Wednesday, 18 April 2012

Khusyuk dalam Solat

Dikisahkan bahawa ada seorang ahli ibadah bernama `Isam bin Yusuf'. Dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun demikian dia selalu khuatir jika ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakannya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri suatu majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya...
"Wahai, Aba Abdur Rahman (nama gelaran Hatim)! Bagaimanakah caranya tuan bersolat?"
"Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin."
"Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?"

"Wuduk zahir, sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu...
  1. Bertaubat
  2. Menyesali akan dosa yang telah dilakukan
  3. Tidak tergila-gilakan dengan dunia
  4. Tidak mencari atau mengharapkan pujian manusia
  5. Meninggalkan sifat bermegah-megahan
  6. Meninggalkan sifat khianat dan menipu
  7. Meninggalkan sifat dengki
Seterusnya Hatim Al-Asam berkata...
"Kemudian aku pergi ke Mesir, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap ke kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah SWT ada di hadapanku, Syurga berada di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku, Malaikat Maut di belakangku. Dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Sidratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku. Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat, aku faham maknanya. Kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk. Aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik apabila dibandingkan dengan Hatim Al-Asam.



Bagaimana pula dengan solat kita? Adakah solat kita seperti solatnya Rasulullah SAW atau seperti solatnya Hatim Al-Asam? Atau sekadar hanya bersolat sahaja kerana mengira itulah yang dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu? Atau kerana takutkan ibu ayah yang marah dan bising kerana kita tidak bersolat? Atau kerana takut akan Allah SWT?

Apapun... semuanya terpulang pada hati masing-masing.
"Ingatlah olehmu dua perkara dan lupakan dua perkara yang lain iaitu...
  -   dua perkara yang perlu diingat ialah Allah SWT dan mati
  -   dua perkara yang perlu dilupakan ialah kebaikanmu terhadap dirimu dan orang lain."



Ada Apa dengan LAPAR?

Muslim dan Tirmidzi telah meriwayatkan dari An-Nu'man bin Basyir RA, dia berkata...
"Bukankah kamu sekarang mewah daripada makan dan minum? Apa sahaja yang kamu mahu kamu, kamu mendapatkannya. Aku pernah melihat Rasulullah SAW hanya mendapat kurma yang buruk untuk mengisi perutnya."

Dalam riwayat Muslim pula dari An-Nu'man bin Basyir RA, katanya bahawa...
"Pada suatu ketika Umar RA menyebut apa yang dinikmati manusia sekarang dari dunia. Maka dia berkata... `Aku pernah melihat Rasulullah SAW seharian menanggung lapar kerana tiada makanan. Kemudian tidak ada yang didapatinya pula selain dari kurma yang buruk sahaja untuk mengisi perutnya."

Suatu riwayat yang diberitakan oleh Abu Nu'aim, Khatib, Ibnu Asakir dan Ibnun-Najjar dari Abu Hurairah RA, dia berkata...
"Aku pernah datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda sedang sembahyang duduk. Maka aku pun bertanya kepadanya... `Ya, Rasulullah! Mengapa aku melihatmu bersembahyang duduk? Apakah engkau sakit?"
Baginda menjawab... "Aku lapar, wahai Abu Hurairah!"
Mendengar jawapan baginda itu, aku terus menangis, sedih melihatkan keadaan baginda itu. Rasulullah SAW berasa kasihan melihat aku menangis lalu berkata...
"Wahai, Abu Hurairah! Jangan menangis kerana beratnya penghisapan nanti di hari Kiamat tidak akan menimpa orang yang hidupnya lapar di dunia jika dia menjaga dirinya di kehidupan dunia."
(Kanzul Ummal 4:41)

Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan dari Urwah dari Aisyah r.ha, dia berkata...
"Demi Allah SWT, hai anak saudaraku! (Urwah, anak Asma, saudara perempuan Aisyah r.ha), kami senantiasa memandang anak bulan; bulan demi bulan; padahal di rumah-rumah Rasulullah SAW tidak pernah berasap."
Berkata Urwah RA pula... "Wahai, mak cikku! Jadi apakah makanan kamu?"
"Kurma dan air sahaja; melainkan jika ada tetangga-tetangga Rasulullah SAW dari kaum Ansar yang membawakan kami makanan. Dan memanglah kadang-kadang mereka membawakan kami susu, maka kami minum susu itu sebagai makanan," jawab Aisyah r.ha.
(At-Targhib Wat-Tarhib 5:155)

