupun di puak kiri. Di sana lembaran sejarahmu akan dibuka satu-persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya sehingga datang syafaat Rasulullah SAW yang agung itu.
Kenangilah sungai-sungai yang mengalir di dunia ini umpama banjir air mata Nabi Adam AS yang menangis kerana taubatnya bapa sekalian manusia.

Menangislah seperti Saidina Ali RA dengan hibanya berkata...
"Wahai, dunia! Janganlah engkau menipu aku. Tipulah orang lain."
Menangislah seperti Saidina Umar Al-Khattab RA yang selalu memukul dirinya dengan berkata...
"Kalau semua manusia masuk ke dalam Syurga kecuali seorang; aku takut akulah orang itu."
Menangislah sebagaimana seorang wanita Ansar yang apabila ditanya...
"Mengapa engkau menangis?"
"Aku menangis kerana tiada mempunyai anak lagi untuk aku hantar berperang."
Ibnu Mas'ud RA berkata...
"Seorang yang mengerti Al-Quran dikenali pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur dan pada waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa. Sedihnya ketika orang lain sedang bergembira dan tangisnya pada waktu orang lain ketawa. Diamnya pada waktu orang lain berbicara. Khusyuknya pada waktu orang lain berbangga. Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu bertenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah."
Anakku...
Tanyalah kepada orang-orang soleh, mengapa mereka tidak berhibur? Nescaya mereka akan menjawab... "Bagaimana kami hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur itu berada di hadapan kami, Kiamat itu janjian kami, Neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah SWT."
Pesan akhirku.... "Menangislah di sini (dunia) sebelum kamu menangis di sana (akhirat)."

kredit : Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
                   
P/S :  Anakanda...
          Berusahalah! Cuba dan berusahalah agar anakanda menjadi orang yang berjaya.
          Apabila anakanda gagal sekali, maka janganlah anakanda berputus asa.
          Anakanda harus bangkit kembali dan berusaha lagi, lagi dan lagi.
          "Chaiyok for the SPM 10A+  and  PMR 9A"

Saturday, 19 May 2012

Kenapa Aku....?

Soalan-soalan anda yang telah dijawab oleh ALLAH SWT dalam Al-Quran...

Kenapa aku sering diuji?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; 'Kami telah beriman'; sedangkan mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya ALLAH SWT mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui siapakah orang yang dusta."
(Surah Al Ankabut : 2-3)

Kenapa aku tidak mendapat apa yang aku idam-idamkan?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; sesungguhnya ALLAH SWT amat mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al Baqarah : 216)

Kenapa aku diuji dengan ujian seberat ini?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "ALLAH SWT tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al Baqarah : 286)

Bagaimana akan aku hadapi semua ujian ini?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebajikan) dan kuatkan kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan) dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada ALLAH SWT agar kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Surah Al Imran : 200)

Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH SWT) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
(Surah Al Baqarah : 45)

Apa yang aku boleh dapat daripada semua ujian ini?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Sesungguhnya ALLAH SWT telah membeli daripada orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan (bayaran) Syurga untuk mereka..."
(Surah At Taubah : 111)

P/S  :   Anakanda sayang...
            Jangan dinilai sesuatu itu sekadar zahirnya semata-mata tetapi
            pandanglah dengan mata hati, renungkanlah dengan akal dan
            fikirkanlah dengan iman...
            Insya ALLAH, kita akan mengerti.


Kerana Setitis Demi Setitis...

Kerana setitis demi setitis air itu terus menimpa ketulan batu pejal itu, akhirnya batu pejal itu meninggalkan bekas lekukan setitis demi setitis. Tap...tap...tap...!!!

Terpana dengan sindiran hikmah daripada Ilahi lalu menangislah Ibnu Hajar bersama dengan keluhan hatinya...
"Wahai... kiranya hati manusia itu lebih keras lagi; jauh lebih keras daripada bebatuan yang sepejal ini"
Tepatlah firman ALLAH SWT... "...hati kamu juga menjadi keras seperti batu bahkan lebih keras lagi. Padahal ada di antara bebatuan itu terpancar dan mengalirkan sungai daripadanya; ada pula yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga yang jatuh meluncur ke bawah kerana takut kepada ALLAH SWT..."  (Surah Al-Baqarah : 74)

