Saturday, 30 November 2013

Cinta Tanpa Syarat

     Pengamatan daripada seorang sahabat; memperlihatkan bahawa anak-anak sekarang mulai menimbulkan bibit-bibit kebencian ataupun sekurang-kurangnya tidak berpuas hati dengan ibu ayah sendiri; baik semasa mereka menempuh beberapa fasa kehidupan. Seorang ayah mungkin garangnya hingga menampar dan menjentik menjadi makanan harian seorang anak. Pada sepanjang masa, anak menerima hakikat bahawa ayahnya adalah seorang yang garang lalu dia senantiasa berusaha untuk mengelak daripada `membuat masalah' dengan ayah yang garang itu. Tetapi untuk membenci ayah, tidak terlintas di hati dan kepala.
     Fasa pertama yang sering menimbulkan rasa benci serta marah anak-anak kepada ibu ayah ialah apabila anak-anak mula meningkat dewasa, bersekolah dan memulakan tabiat berkunjung ke rumah kawan-kawan malah bermalam di sana. Pada usia inilah anak mula terdedah kepada contoh-contoh lain tentang bagaimana `sepatutnya' seorang yang bergelar ibu ayah. Anak-anak mula membandingkan ibu ayahnya sendiri dengan ibu ayah kawan. Rasa takut terhadap kegarangan ayah dan ibu mula berubah menjadi benci. 
     Fasa kedua pula ialah apabila anak-anak telah berumahtangga. Dalam sesetengah keadaan, ada ibu atau ayah yang melebihkan anak mereka sendiri berbanding menantu. Tetapi banyak juga menantu yang `bertuah' mendapat mertua yang baik-baik, namun mereka mula secara tidak sedar menyemai suatu fikiran yang kotor bahawa ibu ayahku tidak sebaik mertua. Perbandingan-perbandingan inilah yang menyemai bibit kebencian dan rasa tidak puas hati si anak kepada ibu ayah mereka sendiri.
     Seburuk mana pun mereka, janganlah sesekali kita lupa pada kebaikan mereka semasa kita belum ada upaya menyimpan ingatan. Kebaikan yang mungkin tidak pernah dianggap kebaikan oleh sesiapa kerana berlangsungnya ia tanpa dikenang. Kita sebenarnya menumpang duduk 9 bulan di perut seorang perempuan. Alam itu digelar `alam rahim'. Alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada sekelumit sayang di naluri seorang ibu, nescaya dibuang sahaja isi perut itu di tandas, di longkang, di tong sampah atau di mana sahaja. Kerana secebis belas dan sayang itulah, kita lahir ke dunia.
     Adakah anda lupa (memang tak ingat pun), semasa kita kecil, kita selalu menjerit sesuka hati, memalukan ibu ayah di tengah-tengah orang ramai. Kita pecahkan pinggan di kedai makan, kita ambil barang orang, kita kencing dan berak sesuka hati dan kita demam tidak bermusim. Bukan kita seorang, bahkan adik-beradik yang lain juga begitu. Jika seorang ibu dan seorang ayah tiada naluri kasih sayang, tentu sudah patah riuk tulang kita dikerjakannya. Sudahlah penat bekerja, tidur pula entah ke mana, bergolok-gadai mencari bekal; apakah semuanya semata-mata untuk membesarkan seorang pembenci?

     Kita memang ada ramai kawan tetapi kita hanya ada seorang ibu dan seorang ayah sahaja. Busuk atau wangi; buruk atau baik... itulah ibu dan ayah kita. Pernah suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Abu Darda RA; memberitahunya bahawa ibu lelaki itu menyuruhnya mentalakkan isteri. Lalu Abu Darda berkata... "Aku telah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda... Ibu bapa adalah pintu Syurga yang paling tengah. Terserahlah kpd kamu sama ada mahu mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya." (Hadis sahih riwayat Ahmad, Al-Tirmidhi dan Ibn Majjah).
     Pintu masuk ke Syurga yang paling utama adalah pada memenuhi hubungan kita dengan ibu dan ayah juga. Allah meletakkan kewajiban kita sebagai anak adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan menghormati ibu ayah. Semua itu bukan balasan kebaikan ibu ayah kepada kita tetapi suatu tanggungjawab dan kewajiban kita sebagai anak; biar bagaimana sekalipun ibu dan ayah kita. Apa pun ibu dan ayah kita, bukan anak yang berhak menghukum mereka. Segala dosa ibu ayah, kecuaian mereka dan serba-serbi kesalahan dan kekurangan mereka, ibu ayah itulah yang akan bersoal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab dan peranan mereka terhadap kita.
     Namun sebagai seorang anak, tugas kita adalah untuk tetap menghormati, menjaga kebajikan, memelihara dan memenuhi keperluan mereka tatkala mereka dalam hajat yang diwajarkan syariat. Kewajiban anak adalah pada mengekalkan perlakuan baik terhadap ibu ayahnya. Bukan bergantung kepada layanan ibu ayahnya dahulu tetapi tanggungjawab anak sebagai seorang anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Untuk menyayangi ibu ayah, terpulanglah kepada anak itu sendiri; namun...

