Saturday, 30 November 2013

Cinta Tanpa Syarat

     Pengamatan daripada seorang sahabat; memperlihatkan bahawa anak-anak sekarang mulai menimbulkan bibit-bibit kebencian ataupun sekurang-kurangnya tidak berpuas hati dengan ibu ayah sendiri; baik semasa mereka menempuh beberapa fasa kehidupan. Seorang ayah mungkin garangnya hingga menampar dan menjentik menjadi makanan harian seorang anak. Pada sepanjang masa, anak menerima hakikat bahawa ayahnya adalah seorang yang garang lalu dia senantiasa berusaha untuk mengelak daripada `membuat masalah' dengan ayah yang garang itu. Tetapi untuk membenci ayah, tidak terlintas di hati dan kepala.
     Fasa pertama yang sering menimbulkan rasa benci serta marah anak-anak kepada ibu ayah ialah apabila anak-anak mula meningkat dewasa, bersekolah dan memulakan tabiat berkunjung ke rumah kawan-kawan malah bermalam di sana. Pada usia inilah anak mula terdedah kepada contoh-contoh lain tentang bagaimana `sepatutnya' seorang yang bergelar ibu ayah. Anak-anak mula membandingkan ibu ayahnya sendiri dengan ibu ayah kawan. Rasa takut terhadap kegarangan ayah dan ibu mula berubah menjadi benci. 
     Fasa kedua pula ialah apabila anak-anak telah berumahtangga. Dalam sesetengah keadaan, ada ibu atau ayah yang melebihkan anak mereka sendiri berbanding menantu. Tetapi banyak juga menantu yang `bertuah' mendapat mertua yang baik-baik, namun mereka mula secara tidak sedar menyemai suatu fikiran yang kotor bahawa ibu ayahku tidak sebaik mertua. Perbandingan-perbandingan inilah yang menyemai bibit kebencian dan rasa tidak puas hati si anak kepada ibu ayah mereka sendiri.
     Seburuk mana pun mereka, janganlah sesekali kita lupa pada kebaikan mereka semasa kita belum ada upaya menyimpan ingatan. Kebaikan yang mungkin tidak pernah dianggap kebaikan oleh sesiapa kerana berlangsungnya ia tanpa dikenang. Kita sebenarnya menumpang duduk 9 bulan di perut seorang perempuan. Alam itu digelar `alam rahim'. Alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada sekelumit sayang di naluri seorang ibu, nescaya dibuang sahaja isi perut itu di tandas, di longkang, di tong sampah atau di mana sahaja. Kerana secebis belas dan sayang itulah, kita lahir ke dunia.
     Adakah anda lupa (memang tak ingat pun), semasa kita kecil, kita selalu menjerit sesuka hati, memalukan ibu ayah di tengah-tengah orang ramai. Kita pecahkan pinggan di kedai makan, kita ambil barang orang, kita kencing dan berak sesuka hati dan kita demam tidak bermusim. Bukan kita seorang, bahkan adik-beradik yang lain juga begitu. Jika seorang ibu dan seorang ayah tiada naluri kasih sayang, tentu sudah patah riuk tulang kita dikerjakannya. Sudahlah penat bekerja, tidur pula entah ke mana, bergolok-gadai mencari bekal; apakah semuanya semata-mata untuk membesarkan seorang pembenci?

     Kita memang ada ramai kawan tetapi kita hanya ada seorang ibu dan seorang ayah sahaja. Busuk atau wangi; buruk atau baik... itulah ibu dan ayah kita. Pernah suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Abu Darda RA; memberitahunya bahawa ibu lelaki itu menyuruhnya mentalakkan isteri. Lalu Abu Darda berkata... "Aku telah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda... Ibu bapa adalah pintu Syurga yang paling tengah. Terserahlah kpd kamu sama ada mahu mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya." (Hadis sahih riwayat Ahmad, Al-Tirmidhi dan Ibn Majjah).
     Pintu masuk ke Syurga yang paling utama adalah pada memenuhi hubungan kita dengan ibu dan ayah juga. Allah meletakkan kewajiban kita sebagai anak adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan menghormati ibu ayah. Semua itu bukan balasan kebaikan ibu ayah kepada kita tetapi suatu tanggungjawab dan kewajiban kita sebagai anak; biar bagaimana sekalipun ibu dan ayah kita. Apa pun ibu dan ayah kita, bukan anak yang berhak menghukum mereka. Segala dosa ibu ayah, kecuaian mereka dan serba-serbi kesalahan dan kekurangan mereka, ibu ayah itulah yang akan bersoal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab dan peranan mereka terhadap kita.
     Namun sebagai seorang anak, tugas kita adalah untuk tetap menghormati, menjaga kebajikan, memelihara dan memenuhi keperluan mereka tatkala mereka dalam hajat yang diwajarkan syariat. Kewajiban anak adalah pada mengekalkan perlakuan baik terhadap ibu ayahnya. Bukan bergantung kepada layanan ibu ayahnya dahulu tetapi tanggungjawab anak sebagai seorang anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Untuk menyayangi ibu ayah, terpulanglah kepada anak itu sendiri; namun...