Tirmidzi memberitahu dari Masruq, katanya...
"Aku pernah menziarahi Aisyah r.ha lalu dia minta dibawakan untukku makanan; kemudian dia mengeluh... `Aku mengenangkan masa lamaku dahulu. Aku tidak pernah kenyang dan apabila aku ingin menangis, aku akan menangis sepuas-puasnya."
Masruq bertanya... "Mengapa begitu, Ummul Mukminin?"
Aisyah r.ha menjawab... "Aku teringat akan keadaan di mana Rasulullah SAW telah meninggalkan dunia ini. Demi Allah SWT, tidak pernah baginda kenyang dari roti atau daging dua kali sehari."
(At-Targhib Wat-Tarhib 5:148)

Ibnu Majjah dan Baihaqi meriwayatkan pula dari Abu Hurairah RA, katanya...
"Sekali peristiwa, ada orang datang membawa makanan panas kepada Rasulullah SAW, maka baginda pun makan. Selesai makan, baginda mengucapkan `Alhamdulillah'. Inilah makanan panas yang pertama masuk ke perutku sejak beberapa hari yang lalu."
(At-Targhib Wat-Tarhib 5:149)

Tirmidzi memberitakan daripada Abu Talhah RA, katanya...
"Sekali peristiwa kami datang mengadukan kelaparan kepada Rasulullah SAW lalu kami mengangkat kain kami di mana padanya terikat batu demi batu pada perut kami. Maka Rasulullah SAW pun mengangkat kainnya lalu kami lihat pada perut baginda terikat dua batu demi dua batu."
(At-Targhib Wat-Tarhib 5:156)

Bukhari dan Ibnu Abid Dunia meriwayatkan dari Aisyah r.ha, dia berkata...
"Bala yang pertama-pertama sekali berlaku kepada umat sesudah kepergian Rasulullah SAW ialah kekenyangan perutnya, gemuk badannya lalu akan lemahlah hatinya dan akan bermaharajalelalah syahwatnya."    (At-Targhib Wat-Tarhib 3:420)

Pernah Fatimah datang kepada ayahandanya membawa sepotong roti yang kasar untuk dimakan. Maka ujar baginda kepada Fatimah...
"Inilah makanan pertama yang dimakan ayahmu sejak tiga hari yang lalu."
Dalam periwayatan Thabarani ada tambahan ini iaitu...
Maka Rasulullah SAW bertanya pada Fatimah... "Apa yang engkau bawa, wahai Fatimah?"
Fatimah menjawab... "Aku membakar roti tadi dan rasanya tidak termakan roti itu sehingga aku bawakan untukmu sepotong darinya agar engkau memakannya dahulu."
(Majma'uz Zawa'id 10:312)

Ibnu Abid Dunia memberitahukan dari Ibnu Bujair RA dan dia ini adalah daripada para sahabat Rasulullah SAW, Ibnu Bujair berkata...
Pernah Rasulullah SAW merasa begitu lapar lalu baginda mengambil batu dan diikatkannya pada perut. Kemudian baginda bersabda... "Betapa banyak orang yang memilih makanan yang halus-halus di dunia ini kelak dia akan menjadi lapar dan telanjang di hari kiamat. Dan betapa banyak lagi orang yang memuliakan dirinya di sini kelak dia akan dihinakan di akhirat dan betapa banyak orang yang menghinakan dirinya di sini kelak dia akan dimuliakan di akhirat."

Ya, saudara sekalian... begitulah Rasulullah SAW ketika baginda berasa lapar. Dalam keadaan begitu pun baginda masih mampu bersabar dan senantiasa ingat akan Allah SWT. Bagaimana dengan kita? Bagaimana agaknya kita mampu melawan nafsu lapar kita; terutamanya pada bulan Ramadhan?
Fikir-fikirkanlah...


Monday, 16 April 2012

Andai Aku Pergi Dahulu Sebelummu...


