Kerana setitis demi setitis air itu terus menimpa ketulan batu pejal itu, akhirnya batu pejal itu meninggalkan bekas lekukan setitis demi setitis. Tap...tap...tap...!!!
Terpana dengan sindiran hikmah daripada Ilahi lalu menangislah Ibnu Hajar bersama dengan keluhan hatinya...
"Wahai... kiranya hati manusia itu lebih keras lagi; jauh lebih keras daripada bebatuan yang sepejal ini"
Tepatlah firman ALLAH SWT... "...hati kamu juga menjadi keras seperti batu bahkan lebih keras lagi. Padahal ada di antara bebatuan itu terpancar dan mengalirkan sungai daripadanya; ada pula yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga yang jatuh meluncur ke bawah kerana takut kepada ALLAH SWT..." (Surah Al-Baqarah : 74)
Andainya batu yang sedemikian keras boleh dibentuk di bawah tujahan air yang lembut, mengapa tidak hati manusia? Bukankah ALLAH SWT telah berfirman... "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih-bergantinya malam dan siang, cukup menjadi bukti kebesaran kekuasaan ALLAH SWT bagi orang yang sihat dan sempurna akal fikiran..." (Surah Al-Imran : 190)
Setitis demi setitis butiran embun yang beruntaian dari hujung daun, menyegarkan kuntuman bunga, kembali berseri lalu dihirup serangga-serangga kecil sebagai rezeki kurniaan Tuhan dalam dingin pagi...
Begitu juga setitis demi setitis yang gugur dari bendungan awan, ada ketikanya menyerakkan warna-warni pelangi hujan; adalah curahan rahmat buat makhluk bumi. Namun di sebaliknya keindahan itu, ALLAH SWT memberi peringatanNYA...
"Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah sekadar mainan dan hiburan; bagaikan hujan yang mengkagumkan para petani pada tanamannya yang kemudiannya subur menghijau, namun akhirnya menguning dan menjadi hancur rosak. Ketahuilah, di akhirat tersedia azab yang berat (bagi yang mengutamakan kehidupan dunia) dan pengampunan serta keredhaan ALLAH SWT (bagi yang mengutamakan akhirat). Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan memperdaya..." (Surah Al-Hadid : 20)
"Setitis tinta ulama' adalah setimbang darah syuhada."
Inilah yang dimaksudkan dengan penulis-penulis bertaqwa yang mendaulatkan kalimah ALLAH SWT di hujung ketajaman mata pena. Coretannya adalah bait-bait ilmu, ungkapan madahnya adalah seruan perhambaan kepada Tuhan, garapan kalimahnya adalah peringatan membanteras kemungkaran.
Pernah Siti Fatimah mengadu kepenatan kerana menguruskan rumah tangga lalu diberitahu oleh Rasulullah SAW...
"Ketahuilah, Fatimah! Kelebihan wanita yang tertitis peluhnya kerana bahang kepanasan ketika membakar roti buat anak-anak dan suaminya akan ALLAH SWT binakan parit yang menjarakkan dia dengan bahang api Neraka sejauh langit dan bumi..."
"Dan ketahuilah, Fatimah! Kelebihan wanita yang tertitis air matanya kerana kepedihan ketika menghiris bawang untuk dimasakkan buat ahli keluarganya, ALLAH SWT akan catatkan pahala baginya umpama orang yang menangis kerana takutkanNYA..."
"Ketahuilah olehmu, Fatimah! Kelebihan wanita yang menyusukan anaknya, ALLAH SWT akan catatkan pahala bagi setiap titis susu yang diteguk oleh anaknya dengan pahala kebajikan."
Ah...! Lihatlah, betapa mudah dan untungnya wanita yang rela dan redha, betapa mudah buatnya menjenguk ke Syurga hanya dengan seteguk susu, setitik peluh dan setitis air mata.
Perhatikanlah ucapan Sayyidul Mursalin yang telah diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Umamah...
"Tiada sesuatu yang lebih dicintai ALLAH SWT melainkan dua titisan; titisan air mata yang gugur lantaran takut akan ALLAH SWT dan titisan darah yang gugur dalam mempertahankan agama ALLAH SWT..."
Dan ketahuilah, salah seorang daripada 7 orang yang mendapat naungan ALLAH SWT di Yaumil Mahsyar ialah seorang yang ingat akan ALLAH SWT sendirian hingga bercucuran air matanya. Inilah yang disifatkan oleh ahli salaf pemadam julangan api Neraka.
Kemudian, perhatikanlah keutamaan demi keutamaan yang tersirat di sebalik titisan wuduk sepertimana sabda Rasulullah SAW...
"Jika berwuduk seorang Muslim atau Mukmin lalu membasuh mukanya, akan keluarlah semua dosa yang pernah dilihat dengan matanya; apabila membasuh dia kedua-dua tangannya akan keluarlah semua dosa yang pernah disentuh oleh tangannya dan apabila membasuh dia kedua-dua kakinya akan keluarlah semua dosa yang pernah dijalani oleh kaki-kakinya bersama titisan air yang terakhir.
Gugurlah dosa-dosanya... setitis demi setitis... "...hingga dia keluar bersih dari semua dosa..." (Riwayat Abu Hurairah)
Dan titisan inilah yang bakal menjadi hiasan sehingga umat Muhammad ini digelar `Ghurran Muhajjalin', yang putih anggotanya di Yaumul Qiamah.
Renungkanlah...
"Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari setitis air yang kotor lalu Kami letakkan pada tempat yang teguh sehingga ke suatu masa yang tertentu..." (Surah Al Mursalat 20-22)
"Kemudian Kami jadikan air mani itu segumpal darah yang beku lalu Kami jadikan segumpal darah itu menjadi seketul daging dan Kami jadikan ketulan daging itu tulang-belulang yang kemudiannya Kami balut tulang-temulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadiannya, Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifatnya..." (Surah Al Mukminun : 14)
Namun, inilah hakikat kejadian yang sering dilupa-lupakan.
Alangkah...
Kiranya setitis mani yang hina itu telah menjadi makhlukNYA yang sering menderhaka...
"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui bahawa Kami telah menciptakannya dari setitis air (yang hina)? Dalam pada itu, setelah Kami sempurnakan kejadiannya dengan tenaga kekuatannya maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang lagi jelas bantahannya..." (Surah Yassin : 77)
Hayatilah dan renungkanlah... sabda kekasih ALLAH SWT...
"Tiadalah bandingan dunia ini dengan akhirat melainkan umpama seseorang yang mencelupkan jemarinya ke dalam lautan luas MAKA perhatikanlah sebanyak mana yang terkaut olehnya..."
Kerana setitis demi setitis, renungkanlah...
Setiap titis-titis yang gugur biarpun hanya setitis, setiap satunya sarat dengan tamsilan; kiranya seluruh nikmat dunia ini hanyalah satu titisan... daripada nikmat-nikmat ALLAH SWT yang seluas lautan maka bayangkanlah... sekerdil mana pulakah kita di hadapan ALLAH SWT nanti?
P/S : Never argue with a fool.
People might not know the difference.
When you're right, no one remembers.
But when you're wrong, no one forgets.
No comments:
Post a Comment