     Melaksanakan suatu kewajiban tanpa nilai kasih sayang adalah suatu beban. Berat tanggungjawab tanpa kasih sayang adalah maksud malangnya diri yang gagal untuk menyayangi. Ada suatu ketika Umar Al-Khattab RA dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua lalu beliau bertanya kpd perempuan itu... "Apakah perihalnya kamu ini?"
     Perempuan itu menjawab... "Yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain-main denganku."
     Umar Al-Khattab RA teruja dengan kejadian itu lalu berkata... "Wahai, sahabat! Lihatlah perempuan itu, dia telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya."
     Perempuan itu membalas... "Tidak, Ya Amir Mu'minin! Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika kecil, dia selalu mendoakan panjang umurku tetapi semasa aku menjaganya ketika dia telah tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati."

     Kita memohon keampunan dari Allah dengan mendoakan keampunan untuk ibu ayah kita. Tujuannya adalah berbalik kpd CINTA TANPA SYARAT. Sebagaimana ibu ayah mengasihi kita tanpa syarat, begitulah kita memohon agar dikasihi Allah ke atas diri ini TANPA SYARAT. Menghormati mereka cukup dengan tidak membalas `kejahatan' mereka dengan `kejahatan' kita. Sedang kita pun banyak berbuat jahat kepada Allah, namun Allah senantiasa Maha Tahu cara untuk `berbuat baik' dengan kita. Bagaimana kita boleh mendamba keampunan Allah tanpa syarat, sedangkan kita ghairah meletakkan pelbagai syarat terhadap ibu ayah sendiri?

Friday, 29 November 2013

Cerita Tentang Sedekah...

     Adakalanya, aku melahirkan rasa tidak puas hati mengenai peminta sedekah pada suami. Aku mempersoalkan tentang sedekah pada yang berhak. Apa erti sedekah, jika yang menerima itu berkemampuan? Pemberian yang membuat orang menjadi malas bekerja dan enggan berusaha tidak layak disebut sedekah. Bagi aku, sedekah yang benar ialah yang akan menggembirakan, membahagiakan, menenteramkan dan melegakan; baik yang menerima ataupun yang memberi.
     Tetapi, apa pun kata suamiku itu amat benar. Sekurang-kurangnya aku dapat mempelajari erti ikhlas dalam memberi, berbaik sangka, akhlak dan banyak lagi... "Jika betul mahu memberi, ditipu atau tidak, sekali-kali tidak akan kita persoalkan. Tetapi jika memberi kemudian berasa ragu-ragu, periksa hati kerana hati juga ada HAK untuk berprasangka baik terhadap manusia yang meminta sedekah seperti mana yang kita laung-laungkan. Hati yang benar-benar mahu bersedekah tak pernah mempersoalkan apa yang sudah dihulurkan."
     Ada sebuah hadis Sahih Muslim No: 1698 - riwayat daripada Abu Hurairah RA ... daripada Rasulullah SAW, ... seorang lelaki berkata..."Sungguh aku akan mengeluarkan sedekah pada malam ini lalu dia keluar membawa sedekahnya dan diberikannya ke tangan seorang wanita penzina. Pada keesokan harinya, orang banyak membicarakan bahawa malam tadi, ada seorang wanita penzina mendapat sedekah. Lelaki yang bersedekah itu mengucap...Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku jatuh pada wanita penzina). Aku akan bersedekah lagi lalu pada malam seterusnya, dia keluar membawa sedekahnya dan diberikan kepada seorang yang kaya. Apabila dia mendengar masyarakat sekeliling membicarakan hal tersebut lalu dia mengucap..."Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku jatuh pada seorang kaya). Lelaki ini masih bertekad untuk bersedekah lagi lalu pada malam itu dia keluar dgn membawa sedekahnya lalu diberikan kepada seorang pencuri. Keesokannya, orang ramai membicarakan hal tersebut dan mengetawakannya. Lalu lelaki itu mengucap lagi..."Ya, Allah; hanya bagiMU segala pujian (sedekahku ternyata jatuh pada wanita penzina, pada orang kaya dan pencuri) Lalu dia didatangi (Malaikat) dan dikatakan kepadanya..." Sedekahmu benar-benar telah diterima. Boleh jadi wanita penzina itu akan memberhentikan perbuatan zinanya kerana sedekahmu, orang kaya dapat mengambil pengajaran dan mahu memberikan sebahagian apa yang telah diberikan Allah kepadanya dan mungkin si pencuri menghentikan perbuatan mencurinya kerana sedekahmu."
     Sesungguhnya, pelajaran daripada Allah ada pelbagai. Dalam mencari yang HAK, adakalanya kita tergelincir di lembah keegoan, kesombongan, merasa diri senantiasa benar dan macam-macam lagi sifat tercela yang tidak kita sedari. Betapa halusnya bisikan syaitan hinggakan perkara yang kita tidak sangkakan benar, sebenarnya adalah salah. 
     Kekuatan hati adalah ikhlas. Dalam ikhlas tiada kepentingan diri sendiri. Semuanya kerana Allah. Selagi kepentingan diri tidak ditanam dalam bumi selagi itulah ikhlas tidak bercambah dengan baik. Bumi merupakan tempat menanam yang tersembunyi; jauh daripada perhatian manusia lain dan adalah umpama kubur yang tidak bertanda.