Andai aku pergi dahulu sebelummu... sapulah air matamu dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangan. Tidak mengapa bersedih seketika. Itu fitrah jiwa. Namun bersederhanalah, sayang kerana esok engkau mesti bangkit semula. Katakanlah pada dirimu... "Ya. Engkau telah pergi. Pergi bersama doaku. Engkau tunggulah di sana, pasti aku akan menyusulmu nanti."

Andai aku pergi dahulu sebelummu... tanyakanlah pada hatimu yang sebati dengan hatiku; apakah yang aku inginkan jika aku masih di sisimu? Renunglah wajah anak-anak. Lontarkanlah fikiranmu melampaui kesedihan. Anak-anak punya masa depan dan di tanganmulah segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah engkau tegar mengecewakan?

Andai aku pergi dahulu sebelummu... katakan pada dirimu... "Akan aku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun, aku tidak akan lemas dipagut sendu." Berjuanglah sayang agar aku boleh tersenyum di Barzakh itu dengan nukilan doa anak yang solehah dan suami yang soleh. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Dijambangan munajat ini, di taman ibadat, tentunya ada sungai pahala yang mengalir selama-lamanya.

Andai aku pergi dahulu sebelummu... walaupun aku tidak akan kembali lagi tetapi itu bukanlah akhir pertemuan. Dahulu kita bertemu untuk berpisah tetapi kini, kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan taqwa yang telah dilalui Rasulullah SAW apabila ditinggalkan oleh isteri kesayangan baginda iaitu Siti Khadijah. Syukurlah, engkau terpilih untuk melalui jalan mujahadah.

Andai aku pergi dahulu sebelummu... sibukkanlah dirimu sayang. Beribadah sehingga engkau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hatimu dengan menggembirakan hati orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Ingat lagi kata-kataku setiap kali aku bertanya padamu... adakah hari ini engkau bersolat di surau atau di rumah? Selalu aku katakankan padamu bahawa pahala yang engkau dapat, aku akan merasai tempiasnya juga. Indah bukan, sayang?
Apabila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduqlah dan bacalah Al-Quran seperti yang selalu kudengar setiap kali engkau selesai solat. Indah sekali bacaanmu hingga sesekali menitis air mataku kerana syahdu menghayati bacaanmu itu. Jangan lupa untuk sedekahkan buatku di sana ya, sayang!
Dirikanlah solat, sayang. Sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW apabila terasa gundah, diadukan kesedihannya kepada Allah SWT.

Andai aku pergi dahulu sebelummu... bisikan ke dalam hatimu yang paling dalam... "Dia bukan milikku dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala-galanya ialah Al-Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanyalah amanah. Sampai masanya terpaksa diserahkan kembali. Jangan ada rasa dimiliki dan jangan ada rasa memiliki."
Apabila terasa sepi, jangan katakan aku sepi tetapi katakan pada hatimu senantiasa ada pemerhati

Andai aku pergi dahulu sebelummu... maafkanlah segala kesalahan dan kecuaian aku dalam melayanimu kerana aku hanyalah manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesalahan tetapi yang pasti... aku tidak pernah meninggalkanmu walau dalam keadaan apa sekalipun walaupun yang dapat aku lakukan hanya DIAM.
"To be honest with you, I don't have the words to make you feel better but I do have the arms to give you a hug, ears to listen to whatever you want to talk (but you always said that I only know how to be a stone) and I have a heart that's always aching to see you SMILE again."
Dalam era kesusahan yang melanda sekarang... aku 'speechless' untuk membantu dan meringankan bebanmu. Tetapi... aku juga ingin menjadi sehebat Siti Khadijah yang berkorban apa sahaja untuk Rasulullah SAW.
Seperti Siti Khadijah... "Jika suatu masa nanti aku pergi dahulu sebelummu... jika tulang-temulangku boleh ditukarkan kepada wang ringgit, juallah semuanya jika itu dapat membantumu dalam meneruskan perjuanganmu tanpaku kerana aku tiada harta, aku tiada wang ringgit tetapi aku ada hati yang setia dalam menyayangimu selama-lamanya.

