"Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu adalah melatih dirinya menjadi peminta sedekah. Maka, tidak ia akan sampai ke mana-mana dalam pekerjaan dalam mencapai kejayaan. Jika dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa-apa yang ia boleh berbesar hati kerananya sebab ianya bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri; hanya dapat dengan pertolongan orang lain."
"Perangai suka meminta tolong sahaja walaupun meminta tolong kepada Allah SWT dengan tidak menjalankan usaha ikhtiar dengan secukupnya; sangat tidak betul kepada Islam."
Kiasan yang dilampiaskan oleh Pendita Za'aba terhadap orang Melayu dalam majalah `Qalam' (bilangan 19:1952) adalah amat wajar untuk direnung. Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak kerajaan semata-mata harus dikaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris.
Pendita Za'aba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad adalah seorang cendekiawan Melayu yang disegani dan turut melakukan kritik terhadap bangsanya. Dalam dunia di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan perniagaan, penerokaan bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan serta kekuatan peribadi yang terbabit dengannya.
Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari `kambing hitam' dalam jalan keluar daripada masalah. Malah terdapat kecenderungan yang amat aktif di kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan elektronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan dan merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah serius dan menyentuh mengenai jati diri serta kekuatan bangsa Melayu itu sendiri.
Dalam bukunya berjudul `Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri', DBP 1982; beliau mengkritik sikap orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri sendiri, lemah cita-cita dan terlalu bergantung kepada orang lain serta berkiblatkan taklid buta tanpa memahami tuntutan Islam yang sebenarnya.
Pendapat Orientalis Barat tentang bangsa Melayu...
"Menurut teori yang saya tidak bantah, masyarakat Melayu pada dasarnya baik budi pekerti; mereka tidak berjiwa tamak dan apabila mereka dapat, mereka puas dengan keperluan pada masa itu maka mereka bahagia - mereka sangat percaya pada pepatah bahawa kecukupan pada hari ini merupakan pengganti kemalangan," kata John Cameron, 1865; Our Tropical Possession in Malayan India.
"Kesulitan tentang tenaga kerja ini barangkali harus diatasi dengan mengambil kuli dari India kerana orang Melayu tidak mahu bekerja kecuali untuk dirinya sendiri" - Isabella Bird, Februari 1879, Taiping, Perak.
"Satu faktor penting dalam penanaman getah dan kelapa di Malaya adalah tenaga kerja. Penduduk asli Malaya tidak cukup jumlahnya dan tidak sesuai dalam banyak hal lapangan kerja di ladang besar, orang Melayu membenci pekerjaan rutin," kata B.J. Eaton, 1923, Agriculture.
"Orang Melayu memiliki tahap kelambanan yang luar biasa. Iklim Tropika yang basah, malaria, tanah yang mempermainkan tanaman, tatacara kemewahan para pemimpinnya, yang membuat rumah bagus dan pakaian bagus yang merbahaya bagi petani - semuanya telah menonton pilihannya untuk bersikap diam, kehidupan tanpa cita-cita. Dia lebih senang mengharungi jalan di sungai atau bekerja di dalam lumpur sawah daripada menjadi budak yang dikendalikan oleh jam dalam ruang kerja atau pejabat," kata R.O. Winstedt, 1956, Malaya and It's History.
"Orang-orang Melayu adalah penjebak yang ulung dan mereka memborong hadiah yang dibayar oleh pemerintah untuk pembasmian hama. Pada tahun 1904 dibayar sekitar lima ringgit atas hasil jeratan termasuk 45 ekor harimau, 20 ekor harimau tutul dan 13 ekor harimau kumbang di samping 989 ekor ular, 1130 ekor buaya dan 1732 butir telur buaya."
"Selama sekitar 15 tahun di Raub, tidak kurang lima terowong yang dibina oleh para pengendali Melayu, tidak pernah ada kemalangan kerana kesemberonoan mereka."
"Pada dasarnya, orang Melayu adalah pemalas, orang Cina adalah pencuri dan orang India adalah pemabuk; namun masing-masing dalam kelompok pekerjaan khususnya; murah dan cekap apabila betul-betul diawasi," kata C.G. Warnford Lock, 1970, Mining in Malaya for Gold and Tin.
Sikap dan kemiskinan bangsa Melayu pada 1840-an...
"Jika orang Melayu yang besar, orang Melayu mesti mempelajari dan memelihara secermatnya bahasa Melayu di samping menerima serta menambah pengetahuan baharu." Kata-kata Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir ini dipetik dari bukunya yang bertajuk `Kisah Pelayaran Abdullah' yang mendedahkan kemiskinan orang Melayu. Pada ketika itu ramai yang marah kerana kelancangan Abdullah. Watak seperti Munsyi Abdullah sering kali tidak popular, menjadi tohmahan dan dilupai oleh sejarah.
Catatan sejarah menunjukkan bahawa sejak kurun ke 18, orang Melayu sudah mula dikritik oleh bangsanya sendiri. Abdullah bin Abdul Kadir atau Abdullah Munsyi (1796-1854) adalah di antara pengkritik awal masyarakat Melayu. Bukunya, `Hikayat Abdullah (1840an) mengandungi pandangan beliau mengenai beberapa adat kepercayaan, budaya kerja dan pemikiran masyarakat Melayu yang difikirkannya kolot sebagai penyebab kepada kemunduran bangsa Melayu.
Munsyi Abdullah dalam buku-buku `Hikayat Abdullah' dan `Hikayat Pelayaran Abdullah' turut membuat kritikan yang pedas terhadap orang Melayu pada penghujung abad ke 19. Beliau menegur kelemahan orang Melayu, sikap malas mereka, kurangnya ilmu pengetahuan di kalangan mereka, cara hidup mereka sehinggalah episod perpecahan di kalangan mereka.
Abdullah tidak sahaja mengkritik tetapi memberi cadangan bagaimana kehidupan orang Melayu dapat diperbaiki. Munsyi Abdullah memberikan pandangan bagaimana mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kelemahan mereka. Beliau juga turun ke lapangan, belayar ke negeri-negeri Melayu, melawan ombak, mengharungi ancaman lanun dan perang saudara bagi mendapatkan gambaran sebenar apa yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika itu.
'Kisah Pelayaran Abdullah' bukan sekadar catatan perjalanan tetapi juga dimuatkan keinsafan dan nasihat tentang nasib orang Melayu sendiri. Beliau menjadi pengkritik bangsa yang berterus-terang dan konstruktif.
Malangnya hari ini ada di kalangan orang Melayu sendiri, mereka yang duduk dalam keselesaan dan kemewahan, yang tidak pernah merasa kesusahan dan penderitaan rakyat mahu menjadi juara bagi pihak orang Melayu.
Wahai saudaraku, bangsa Melayu!
Bangunlah daripada tidur lenamu... bangkitlah!
Sudah puas kita dicaci, dihina, ditindas di negara sendiri... bangkitlah Melayu!
Selamatkanlah maruah bangsa kita agar anak-anak kita tidak menjadi asing di bumi sendiri.
Jangan kita wariskan kehinaan dan kemiskinan ini pada anak-anak kita.
Kitalah tuan di negara kita dan bukannya mereka.
(Takbir 3 kali)
P/S : mengkritik tidak bererti menentang
menyetujui tidak bererti menyokong
menegur tidak bermakna membenci
dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang terbaik
No comments:
Post a Comment