P/S :   Percayalah orang yang ikhlas dan jujur tidak
              akan tertindas. Sesungguhnya takdir Allah
              sangat misteri.

Tuesday, 12 November 2013

Sedapnya Sakit Itu...

     Sakit? Ada apa dengan sakit? Sakit itu katanya nikmat. Sakit itu khabarnya suatu kafarah dosa. Sakit itu adalah ujian daripada Allah SWT dan sakit itu juga merupakan bukti cinta Allah SWT. Sakit itu juga dikhabarkan terkandung suatu hikmah yang kita tidak tahu. Ujian sakit adalah guru yang tidak bercakap dan membebel tetapi sangat mengajar serta mendidik. Ujian terkecil apa lagi besar adalah takdir Allah yang terkandung maksud tertentu.
     Ahad lepas (10 November 2013)...aku ditakdirkan sakit (batuk, selesema dan demam). Apabila sakit, aku selalu dipersoalkan serta dikaitkan dengan penyakit kencing manis. Selalunya, aku akan berdiam diri kerana apa yg akan aku katakan bagai menempah diriku ke bilik soal-siasat bertahap kuku besi. Aku tak dapat lari dengan bedilan soalan-soalan yg membuatkan otak aku bagai nak melompat lari daripada semua ini. Sesuatu yg selalu mengasak minda aku...tak bolehkah seorang penyakit kencing manis jatuh sakit (demam)? Siapa aku nak lari dpd demam? Apa hak aku untuk mengelak dpd jatuh sakit? Hellooo...aku ni, manusia biasa. Rasulullah SAW pun pernah demam dan sakit. Itu normal sebagai manusia. Sakit dan sihat tu lumrah hidup. 
     Aku tahu, mereka yg selalu membebel pasal penyakit aku, amat prihatin dgn nasib aku. Aku tahu mereka sayang aku dan mahu aku hidup lama. Aku juga tak nak mati cepat. Siapa nak mati cepat kalau amal hanya secubit sahaja...aku tahu amal aku bukan tahap wali; masih banyak kurang; masih banyak yg perlu ditop up. Terima kasih dgn semua perhatian itu..sungguh aku amat hargainya. 
     Berbalik pada cerita sakit ini...sakit ini memang sedap walaupun banyak orang mengeluh (saja menyedapkan hati sendiri).Kerana jahilnya kita apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita memang mudah melatah. Terasa Allah tak adil pada diri kita; sengaja hendak menyusahkan kita atau pun kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian itu. Hati berdendam dan buruk sangka pada Allah. (Isk..isk..isk...hamba apa, kita ni, kan..)
     Hakikatnya...inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai Khalifah di muka bumi ini, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikirlah secara waras bahawa ketentuan Allah mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Ada pepatah mengatakan..."Hanya orang miskin yang tahu nikmat kekayaan; hanya orang sakit yang tahu nikmat kesihatan dan hanya orang mati yang tahu nikmat sebuah kehidupan."
     Sakit mampu menjadikan kita "selalu beringat seakan-akan, apabila kita sakit, Allah sedang berbisik pada kita... "Sesungguhnya AKU mampu menarik nikmatKU pada bila-bila masa sahaja." Untuk itu jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai suatu peringatan. 
     Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa bahawa sakit, bencana yang menimpa itu untuk peringatan dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah apabila anda sakit...hakikatnya Allah sedang memberi perhatian kepada kita. Bukankah itu suatu kemuliaan?