     Melaksanakan suatu kewajiban tanpa nilai kasih sayang adalah suatu beban. Berat tanggungjawab tanpa kasih sayang adalah maksud malangnya diri yang gagal untuk menyayangi. Ada suatu ketika Umar Al-Khattab RA dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua lalu beliau bertanya kpd perempuan itu... "Apakah perihalnya kamu ini?"
     Perempuan itu menjawab... "Yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain-main denganku."
     Umar Al-Khattab RA teruja dengan kejadian itu lalu berkata... "Wahai, sahabat! Lihatlah perempuan itu, dia telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya."
     Perempuan itu membalas... "Tidak, Ya Amir Mu'minin! Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika kecil, dia selalu mendoakan panjang umurku tetapi semasa aku menjaganya ketika dia telah tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati."

     Kita memohon keampunan dari Allah dengan mendoakan keampunan untuk ibu ayah kita. Tujuannya adalah berbalik kpd CINTA TANPA SYARAT. Sebagaimana ibu ayah mengasihi kita tanpa syarat, begitulah kita memohon agar dikasihi Allah ke atas diri ini TANPA SYARAT. Menghormati mereka cukup dengan tidak membalas `kejahatan' mereka dengan `kejahatan' kita. Sedang kita pun banyak berbuat jahat kepada Allah, namun Allah senantiasa Maha Tahu cara untuk `berbuat baik' dengan kita. Bagaimana kita boleh mendamba keampunan Allah tanpa syarat, sedangkan kita ghairah meletakkan pelbagai syarat terhadap ibu ayah sendiri?

Friday, 29 November 2013

Cerita Tentang Sedekah...

