Monday, 16 April 2012

Menebar Salam

Dari Abu Hurairah RA berkata... Rasulullah SAW bersabda...
"Kamu sekalian tidak akan masuk Syurga sebelum beriman dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu kerjakan nescaya kamu sekalian akan saling mencintai iaitu yang sebarkan salam di antara kamu sekalian."
(Hadis Riwayat Muslim)

Saidina Abu Bakar RA berkata...
"Adalah kami apabila melihat seseorang muncul dari kejauhan selalu mendahuluinya dengan salam sebelum dia mengucapkannya."
(At-Targhib)

Dari Zuhrah bin Khumaishah RA berkata...
"Aku bersama Abu Bakar menaiki seekor unta. Setiap kali kami melewati sesuatu kaum, kami mengucapkan salam kepada mereka. Kemudian mereka membalas salam kami lebih banyak daripada apa yang kami katakan. Abu Bakar lalu berkata...'Hari ini manusia mengutamakan kita dengan kebaikan yang banyak.'"

Pada suatu hari Saidina Umar Al-Khattab pergi mengadukan perihal Saidina Ali bin Abi Thalib kepada Rasulullah SAW, katanya...
"Ya, Rasulullah! Ali bin Abi Thalib tidak pernah mendahului mengucapkan salam kepadaku."
Mendengarkan pengaduan itu, Rasulullah SAW segera memanggil Saidina Ali bin Abi Thalib untuk datang menemuinya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya...
"Ya, Ali! Benarkah engkau tidak pernah memberikan salam terlebih dahulu kepada Umar?"

Saidina Ali bin Abi Thalib menjawab...
"Ya, Rasulullah! Hal itu aku lakukan kerana dalam sabdamu yang menyebutkan bahawa sesiapa yang mendahului saudaranya mengucapkan salam, Allah SWT akan memberikan baginya istana di Syurga. Kerana itulah, Ya, Rasulullah... aku selalu ingin Umar mendahuluiku mengucapkan salam agar dia mendapat istana di Syurga."

Bagaimana saudara sekalian? Adakah kita selalu mengucapkan salam apabila bertemu dengan saudara seIslam kita? Tidak mahukah saudara sekalian sebuah istana di Syurga? Fikir-fikirkanlah...


No comments:

Post a Comment