Adakalanya, aku melahirkan rasa tidak puas hati mengenai peminta sedekah pada suami. Aku mempersoalkan tentang sedekah pada yang berhak. Apa erti sedekah, jika yang menerima itu berkemampuan? Pemberian yang membuat orang menjadi malas bekerja dan enggan berusaha tidak layak disebut sedekah. Bagi aku, sedekah yang benar ialah yang akan menggembirakan, membahagiakan, menenteramkan dan melegakan; baik yang menerima ataupun yang memberi.
Tetapi, apa pun kata suamiku itu amat benar. Sekurang-kurangnya aku dapat mempelajari erti ikhlas dalam memberi, berbaik sangka, akhlak dan banyak lagi... "Jika betul mahu memberi, ditipu atau tidak, sekali-kali tidak akan kita persoalkan. Tetapi jika memberi kemudian berasa ragu-ragu, periksa hati kerana hati juga ada HAK untuk berprasangka baik terhadap manusia yang meminta sedekah seperti mana yang kita laung-laungkan. Hati yang benar-benar mahu bersedekah tak pernah mempersoalkan apa yang sudah dihulurkan."
Ada sebuah hadis Sahih Muslim No: 1698 - riwayat daripada Abu Hurairah RA ... daripada Rasulullah SAW, ... seorang lelaki berkata..."Sungguh aku akan mengeluarkan sedekah pada malam ini lalu dia keluar membawa sedekahnya dan diberikannya ke tangan seorang wanita penzina. Pada keesokan harinya, orang banyak membicarakan bahawa malam tadi, ada seorang wanita penzina mendapat sedekah. Lelaki yang bersedekah itu mengucap...Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku jatuh pada wanita penzina). Aku akan bersedekah lagi lalu pada malam seterusnya, dia keluar membawa sedekahnya dan diberikan kepada seorang yang kaya. Apabila dia mendengar masyarakat sekeliling membicarakan hal tersebut lalu dia mengucap..."Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku jatuh pada seorang kaya). Lelaki ini masih bertekad untuk bersedekah lagi lalu pada malam itu dia keluar dgn membawa sedekahnya lalu diberikan kepada seorang pencuri. Keesokannya, orang ramai membicarakan hal tersebut dan mengetawakannya. Lalu lelaki itu mengucap lagi..."Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku ternyata jatuh pada wanita penzina, pada orang kaya dan pencuri) Lalu dia didatangi (Malaikat) dan dikatakan kepadanya..." Sedekahmu benar-benar telah diterima. Boleh jadi wanita penzina itu akan memberhentikan perbuatan zinanya kerana sedekahmu, orang kaya dapat mengambil pengajaran dan mahu memberikan sebahagian apa yang telah diberikan Allah kepadanya dan mungkin si pencuri menghentikan perbuatan mencurinya kerana sedekahmu."
Sesungguhnya, pelajaran daripada Allah ada pelbagai. Dalam mencari yang HAK, adakalanya kita tergelincir di lembah keegoan, kesombongan, merasa diri senantiasa benar dan macam-macam lagi sifat tercela yang tidak kita sedari. Betapa halusnya bisikan syaitan hinggakan perkara yang kita tidak sangkakan benar, sebenarnya adalah salah.
Kekuatan hati adalah ikhlas. Dalam ikhlas tiada kepentingan diri sendiri. Semuanya kerana Allah. Selagi kepentingan diri tidak ditanam dalam bumi selagi itulah ikhlas tidak bercambah dengan baik. Bumi merupakan tempat menanam yang tersembunyi; jauh daripada perhatian manusia lain dan adalah umpama kubur yang tidak bertanda.
P/S : Percayalah orang yang ikhlas dan jujur tidak
akan tertindas. Sesungguhnya takdir Allah
sangat misteri.
No comments:
Post a Comment