     Adakalanya, aku melahirkan rasa tidak puas hati mengenai peminta sedekah pada suami. Aku mempersoalkan tentang sedekah pada yang berhak. Apa erti sedekah, jika yang menerima itu berkemampuan? Pemberian yang membuat orang menjadi malas bekerja dan enggan berusaha tidak layak disebut sedekah. Bagi aku, sedekah yang benar ialah yang akan menggembirakan, membahagiakan, menenteramkan dan melegakan; baik yang menerima ataupun yang memberi.
     Tetapi, apa pun kata suamiku itu amat benar. Sekurang-kurangnya aku dapat mempelajari erti ikhlas dalam memberi, berbaik sangka, akhlak dan banyak lagi... "Jika betul mahu memberi, ditipu atau tidak, sekali-kali tidak akan kita persoalkan. Tetapi jika memberi kemudian berasa ragu-ragu, periksa hati kerana hati juga ada HAK untuk berprasangka baik terhadap manusia yang meminta sedekah seperti mana yang kita laung-laungkan. Hati yang benar-benar mahu bersedekah tak pernah mempersoalkan apa yang sudah dihulurkan."
     Ada sebuah hadis Sahih Muslim No: 1698 - riwayat daripada Abu Hurairah RA ... daripada Rasulullah SAW, ... seorang lelaki berkata..."Sungguh aku akan mengeluarkan sedekah pada malam ini lalu dia keluar membawa sedekahnya dan diberikannya ke tangan seorang wanita penzina. Pada keesokan harinya, orang banyak membicarakan bahawa malam tadi, ada seorang wanita penzina mendapat sedekah. Lelaki yang bersedekah itu mengucap...Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku jatuh pada wanita penzina). Aku akan bersedekah lagi lalu pada malam seterusnya, dia keluar membawa sedekahnya dan diberikan kepada seorang yang kaya. Apabila dia mendengar masyarakat sekeliling membicarakan hal tersebut lalu dia mengucap..."Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku jatuh pada seorang kaya). Lelaki ini masih bertekad untuk bersedekah lagi lalu pada malam itu dia keluar dgn membawa sedekahnya lalu diberikan kepada seorang pencuri. Keesokannya, orang ramai membicarakan hal tersebut dan mengetawakannya. Lalu lelaki itu mengucap lagi..."Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku ternyata jatuh pada wanita penzina, pada orang kaya dan pencuri) Lalu dia didatangi (Malaikat) dan dikatakan kepadanya..." Sedekahmu benar-benar telah diterima. Boleh jadi wanita penzina itu akan memberhentikan perbuatan zinanya kerana sedekahmu, orang kaya dapat mengambil pengajaran dan mahu memberikan sebahagian apa yang telah diberikan Allah kepadanya dan mungkin si pencuri menghentikan perbuatan mencurinya kerana sedekahmu."
     Sesungguhnya, pelajaran daripada Allah ada pelbagai. Dalam mencari yang HAK, adakalanya kita tergelincir di lembah keegoan, kesombongan, merasa diri senantiasa benar dan macam-macam lagi sifat tercela yang tidak kita sedari. Betapa halusnya bisikan syaitan hinggakan perkara yang kita tidak sangkakan benar, sebenarnya adalah salah. 
     Kekuatan hati adalah ikhlas. Dalam ikhlas tiada kepentingan diri sendiri. Semuanya kerana Allah. Selagi kepentingan diri tidak ditanam dalam bumi selagi itulah ikhlas tidak bercambah dengan baik. Bumi merupakan tempat menanam yang tersembunyi; jauh daripada perhatian manusia lain dan adalah umpama kubur yang tidak bertanda.

P/S :   Percayalah orang yang ikhlas dan jujur tidak
              akan tertindas. Sesungguhnya takdir Allah
              sangat misteri.

Tuesday, 12 November 2013

Sedapnya Sakit Itu...

     Sakit? Ada apa dengan sakit? Sakit itu katanya nikmat. Sakit itu khabarnya suatu kafarah dosa. Sakit itu adalah ujian daripada Allah SWT dan sakit itu juga merupakan bukti cinta Allah SWT. Sakit itu juga dikhabarkan terkandung suatu hikmah yang kita tidak tahu. Ujian sakit adalah guru yang tidak bercakap dan membebel tetapi sangat mengajar serta mendidik. Ujian terkecil apa lagi besar adalah takdir Allah yang terkandung maksud tertentu.
     Ahad lepas (10 November 2013)...aku ditakdirkan sakit (batuk, selesema dan demam). Apabila sakit, aku selalu dipersoalkan serta dikaitkan dengan penyakit kencing manis. Selalunya, aku akan berdiam diri kerana apa yg akan aku katakan bagai menempah diriku ke bilik soal-siasat bertahap kuku besi. Aku tak dapat lari dengan bedilan soalan-soalan yg membuatkan otak aku bagai nak melompat lari daripada semua ini. Sesuatu yg selalu mengasak minda aku...tak bolehkah seorang penyakit kencing manis jatuh sakit (demam)? Siapa aku nak lari dpd demam? Apa hak aku untuk mengelak dpd jatuh sakit? Hellooo...aku ni, manusia biasa. Rasulullah SAW pun pernah demam dan sakit. Itu normal sebagai manusia. Sakit dan sihat tu lumrah hidup. 
     Aku tahu, mereka yg selalu membebel pasal penyakit aku, amat prihatin dgn nasib aku. Aku tahu mereka sayang aku dan mahu aku hidup lama. Aku juga tak nak mati cepat. Siapa nak mati cepat kalau amal hanya secubit sahaja...aku tahu amal aku bukan tahap wali; masih banyak kurang; masih banyak yg perlu ditop up. Terima kasih dgn semua perhatian itu..sungguh aku amat hargainya. 
     Berbalik pada cerita sakit ini...sakit ini memang sedap walaupun banyak orang mengeluh (saja menyedapkan hati sendiri).Kerana jahilnya kita apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita memang mudah melatah. Terasa Allah tak adil pada diri kita; sengaja hendak menyusahkan kita atau pun kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian itu. Hati berdendam dan buruk sangka pada Allah. (Isk..isk..isk...hamba apa, kita ni, kan..)
     Hakikatnya...inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai Khalifah di muka bumi ini, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikirlah secara waras bahawa ketentuan Allah mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Ada pepatah mengatakan..."Hanya orang miskin yang tahu nikmat kekayaan; hanya orang sakit yang tahu nikmat kesihatan dan hanya orang mati yang tahu nikmat sebuah kehidupan."
     Sakit mampu menjadikan kita "selalu beringat seakan-akan, apabila kita sakit, Allah sedang berbisik pada kita... "Sesungguhnya AKU mampu menarik nikmatKU pada bila-bila masa sahaja." Untuk itu jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai suatu peringatan. 
     Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa bahawa sakit, bencana yang menimpa itu untuk peringatan dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah apabila anda sakit...hakikatnya Allah sedang memberi perhatian kepada kita. Bukankah itu suatu kemuliaan?