Sekian lama engkau duka dalam setia
menyambut mimpi dengan air mata
mengukir senyum kerana terpaksa
memendam rasa kerana tidak bersuara.
Aku yang tidak seberapa ada dikau pinta
seumpama debu yang tahu melekat dibahumu sahaja
Aku yang tidak seberapa ada dikau puja
seumpama bintang yang tersangkut di celah awan
Apabila aku melihat engkau dipermenungan
terpancar raut wajahmu akan kekesalan
Apabila aku melihat engkau di tirai kesepian
terpandang jelas sendu akan penderitaan.
Terima kasih kerana tangisanmu, sayang
mampu mengajar aku erti seikhlas perjuangan
selama ini aku hanya melihat dalam khayalan
sewaktu menghimpun kenangan dalam ingatan
Maafkanlah aku entah yang ke berapa kali
kealpaanku sebagai insan yang tidak sempurna
kerana setiap kesalahan kemaafannya tetap ada
cuma masih ada kesudian ataupun sebaliknya.

"Pandanglah isterimu dengan pandangan 'hati' kerana hati itulah yang memberi makna kepada pasangan hidup kita walaupun sudah dimamah usia kerana 'dia'lah separuh daripada hidup kita."

"Apabila engkau memandang segalanya daripada Tuhanmu yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang serta menyusahkan hidupmu... Pasti akan damailah hatimu kerana masakan Allah SWT sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah SWT tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu tetapi mungkin itulah yang DIA mahu kerana DIA tahu, hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab denganNYA."

Engkau mencintaiku seperti bumi mencintai titah Tuhannya
tidak pernah lelah menanggung beban derita
tidak pernah lelah menghisab luka.
Engkau mencintaiku seperti matahari mencintai titah Tuhannya
tidak pernah lelah membahagikan cerah cahayanya
tidak pernah lelah menghangatkan jiwa.
Engkau mencintaiku seperti air mencintai titah Tuhannya
tidak pernah lelah membersihkan lara
tidak pernah lelah menyejukkan dahaga.
...tetapi...
Aku ingin mencintaimu dengan sederhana
seperti kata yang tidak sempat diucapkan kayu kepada api
yang menjadikannya abu.
Aku ingin mencintaimu dengan sederhana
seperti isyarat yang tidak sempat dikirimkan awan kepada hujan
yang menjadikannya tiada.
Maafkan aku jika engkau rasa
aku terlalu banyak meminta
cuma aku mahu engkau tahu
kerana aku hanya wanita yang kian terasa dan tipis hatinya
teduhilah hidupku dengan rimbun kasihmu
sebelum aku menutup mata meninggalkanmu.




If Tomorrow Never Comes

Sometimes late at night
I lie awake and watch you sleeping
you've lost in peaceful dreams
so I turn out the lights
and lay there in the dark.
And the thought crosses my mind
if I never wake up in the morning
would he ever doubt the way I feel
about him in my heart.
If tomorrow never comes
will he know how much I love him
did I try in every way
to show him every day
that's he my only one...
and if my time on earth were through
and he must face the world without me
is the love I gave him the past gonna be enough to last
if tomorrow never comes.

P/S : Pandanglah ke langit & carilah di balik awan... di situlah aku akan menantimu.

Ada Apa dengan Aurat Wanita?

Kemuliaan wanita tercermin pada keindahannya menutup aurat. Wanita yang solehah ialah wanita yang menjaga aurat dan menutupnya apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Aurat wanita yang wajib ditutup adalah...
  • Rasulullah SAW melaknat wanita yang menipiskan bulu kening atau meminta agar dicukurkan bulu kening. (Hadis Riwayat Abu Daud)
  • "Dan janganlah mereka (wanita) menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka."  (Surah An-Nur : 31) [dalam pengertian 'menghentakkan kaki' di sini adalah menampakkan kaki atau menghayun serta melenggokkan badan mengikut hentakan kaki]
  • "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah An-Nur : 31)
  • Rasulullah SAW melaknat wanita yang mengikir gigi atau meminta agar dikikirkan giginya. Juga dilaknat wanita yang menjarangkan giginya agar menjadi cantik. [merubah ciptaan Tuhan]
  • Allah SWT memerintahkan agar wanita tinggal di rumah dan janganlah menampakkan perhiasan seperti orang Jahiliyah yang dahulu. Maksudnya, bersolek. Menurut Maqatil...  "Sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher sepeti orang Jahiliyah."

  • Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang nipis lalu baginda bersabda... "Wahai, Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah haid tidak boleh menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja. Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya."
  • "Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut dan manja apabila bercakap dengan lelaki asing kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya, berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."  (Surah Al-Ahzab : 32)
  • "Sesungguhnya akan ada umatku minum arak yang dinamakan dengan nama yang lain iaitu kepala mereka dilalaikan oleh muzik dan penyanyi perempuan, maka Allah SWT akan tenggelamkan mereka ke dalam bumi."  (Hadis Riwayat Ibnu Majjah)
  • "Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman agar menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka." (Surah An-Nur :31)
  • "Apabila seorang wanita solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (tidak berzina) dan mentaati suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki."  (Hadis Riwayat Al-Bazzar)
  • "Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya selain di rumah suaminya kecuali dia telah membinasakan tabir antara dia dan Allah SWT." (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majjah)
  • "Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah SWT akan memberikan pakaian kehinaan pada hari Kiamat nanti."  (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasai' dan Ibnu Majjah)
  • "Wahai, Nabi! Suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman agar melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang sedemikian lebih sesuai untuk mereka dikenali sebagai perempuan yang baik-baik. Maka dengan itu mereka tidak akan diganggu. Dan ingatlah Allah SWT adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."  (Surah Al-Ahzab : 59)
  • "Wahai, Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka yang tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahram ketika di dunia."  (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Firman Allah SWT...
"Dan janganlah mereka memperlihatkan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka."
(Surah An-Nur : 31)

Arahan ini ditujukan kepada para wanita, Mukminah di mana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasan mereka yang seharusnya disembunyikan; misalannya perhiasan telinga (subang), perhiasan rambut (pin rambut / sanggul), perhiasan leher (rantai), perhiasan dada dan kaki (betis dan pergelangan kaki). Semua ini tidak boleh dinampakkan kepada lelaki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada ruksah untuk dinampakkan. Larangan ini dikecualikan untuk 12 orang sahaja iaitu...
  • Suami - boleh melihat isterinya dalam apa cara pun dia suka; hal ini ditegaskan oleh hadis Nabi yang bermaksud... "Peliharalah auratmu kecuali terhadap isterimu."
  • Ayah (termasuk datuk) - baik daripada pihak ayah ataupun ibu.
  • Ayah mertua kerana mereka sudah dianggap sebagai ayah sendiri dalam hubungannya dengan isteri kamu.
  • Anak-anak yang lelaki termasuklah cucu, baik daripada anak lelaki ataupun daripada anak perempuan.
  • Anak-anak suami kerana ada suatu keharusan untuk bergaul dengan mereka; ditambah lagi bahawa isteri anda waktu itu adalah sebagai ibu kepada anak-anak anda.
  • Saudara lelaki baik sekandung, sebapa atau seibu.
  • Anak saudara kerana mereka ini selamanya tidak boleh dikahwini.
  • Sesama perempuan; baik yang ada kaitannya dengan nasab ataupun orang lain yang seagama. Adapun perempuan kafir tidak boleh melihat perhiasan perempuan Muslimah kecuali perhiasan yang boleh dilihat oleh lelaki.
  • Hamba sahaya. Mereka ini dalam Islam dianggap sebagai ahli keluarga tetapi sebahagian ulama' ada yang berpendapat bahawa... "Khusus buat hamba perempuan (amah) bukannya hamba lelaki."
  • Anak saudara daripada saudara perempuan kerana mereka ini haram dikahwini selamanya.
  • Pelayan yang duduk serumah yang tiada rasa syahwat. Mereka ini ialah pekerja atau orang yang mengikuti perempuan tersebut yang sudah tidak bersyahwat lagi kerana masalah badan ataupun akal. Jadi yang terpenting di sini ialah adanya dua sifat iaitu mengikuti dan tiada syahwat.
  • Anak-anak kecil yang tiada syahwat ketika melihat aurat perempuan. Mereka ini ialah anak-anak yang masih belum ada syahwat.
  • Dalam ayat ini tidak disebutkan masalah bapa saudara baik daripada sebelah atau ataupun ibu kerana mereka ini setaraf dengan ayah seperti yang diterangkan dalam hadis Nabi... "Bapa saudara seseorang adalah seperti ayahnya sendiri."