Andainya batu yang sedemikian keras boleh dibentuk di bawah tujahan air yang lembut, mengapa tidak hati manusia? Bukankah ALLAH SWT telah berfirman... "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih-bergantinya malam dan siang, cukup menjadi bukti kebesaran kekuasaan ALLAH SWT bagi orang yang sihat dan sempurna akal fikiran..."  (Surah Al-Imran : 190)


Setitis demi setitis butiran embun yang beruntaian dari hujung daun, menyegarkan kuntuman bunga, kembali berseri lalu dihirup serangga-serangga kecil sebagai rezeki kurniaan Tuhan dalam dingin pagi...
Begitu juga setitis demi setitis yang gugur dari bendungan awan, ada ketikanya menyerakkan warna-warni pelangi hujan; adalah curahan rahmat buat makhluk bumi. Namun di sebaliknya keindahan itu, ALLAH SWT memberi peringatanNYA...
"Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah sekadar mainan dan hiburan; bagaikan hujan yang mengkagumkan para petani pada tanamannya yang kemudiannya subur menghijau, namun akhirnya menguning dan menjadi hancur rosak. Ketahuilah, di akhirat tersedia azab yang berat (bagi yang mengutamakan kehidupan dunia) dan pengampunan serta keredhaan ALLAH SWT (bagi yang mengutamakan akhirat). Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan memperdaya..."   (Surah Al-Hadid : 20)

"Setitis tinta ulama' adalah setimbang darah syuhada."
Inilah yang dimaksudkan dengan penulis-penulis bertaqwa yang mendaulatkan kalimah ALLAH SWT di hujung ketajaman mata pena. Coretannya adalah bait-bait ilmu, ungkapan madahnya adalah seruan perhambaan kepada Tuhan, garapan kalimahnya adalah peringatan membanteras kemungkaran.

Pernah Siti Fatimah mengadu kepenatan kerana menguruskan rumah tangga lalu diberitahu oleh Rasulullah SAW...
"Ketahuilah, Fatimah! Kelebihan wanita yang tertitis peluhnya kerana bahang kepanasan ketika membakar roti buat anak-anak dan suaminya akan ALLAH SWT binakan parit yang menjarakkan dia dengan bahang api Neraka sejauh langit dan bumi..."
"Dan ketahuilah, Fatimah! Kelebihan wanita yang tertitis air matanya kerana kepedihan ketika menghiris bawang untuk dimasakkan buat ahli keluarganya, ALLAH SWT akan catatkan pahala baginya umpama orang yang menangis kerana takutkanNYA..."
"Ketahuilah olehmu, Fatimah! Kelebihan wanita yang menyusukan anaknya, ALLAH SWT akan catatkan pahala bagi setiap titis susu yang diteguk oleh anaknya dengan pahala kebajikan."
Ah...! Lihatlah, betapa mudah dan untungnya wanita yang rela dan redha, betapa mudah buatnya menjenguk ke Syurga hanya dengan seteguk susu, setitik peluh dan setitis air mata.
Perhatikanlah ucapan Sayyidul Mursalin yang telah diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Umamah...
"Tiada sesuatu yang lebih dicintai ALLAH SWT melainkan dua titisan; titisan air mata yang gugur lantaran takut akan ALLAH SWT dan titisan darah yang gugur dalam mempertahankan agama ALLAH SWT..."
Dan ketahuilah, salah seorang daripada 7 orang yang mendapat naungan ALLAH SWT di Yaumil Mahsyar ialah seorang yang ingat akan ALLAH SWT sendirian hingga bercucuran air matanya. Inilah yang disifatkan oleh ahli salaf pemadam julangan api Neraka.

Kemudian, perhatikanlah keutamaan demi keutamaan yang tersirat di sebalik titisan wuduk sepertimana sabda Rasulullah SAW...
"Jika berwuduk seorang Muslim atau Mukmin lalu membasuh mukanya, akan keluarlah semua dosa yang pernah dilihat dengan matanya; apabila membasuh dia kedua-dua tangannya akan keluarlah semua dosa yang pernah disentuh oleh tangannya dan apabila membasuh dia kedua-dua kakinya akan keluarlah semua dosa yang pernah dijalani oleh kaki-kakinya bersama titisan air yang terakhir.
Gugurlah dosa-dosanya... setitis demi setitis...  "...hingga dia keluar bersih dari semua dosa..."  (Riwayat Abu Hurairah)
Dan titisan inilah yang bakal menjadi hiasan sehingga umat Muhammad ini digelar `Ghurran Muhajjalin', yang putih anggotanya di Yaumul Qiamah.