P/S :    Manusia akan mati. Kata-katanya juga akan mati.
                Tetapi penulisannya kekal hidup. Karyanya 
                tetap bernafas walaupun ditelan zaman.

Friday, 27 September 2013

Resah Seorang Aku...

    Kerap kali apabila kita jujur, kita akan dituduh bodoh. Apabila kita mengalah, kita akan dianggap lemah. Padahal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu, sukar untuk mendapatkannya. Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut jalan salah lalu dia cepat sampai; sedangkan kita di lorong yg betul, masih lelah menapak dan merangkak. Apabila yg batil ketawa, yg benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tegar melihat kebatilan melonjak ria.
    Acap kali duri berselindung di sebalik bunga lalu kita yg tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yg ikhlas dan lembut adakalanya dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yg lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yg sedia terhunus.
    Namun, jika itu yg kita ingatkan kpd yg lain, pasti ada yg mengatakan bahawa itu hanya `escapisme'. Apabila kecewa dgn manusia, orang akan `lari' kpd Tuhan. Apabila tidak dapat meraih dunia, orang mula merindui akhirat. Apabila terlepas kenikmatan nafsu, barulah ada yg merintih Syurga itu ada.
    Bukan...bukan begitu. Keyakinan kpd Allah dan Hari Akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh `etheis' dalam diri yg mendakwa bahawa manusia itulah yg `mencipta' Tuhan demi ketenangan. Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dgn manusia. Dan sesiapa yg memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya.
    Kita tidak selalunya benar dalam pendirian dan tindakan, kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah tetapi kerana kealpaan dan kejahilan, kita tersasar juga. Kita ingin tenang tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah juga. Ada rasa marah, ada rasa resah tetapi semua itu adalah `bayaran tol' di lebuh raya mujahadah.
    Ya, Allah...ampunkanlah aku! Berikanlah aku kekuatan utk memaafkan diri aku sendiri dan juga orang lain. Aku masih tidak pandai mensyukuri nikmatMU kerana aku masih mendidik hati dalam menerima ujianMU. Ya, Allah...cuma satu...cuma satu...janganlah ENGKAU serahkan diriku kpd diriku sendiri walau sekelip mata. Kutiplah aku, Ya Allah...untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufikMU. Ya Allah...aku senantiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah aku untuk menjadi orang yg jujur dan benar walau apa pun keadaan dan cabarannya. Amin!

P/S :   Kita semua ada buat dosa. Kita semua tak sempurna
              tetapi janganlah jadikan semua itu sebagai alasan
              untuk terus jauh daripada Allah.

Friday, 23 August 2013

Hadiahkanlah aku doamu, sahabat!

Sahabat...
Jika aku sahabatmu yang jahat, tolong doakan aku berpaling daripada kejahatan. Tolong doakan aku agar aku menjadi sahabatmu yang baik. Jika aku sahabatmu yang baik, tolong doakan kebaikan aku ini tulus dengan keikhlasan. Jika aku sahabatmu yang ikhlas, tolong doakan keikhlasanku sampai ke pangkuan Ilahi. Tolong gerakkan setiap tindakan aku padamu dengan sebuah doa. Tolong doakan aku agar aku tidak lupa untuk mendoakanmu jua.
Sahabat...
Bagiku hidup ini sederhana sahaja. Jika engkau senang bersahabat denganku, aku akan sambut dengan gembira walaupun engkau tidak suka. Aku tetap akan ketawa bersama dunia kerana di dalam sebuah persahabatan, rasa senang hati lebih penting sekalipun tidak semua orang boleh menyenangkan hati kita. Termasuklah aku. Bukan setiap saat aku mampu memberimu rasa aman dan nyaman.
Sahabat...
Mengenali seseorang adakalanya membuat kita ketawa, mengenali seseorang itu juga adakalanya membuat kita mengalirkan airmata. Sesungguhnya...mengenali seseorang itu mampu memberi kita sejuta rasa. Marah, sedih, gembira, sayang dan rindu tetapi sedarkah kita bahawa mengenali seseorang itu sebenarnya adalah suatu anugerah? Biarpun hadirnya hanya sekadar sementara dan sekadar teman seketika; bersyukurlah dengan kehadirannya kerana barangkali melalui saat itu kita akan mengerti apa ertinya sebuah persahabatan.
Sahabat...
Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah atas nama kesetiaan, mendahulukanmu atas nama kebajikan, menyimpan keaibanmu atas nama kejujuran, menegur kelemahanmu atas nama kebaikan, memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan...ketahuilah bahawa dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara dan sahabat sejati yang sukar dicari ganti.

