Dikisahkan bahawa ada seorang ahli ibadah bernama `Isam bin Yusuf'. Dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun demikian dia selalu khuatir jika ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakannya kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri suatu majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya...
"Wahai, Aba Abdur Rahman (nama gelaran Hatim)! Bagaimanakah caranya tuan bersolat?"
"Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin."
"Bagaimana wuduk zahir dan batin itu?"
"Wuduk zahir, sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu...
- Bertaubat
- Menyesali akan dosa yang telah dilakukan
- Tidak tergila-gilakan dengan dunia
- Tidak mencari atau mengharapkan pujian manusia
- Meninggalkan sifat bermegah-megahan
- Meninggalkan sifat khianat dan menipu
- Meninggalkan sifat dengki
Seterusnya Hatim Al-Asam berkata...
"Kemudian aku pergi ke Mesir, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap ke kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah SWT ada di hadapanku, Syurga berada di sebelah kananku, Neraka di sebelah kiriku, Malaikat Maut di belakangku. Dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Sidratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku. Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat, aku faham maknanya. Kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk. Aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."
Apabila Isam mendengar, menangislah dia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik apabila dibandingkan dengan Hatim Al-Asam.
Bagaimana pula dengan solat kita? Adakah solat kita seperti solatnya Rasulullah SAW atau seperti solatnya Hatim Al-Asam? Atau sekadar hanya bersolat sahaja kerana mengira itulah yang dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu? Atau kerana takutkan ibu ayah yang marah dan bising kerana kita tidak bersolat? Atau kerana takut akan Allah SWT?
Apapun... semuanya terpulang pada hati masing-masing.
"Ingatlah olehmu dua perkara dan lupakan dua perkara yang lain iaitu...
- dua perkara yang perlu diingat ialah Allah SWT dan mati
- dua perkara yang perlu dilupakan ialah kebaikanmu terhadap dirimu dan orang lain."
No comments:
Post a Comment