P/S :    Manusia akan mati. Kata-katanya juga akan mati.
                Tetapi penulisannya kekal hidup. Karyanya 
                tetap bernafas walaupun ditelan zaman.

Friday, 27 September 2013

Resah Seorang Aku...

    Kerap kali apabila kita jujur, kita akan dituduh bodoh. Apabila kita mengalah, kita akan dianggap lemah. Padahal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu, sukar untuk mendapatkannya. Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut jalan salah lalu dia cepat sampai; sedangkan kita di lorong yg betul, masih lelah menapak dan merangkak. Apabila yg batil ketawa, yg benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tegar melihat kebatilan melonjak ria.
    Acap kali duri berselindung di sebalik bunga lalu kita yg tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yg ikhlas dan lembut adakalanya dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yg lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yg sedia terhunus.
    Namun, jika itu yg kita ingatkan kpd yg lain, pasti ada yg mengatakan bahawa itu hanya `escapisme'. Apabila kecewa dgn manusia, orang akan `lari' kpd Tuhan. Apabila tidak dapat meraih dunia, orang mula merindui akhirat. Apabila terlepas kenikmatan nafsu, barulah ada yg merintih Syurga itu ada.
    Bukan...bukan begitu. Keyakinan kpd Allah dan Hari Akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh `etheis' dalam diri yg mendakwa bahawa manusia itulah yg `mencipta' Tuhan demi ketenangan. Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dgn manusia. Dan sesiapa yg memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya.
    Kita tidak selalunya benar dalam pendirian dan tindakan, kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah tetapi kerana kealpaan dan kejahilan, kita tersasar juga. Kita ingin tenang tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah juga. Ada rasa marah, ada rasa resah tetapi semua itu adalah `bayaran tol' di lebuh raya mujahadah.
    Ya, Allah...ampunkanlah aku! Berikanlah aku kekuatan utk memaafkan diri aku sendiri dan juga orang lain. Aku masih tidak pandai mensyukuri nikmatMU kerana aku masih mendidik hati dalam menerima ujianMU. Ya, Allah...cuma satu...cuma satu...janganlah ENGKAU serahkan diriku kpd diriku sendiri walau sekelip mata. Kutiplah aku, Ya Allah...untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufikMU. Ya Allah...aku senantiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah aku untuk menjadi orang yg jujur dan benar walau apa pun keadaan dan cabarannya. Amin!

P/S :   Kita semua ada buat dosa. Kita semua tak sempurna
              tetapi janganlah jadikan semua itu sebagai alasan
              untuk terus jauh daripada Allah.

Friday, 23 August 2013

Hadiahkanlah aku doamu, sahabat!