 
Fikir-fikirkanlah, wahai Muslimah!
 

Menebar Salam

Dari Abu Hurairah RA berkata... Rasulullah SAW bersabda...
"Kamu sekalian tidak akan masuk Syurga sebelum beriman dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling mencintai iaitu yang sebarkan salam di antara kamu sekalian."
(Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Abu Bakar RA berkata...
"Adalah kami apabila melihat seseorang muncul dari kejauhan selalu mendahuluinya dengan salam sebelum dia mengucapkannya."
(At-Targhib)

Dari Zuhrah bin Khumaishah RA berkata...
"Aku bersama Abu Bakar menaiki seekor unta. Setiap kali kami melewati sesuatu kaum, kami mengucapkan salam kepada mereka. Kemudian mereka membalas salam kami lebih banyak daripada apa yang kami katakan. Abu Bakar lalu berkata...'Hari ini manusia mengutamakan kita dengan kebaikan yang banyak.'"

Pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab pergi mengadukan perihal Saidina Ali bin Abi Thalib kepada Rasulullah SAW, katanya...
"Ya, Rasulullah! Ali bin Abi Thalib tidak pernah mendahului mengucapkan salam kepadaku."
Mendengarkan pengaduan itu, Rasulullah SAW segera memanggil Saidina Ali bin Abi Thalib untuk datang menemuinya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya...
"Ya, Ali! Benarkah engkau tidak pernah memberikan salam terlebih dahulu kepada Umar?"

Saidina Ali bin Abi Thalib menjawab...
"Ya, Rasulullah! Hal itu aku lakukan kerana dalam sabdamu yang menyebutkan bahawa sesiapa yang mendahului saudaranya mengucapkan salam, Allah SWT akan memberikan baginya istana di Syurga. Kerana itulah, Ya, Rasulullah... aku selalu ingin Umar mendahuluiku mengucapkan salam agar dia mendapat istana di Syurga."

Bagaimana saudara sekalian? Adakah kita selalu mengucapkan salam apabila bertemu dengan saudara seIslam kita? Tidak mahukah saudara sekalian sebuah istana di Syurga? Fikir-fikirkanlah...


Sunday, 15 April 2012

Bilakah doaku akan dimakbulkan?

Apabila ALLAH cepat memakbulkan doamu, maka DIA menyayangimu...
Firman ALLAH SWT (maksudnya)...
"Dan apabila hamba-hambaKU bertanya kepadamu mengenai AKU, maka (beritahu kepada mereka) : Sesungguhnya AKU (ALLAH) senantiasa hampir (kepada mereka). AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKU. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKU dan hendaklah mereka beriman kepadaKU supaya mereka menjadi baik serta betul."
(Surah Al-Baqarah : 186)

Apabila DIA tidak memakbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu...
Firman ALLAH SWT (maksudnya)...
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) ALLAH jua Yang Maha Mengetahui (semua itu) sedang kamu tidak mengetahuinya."
(Surah Al-Baqarah : 216)

Apabila DIA lambat memakbulkan doamu, DIA ingin mengujimu...
Menurut Al-Khatabi....
"Jika ALLAH tidak menjawab doa seseorang, DIA akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan atau menggantikan- nya dengan pahala."

Menurut Hukama :-
"Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan sedangkan sebenarnya DIA dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon atau DIA menolak dengan musibah atau penyakit, lebih banyak daripada apa yang dipinta atau diberikan ganjaran pada hari Kiamat."

Oleh itu, senantiasalah bersangka baik pada ALLAH SWT...
Firman ALLAH SWT (maksudnya)...
"AKU bersama sangkaan hambaKU terhadapKU yang bersangka tentangKU apa sahaja yang kamu ingini."
(Hadis Qudsi)