Wednesday, 13 June 2012

Menangislah, wahai anakku!

Anakku...
Ingin aku berbicara denganmu tentang tangisan. Sesungguhnya tangisan itu adalah kehidupan. Bukankah hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri juga dengan tangisan. Seorang bayi dilahirkan dengan tangisan. dewasanya dengan pelbagai ujian yang dipenuhi dengan tangisan dan kelak dia akan mati dan dihantar ke kubur dengan tangisan.

Anakku...
Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata putus asa kerana cinta akan dunia harganya persis setitis air kotor di perlimbahan. Namun setitis air mata kerana takut akan Allah SWT umpama permata yang indah gemerlapan. Penghuni Syurga adalah mereka yang banyak berdukacita di dunia. Mereka sangat bimbang; apakah kiranya nasib mereka di akhirat - apakah di Syurga atau di Neraka? Pencinta dunia pula menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.

"Alangkah sempitnya kuburku nanti," keluh seorang abid. Lalu dia menambah amal bakti dengan ikhlas dan sabar agar kuburnya nanti luas melebar. Daripada mata yang redup merenung hari akhirat yang dirasakannya semakin dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap keampunan.
"Alangkah sedikitnya hartaku ini," kesal si hartawan lalu dia semakin tamak menimbun harta tanpa kira halal dan haram. Daripada mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus dan rakus, mengalirlah air mata kecewa kegagalan.

Anakku...
Tangisan itu adalah basahan hidup. Manusia itu senantiasa ada dalam dua tangisan; sama ada tangisan yang membawa keuntungan ataupun tangisan yang membawa kerugian. Sabda Rasulullah SAW... "Ada dua titisan yang Allah SWT cintai iaitu yang pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takut akan Allah SWT. Dan tangisan seorang pendosa, lebih Allah SWT sukai daripada tasbih para wali."

Kejahatan yang diiringi rasa sedih lebih Allah SWT sukai daripada satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Kejahatan kita mungkin diampuni jika kita bertaubat dengan hati yang merendah diri. Kebaikan kita mungkin tertolak apabila rasa takbur menguasai hati. Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan kerana ada tangisan yang akan mengakibatkan kita menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya.
Anakku...
Ketahuilah olehmu bahawa ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa keterlaluan seorang ulama, hilang ilmu dan hilang wibawanya. Ketawa seorang yang jahil akan semakin keraslah hatinya dan perasaannya.
Nabi Muhammad SAW bersabda...
"Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa."
Seorang hukuma pernah bersyair... "Aku hairan dan aku pelik melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan."

Justeru, para salafus soleh (generasi awal Islam), menangislah walaupun telah banyak beramal; takut-takut amal itu tidak diterima sedangkan kita ketawa walaupun kita sedar diri masih kosong daripada amalan. Lupakah kita bahawa Rasulullah SAW bersabda...
"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke dalam Neraka dalam keadaan menangis."

Kita gembira yang kita idam-idamkan tercapai. Kita menangis jika yang kita cita-citakan terbarai di tengah jalan. Nikmat disambut ria dan ujian menjemput duka. Benarkah begitu keadaannya? Padahal Allah SWT telah berfirman...
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ianya buruk bagimu. Allah SWT mengetahui; sedangkan kamu tidak mengetahui."
Menangislah, anakku...
Menangislah agar senyumanmu banyak di kemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu di puak kanan ataupun di puak kiri. Di sana lembaran sejarahmu akan dibuka satu-persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya sehingga datang syafaat Rasulullah SAW yang agung itu.
Kenangilah sungai-sungai yang mengalir di dunia ini umpama banjir air mata Nabi Adam AS yang menangis kerana taubatnya bapa sekalian manusia.

Menangislah seperti Saidina Ali RA dengan hibanya berkata...
"Wahai, dunia! Janganlah engkau menipu aku. Tipulah orang lain."
Menangislah seperti Saidina Umar Al-Khattab RA yang selalu memukul dirinya dengan berkata...
"Kalau semua manusia masuk ke dalam Syurga kecuali seorang; aku takut akulah orang itu."
Menangislah sebagaimana seorang wanita Ansar yang apabila ditanya...
"Mengapa engkau menangis?"
"Aku menangis kerana tiada mempunyai anak lagi untuk aku hantar berperang."
Ibnu Mas'ud RA berkata...
"Seorang yang mengerti Al-Quran dikenali pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur dan pada waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa. Sedihnya ketika orang lain sedang bergembira dan tangisnya pada waktu orang lain ketawa. Diamnya pada waktu orang lain berbicara. Khusyuknya pada waktu orang lain berbangga. Seharusnya orang yang mengerti Al-Quran itu bertenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah."
Anakku...
Tanyalah kepada orang-orang soleh, mengapa mereka tidak berhibur? Nescaya mereka akan menjawab... "Bagaimana kami hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur itu berada di hadapan kami, Kiamat itu janjian kami, Neraka itu memburu kami dan perhentian kami ialah Allah SWT."
Pesan akhirku.... "Menangislah di sini (dunia) sebelum kamu menangis di sana (akhirat)."

kredit : Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
                   
P/S :  Anakanda...
          Berusahalah! Cuba dan berusahalah agar anakanda menjadi orang yang berjaya.
          Apabila anakanda gagal sekali, maka janganlah anakanda berputus asa.
          Anakanda harus bangkit kembali dan berusaha lagi, lagi dan lagi.
          "Chaiyok for the SPM 10A+  and  PMR 9A"

No comments:

Post a Comment