Renungkanlah...
"Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari setitis air yang kotor lalu Kami letakkan pada tempat yang teguh sehingga ke suatu masa yang tertentu..."  (Surah Al Mursalat 20-22)
"Kemudian Kami jadikan air mani itu segumpal darah yang beku lalu Kami jadikan segumpal darah itu menjadi seketul daging dan Kami jadikan ketulan daging itu tulang-belulang yang kemudiannya Kami balut tulang-temulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadiannya, Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifatnya..."   (Surah Al Mukminun : 14)

Namun, inilah hakikat kejadian yang sering dilupa-lupakan.
Alangkah...
Kiranya setitis mani yang hina itu telah menjadi makhlukNYA yang sering menderhaka...
"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui bahawa Kami telah menciptakannya dari setitis air (yang hina)? Dalam pada itu, setelah Kami sempurnakan kejadiannya dengan tenaga kekuatannya maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang lagi jelas bantahannya..."   (Surah Yassin : 77)

Hayatilah dan renungkanlah... sabda kekasih ALLAH SWT...
"Tiadalah bandingan dunia ini dengan akhirat melainkan umpama seseorang yang mencelupkan jemarinya ke dalam lautan luas MAKA perhatikanlah sebanyak mana yang terkaut olehnya..."

Kerana setitis demi setitis, renungkanlah...
Setiap titis-titis yang gugur biarpun hanya setitis, setiap satunya sarat dengan tamsilan; kiranya seluruh nikmat dunia ini hanyalah satu titisan... daripada nikmat-nikmat ALLAH SWT yang seluas lautan maka bayangkanlah... sekerdil mana pulakah kita di hadapan ALLAH SWT nanti?

P/S  :   Never argue with a fool.
            People might not know the difference.
            When you're right, no one remembers.
            But when you're wrong, no one forgets.

Monday, 14 May 2012

Jangan Ucapkan Tak'ziah Padaku...

Terdapat seorang lelaki yang telah berumahtangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini, pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan; kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Isterinya, sewaktu hidupnya adalah seorang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah. Dia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebai-baik pendidik kepada anak-anaknya.

Rumahtangga yang indah ini hanya kekal selama 22 tahun sehinggalah isterinya meninggal dunia. Setelah jenazah isterinya diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli keluarga, sanak-saudara dan kaum kerabat berhimpun di rumah lelaki ini untuk mengucapkan tak'ziah. Semua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan lelaki itu kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun begitu, sebelum sempat sesiapa berkata-kata, lelaki ini telah berkata...
"Semoga tiada sesiapa daripada kamu yang mengucapkan tak'ziah kepadaku sebaliknya dengarkanlah kata-kataku ini..."
Semua yang berhimpun di situ terkejut dan terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Lelaki itu meneruskan kata-katanya...
"Demi Allah SWT! Sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku kerana dia senantiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan dia juga telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku senantiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila dia meninggal dunia, aku teringat sebuah hadis Nabi SAW, yang mengatakan bahawa... "Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

"Tatkala aku meletakkan jenazahnya ke dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata... `Wahai Allah SWT! Aku sesungguhnya redha kepadanya, maka redhailah dia.' Aku mengulang-ulang kata-kataku itu sehingga tenang dan puas hatiku. Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, pada saat ini amat berbahagia dan bergembira; tidak dapat aku gambarkan pada kalian betapa hebatnya kebahagiaan dan kegembiraan yang aku rasakan ini."

"Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan tak'ziah padaku atas kematian isteriku itu maka janganlah kalian melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah padaku kerana isteriku telah meninggal dunia dalam keadaan aku redha padanya. Semoga Allah SWT menerima isteriku dengan keredhaanNYA."

Subhanallah! Alangkah bahagianya mendapat keredhaan suami macam ini. Adakah kita mampu melakukan seperti yang dilakukan oleh suami si mati ini sehingga pemergiannya diredhai dan membahagiakan suaminya. Kebanyakkan sekarang ini, banyak suami yang redha dan bahagia jika isteri mereka meninggal dunia tetapi bahagia kerana boleh kahwin lagi ler... he..he..he....



P/S :   In life, you'll realize that there is a purpose for everybody you meet.
           Some people are there to test you, some will use you,
           some will teach you and some will bring out the best in you.
           But it's so hard to forget someone who gave you so much to remember.
           Maakkk....!!!!