Sahabat...
Jika aku sahabatmu yang jahat, tolong doakan aku berpaling daripada kejahatan. Tolong doakan aku agar aku menjadi sahabatmu yang baik. Jika aku sahabatmu yang baik, tolong doakan kebaikan aku ini tulus dengan keikhlasan. Jika aku sahabatmu yang ikhlas, tolong doakan keikhlasanku sampai ke pangkuan Ilahi. Tolong gerakkan setiap tindakan aku padamu dengan sebuah doa. Tolong doakan aku agar aku tidak lupa untuk mendoakanmu jua.
Sahabat...
Bagiku hidup ini sederhana sahaja. Jika engkau senang bersahabat denganku, aku akan sambut dengan gembira walaupun engkau tidak suka. Aku tetap akan ketawa bersama dunia kerana di dalam sebuah persahabatan, rasa senang hati lebih penting sekalipun tidak semua orang boleh menyenangkan hati kita. Termasuklah aku. Bukan setiap saat aku mampu memberimu rasa aman dan nyaman.
Sahabat...
Mengenali seseorang adakalanya membuat kita ketawa, mengenali seseorang itu juga adakalanya membuat kita mengalirkan airmata. Sesungguhnya...mengenali seseorang itu mampu memberi kita sejuta rasa. Marah, sedih, gembira, sayang dan rindu tetapi sedarkah kita bahawa mengenali seseorang itu sebenarnya adalah suatu anugerah? Biarpun hadirnya hanya sekadar sementara dan sekadar teman seketika; bersyukurlah dengan kehadirannya kerana barangkali melalui saat itu kita akan mengerti apa ertinya sebuah persahabatan.
Sahabat...
Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah atas nama kesetiaan, mendahulukanmu atas nama kebajikan, menyimpan keaibanmu atas nama kejujuran, menegur kelemahanmu atas nama kebaikan, memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan...ketahuilah bahawa dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara dan sahabat sejati yang sukar dicari ganti.

Buat Renungan Bersama...

Aku kata `Astaghfirullah' tetapi hati aku masih gemar akan maksiat.
Aku kata `Wa Atubu Ilaihi' tetapi jasad aku masih melakukan dosa yang sama.
Aku kata `Wa Nadimna, Ya, Allah' tetapi kesilapan lalu masih kuulangi.
Aku kata `Subhanallah' tetapi aku masih tak mampu menghayatinya.
Aku kata `Alhamdulillah' tetapi aku masih tak bersyukur dengan kurniaannya.
Aku kata `Allahhuakhbar' tetapi cintaku lebih kepada dunia.
Aku kata `Ma'fi Qalbi Ghairullah' tetapi masih ada ruang di hatiku untuk insan yang tak halal.
Aku kata `aku tak layak ke SyurgaMU' tetapi aku tak sanggup ke NerakaMU.
Aku kata `aku ingin mendekatiMU' namun amalku tak seiring dengan kata-kataku.
Aku malu dengan sepasang mata kurniaanMU ini kerana air mata yang mengalir seakan-akan sia-sia sahaja. Aku malu dengan tangan yang sudah lelah mengelap air mata kerana tingkah laku pemiliknya yang berdosa.

P/S   :   Jika ada yang membenci kita berdakwah,
                itu hal biasa sebab berdakwah bukan
                untuk mengambil hati semua orang tetapi
                untuk memberi suatu kesedaran.


Monday, 22 July 2013

Sekadar peringatan untuk diri sendiri...

      Terlalu lama asyik memandang yang hitam sehingga terlupa yang putih. Kita pun macam ini juga, kan? Apabila kita tengok orang buat perkara yang lain sedikit, kita mulalah bersangka buruk dan mudah sahaja kita jatuhkan hukuman, sampai kita lupa semua kebaikan yang pernah dilakukan selama ini. Kita mula sisihkan mereka. Astaghfirullah...!
      Betul! Kita boleh membenci tetapi benci bukan pada orangnya tetapi benci pada maksiat yang dilakukan mereka dan dalam masa yang sama, janganlah tinggalkan dia dengan maksiat sahaja. Banyakkanlah doa. Ajaklah dia bersama-sama kita agar hatinya terbuka untuk menerima cahaya Allah.
      Betul! Susah untuk bersangka baik tetapi kenalah bermujahadah. Jangan latih diri untuk berterusan bersangka buruk, takut hati bertambah mati; takut riak merajai diri kerana kita bukanlah nabi. Kita ini hanyalah hamba pada Allah dan semuanya berbalik pada hati kerana hati yang akan memberi `guideline' kepada akal untuk berfikir dan akal akan memberikan arahan kepada anggota badan untuk bertindak. Rasulullah SAW bersabda...
      "Sesungguhnya dalam tubuh (manusia) ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati."      (HR Muslim)