Buat Renungan Bersama...

Aku kata `Astaghfirullah' tetapi hati aku masih gemar akan maksiat.
Aku kata `Wa Atubu Ilaihi' tetapi jasad aku masih melakukan dosa yang sama.
Aku kata `Wa Nadimna, Ya, Allah' tetapi kesilapan lalu masih kuulangi.
Aku kata `Subhanallah' tetapi aku masih tak mampu menghayatinya.
Aku kata `Alhamdulillah' tetapi aku masih tak bersyukur dengan kurniaannya.
Aku kata `Allahhuakhbar' tetapi cintaku lebih kepada dunia.
Aku kata `Ma'fi Qalbi Ghairullah' tetapi masih ada ruang di hatiku untuk insan yang tak halal.
Aku kata `aku tak layak ke SyurgaMU' tetapi aku tak sanggup ke NerakaMU.
Aku kata `aku ingin mendekatiMU' namun amalku tak seiring dengan kata-kataku.
Aku malu dengan sepasang mata kurniaanMU ini kerana air mata yang mengalir seakan-akan sia-sia sahaja. Aku malu dengan tangan yang sudah lelah mengelap air mata kerana tingkah laku pemiliknya yang berdosa.

P/S   :   Jika ada yang membenci kita berdakwah,
                itu hal biasa sebab berdakwah bukan
                untuk mengambil hati semua orang tetapi
                untuk memberi suatu kesedaran.


Monday, 22 July 2013

Sekadar peringatan untuk diri sendiri...

      Terlalu lama asyik memandang yang hitam sehingga terlupa yang putih. Kita pun macam ini juga, kan? Apabila kita tengok orang buat perkara yang lain sedikit, kita mulalah bersangka buruk dan mudah sahaja kita jatuhkan hukuman, sampai kita lupa semua kebaikan yang pernah dilakukan selama ini. Kita mula sisihkan mereka. Astaghfirullah...!
      Betul! Kita boleh membenci tetapi benci bukan pada orangnya tetapi benci pada maksiat yang dilakukan mereka dan dalam masa yang sama, janganlah tinggalkan dia dengan maksiat sahaja. Banyakkanlah doa. Ajaklah dia bersama-sama kita agar hatinya terbuka untuk menerima cahaya Allah.
      Betul! Susah untuk bersangka baik tetapi kenalah bermujahadah. Jangan latih diri untuk berterusan bersangka buruk, takut hati bertambah mati; takut riak merajai diri kerana kita bukanlah nabi. Kita ini hanyalah hamba pada Allah dan semuanya berbalik pada hati kerana hati yang akan memberi `guideline' kepada akal untuk berfikir dan akal akan memberikan arahan kepada anggota badan untuk bertindak. Rasulullah SAW bersabda...
      "Sesungguhnya dalam tubuh (manusia) ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati."      (HR Muslim)


Sunday, 21 July 2013

Sepasang Kurung Biru...

Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Suasana penuh keriangan
Aku teringat pada seseorang...
Di hari yang berbahagia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangi lalu
Menyambut raya bersama denganmu....
Tiada bisikan lembut yang kudengar
Hanya suara azan sayup bergema
Masih kurasakan hangat tanganmu
Di pagi raya bersalam denganmu...
Tetamu datang tetamu pergi
Namun tak akan tiba orang kunanti
Hanya sepasang kurung nan biru
Menjadi teman mengubat rinduku...
Makkkk....

P/S   :    Adakalanya susah untuk memujuk hati sendiri
                  Sometimes Allah allows us to cry for tears
                  to clear our eyes so we can clearly see the
                  good things ahead.
                  Ya, Allah! Sakitnya rindu ini!

Dia hanya seorang `AYAH' ...

