Sunday, 22 April 2012

Kopi - Mana yang ingin anda percaya?

Kopi. Itulah tajuk yang akan kita perkatakan hari ini.
Kepada pengemar kopi (khususnya), sila baca petikan di bawah dan fikir-fikirkannya...

Kajian daripada Jabatan Neurosains, Universiti Johns Hopkins, Washington mendakwa kafein menjadi agen perangsang untuk meningkatkan kecergasan mental dan fizikal yang paling banyak digunakan di seluruh dunia kerana ianya murah dan mudah didapati.

Pertubuhan  Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Makanan dan Pertanian, mendakwa kopi adalah antara penyebab barah berdasarkan bahan kimia `acrylamide'. Kajian berdasarkan data 17 negara termasuklah Britain yang mengatakan mereka yang gemar minum kopi berhadapan dengan risiko barah antara 13% dan 39%. `Acrylamide' terhasil ketika memasak terutamanya masakan melalui proses pemanasan haba yang tinggi seperti menggoreng dan memanggang. Justeru `acrylamide' didakwa ditemui dalam kadar yang tinggi pada makanan seperti kerepek kentang, biskut dan roti dan yang terkini dikatakan boleh didapati pada bijian kopi yang dipanggang. Bagaimanapun tahap `acrylamide' dalam secawan kopi sebenarnya bergantung pada kadar kepanasan ketika proses memanggang bijian kopi.

Profesor Psikologi Southwestern Universiti Amerika, Fay Guarraci mendakwa pengambilan kopi dalam jumlah yang sederhana dapat meningkatkan keinginan seksual wanita. Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan kajiannya ke atas tikus. Kafein dalam kopi katanya, dapat memberi motivasi terhadap keinginan seksual. Bagaimanapun, beliau berkata kesannya pada manusia mungkin kurang sedikit memandangkan manusia sudah terlalu biasa dengan kafein.

Penyelidik Jepun mendakwa, amalan minum secawan kopi setiap hari boleh mengurangkan risiko dijangkiti tekanan tinggi. Pasukan itu diketuai seorang penyelidik di Universiti Keio, melakukan kaji selidik membabitkan 4 554 lelaki yang berumur sekitar 20an hingga 70an yang melawat klinik di Tokyo untuk melakukan pemeriksaan  `penyakit gaya hidup' antara bulan Oktober 2003 hingga Mac 2004. Akhbar `The Tokyo Shimbun' melaporkan, kaji selidik itu juga mendakwa sesiapa yang tidak minum kopi mempunyai peratusan tinggi untuk menghidap tekanan darah tinggi.


Penyelidik Jepun juga mendakwa kopi boleh menghalang barah hati. Kajian membabitkan 90 000 warga Jepun itu mendapati mereka yang minum kopi sehari sekali atau hampir setiap hari mendapat separuh risiko barah hati berbanding mereka yang langsung tidak minum kopi. Kajian yang diketuai oleh Monami Inoue dari Pusat Barah Kebangsaan di Tokyo mengambil masa 10 tahun menganalisa kesihatan awam yang membandingkan penggunaan kopi antara mereka yang didiagnosis dengan barah hati dan mereka yang tidak berpenyakit barah. Hasilnya, risiko barah hati pada mereka yang tidak pernah atau hampir tidak pernah menikmati kopi adalah 547.2 kes dalam 100 000 orang sepanjang 10 tahun.

Kajian di Kanada pula mendakwa kekerapan minum kopi (4 cawan atau lebih dalam sehari) meningkatkan  risiko barah pundi kencing di kalangan lelaki. Kajian itu yang diketuai saintis Ann-Marie Ugnat, mendakwa sebanyak 33% risiko barah pundi kencing di kalangan lelaki boleh dihalang dengan membuang tabiat minum kopi. Perkaitan antara kopi dan barah pundi kencing dibuat berdasarkan kajian terhadap 549 orang lelaki yang berhadapan dengan barah pundi kencing dan 1099 orang lelaki sihat.

Penyelidik Amerika Syarikat (AS) dan Kanada mendakwa kafein dalam kopi boleh menyebabkan serangan jantung. Hal ini berikutan kehadiran bahan kafein dalam kopi yang meningkatkan risiko serangan jantung di kalangan peminum kopi serta kaitan genetik berbanding  mereka yang tidak mengambil minuman itu. Dalam kajian 10 tahun itu, penyelidik AS dan Kanada terbabit, mengkaji lebih 4 000 orang peminum kopi di Costa Rica dan mendapati kumpulan peminum itu terbahagi kepada 2 jenis iaitu golongan yang mempunyai genetik metabolisme kafein yang pantas atau perlahan.
"Peminum yang dapat meleraikan kandungan kafein dengan pantas dan minum dua cawan kopi atau lebih sehari adalah 36% lebih berkemungkinan mengalami serangan jantung bukan maut berbanding mereka yang minum sedikit," kata Ahmed Al-Sohemy, penyelidik dan Pengerusi Pemakanan Universiti Toronto. Katanya, risiko kopi terbukti lebih tinggi di kalangan mereka yang memiliki metabolisme kafein yang perlahan, berusia kurang 50an.
Golongan ini adalah 4 kali ganda mengalami serangan jantung berbanding rakan sebaya yang minum sedikit atau tidak minum kopi langsung. Bagi mereka yang mempunyai kadar metabolisme pantas, kesan sebaliknya yang akan diperolehi.


Bagaimana pengemar kopi? Adakah anda masih berani untuk minum kopi? Semuanya terpulang kepada pandangan dan buah fikiran masing-masing. Semua fakta di atas hanyalah sebuah teori sahaja. Betul ataupun tidak, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Bukan kita atau doktor yang menentukan semuanya. Yang penting tanyalah hati kita dan bukannya tepuk dada tanya selera, tetapi ketuklah kepala, tanya akal kita.

P/S :  Belajarlah daripada kesilapan dan kegagalan kita.
          Tersenyumlah! Cukuplah kepahitan dan kesakitan itu tersangkut di celah-celah awan 
          dan dibasuh oleh hujan. HanyaTuhan yang akan mengerti penderitaanmu.



No comments:

Post a Comment