Banyak orang cakap...
Ayah berfikir dalam diamnya. Ayah menahan rasa kesal dalam diamnya juga. Ayah rasa bangga pada anak-anaknya dalam diamnya. Ayah menyimpan semua beban hidup dalam diamnya. Ayah menyayangi anak-anaknya dalam diamnya.
Ada yang berkata begitu dan aku percaya...
Dalam diamnya bukan bermakna ayah tidak memikirkan anak-anaknya, masa depan anak-anaknya bahkan keperluan anak-anaknya sehinggalah mereka dewasa. Dalam diamnya, bukan bererti ayah tidak menyayangi anak-anaknya tetapi ayah selalu menginginkan yang terbaik dalam hidup anak-anaknya. Dalam diamnya bukan bermaksud ayah tidak bangga pada apa yang telah anak-anaknya dapatkan tetapi ayah hanya menjaga agar anak-anaknya tidak menjadi manusia dengan rasa sombong yg luar biasa. Dalam diamnya, bukan bererti ayah tidak memiliki beban tetapi ayah tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. Ayah hanya ingin merasakan dan memikul bebannya sendiri kerana ayah sayang anak-anaknya.
Saat anak-anaknya begitu banyak melakukan kesalahan, ayah selalu memaafkan. Ayah selalu menerima permintaan maaf dan penyesalan anak-anaknya. Ayah tidak pernah mencatat semua pengorbanannya untuk anak-anaknya tetapi ayah selalu ingat masa anak-anaknya mula membesar dan memberikan anak-anaknya keberuntungan kerana memiliki saat-saat kenangan itu bersamanya sebab cinta dan ketulusan ayah selalu mengalir sebagaimana aliran darah yang mengalir bersamanya degupan jantung dalam tubuh anak-anaknya.
Sebesar itulah cinta ayah. Tidak terhitung dan seringkali tidak anak-anaknya sedari tetapi tetap selalu menghangatkan kehidupan. Sebelum terlambat, berlarilah dan hampirilah ayah mu. Minta maaf atas semua kesalahanmu dan peluk serta ciumlah ayahmu. Katakan bahawa "Saya sayang, ayah!". Satu kalimat yang cukup sederhana tetapi cukup besar impaknya pada hati seorang ayah. Dia hanya seorang `AYAH' sahaja...

P/S   :    Walaupun panas terik dan hujan lebat...
                  Dia sanggup mencari rezeki untuk anak-anaknya.
                  Walaupun penat dan sakit...
                  Dia tetap teruskan kerja.
                  Dialah, AYAH!

Saturday, 6 July 2013

Senandung Sambal Tumis

Kusandarkan beg sekolahku pada kerusi
lemah dan longai kusalin pakaianku
namun semua keletihan segera jauhkan diri
apabila kurasai sambal tumis ibu...
Aku pun menuntut ilmu di tempat orang
dan selalu sahaja aku dilanda rindu
siang dan malam sering terkenang-kenang
bila lagi akan aku rasa sambal tumis ibu...
Sambal tumis ikan bilis sambal belacan
bersama petai jeruk panggang ikan haruan
gulai tempoyak di musim durian
senantiasa berpuisi dalam kenangan (berpuisi dalam kenangan)
Bila aku berada jauh di rantauan
menjejakkan kaki di bumi asing
namun kerap sahaja aku berdendangan
bersyair menghibur hati yang rungsing
Kini aku tersandar di pangkuanmu
sambil menikmati senandung getah asli
dan berharap agar kau segera hidangkan padaku
sambal tumis ikan bilis yang kuminati.

P/S   :   Ehmm... terliur melihat sambal tumis ikan bilis ini!
               Mak adalah chef terbaik dalam masakan ini...
               Mak, aku rindukan masakan mak! Oh, mak...!!!


Tuesday, 23 April 2013

Suatu waktu dahulu...

     Suatu waktu... aku membongkar khazanah penulisan aku, tiba-tiba aku terjumpa suatu manuskrip lama (aku tak ingat bila aku menulisnya...). Apabila membaca manuskrip itu, kenangan waktu kecil-kecil dahulu mula menerjah-nerjah mindaku. Di sini aku hendak berkongsi manuskrip itu bersama kalian. Sudi-sudikanlah membacanya... (Ianya bukanlah suatu penulisan terbaik aku tetapi baik untuk bacaan santai).
   
     Sentuh zaman sekolah... topik inilah yang paling canggih sekali dalam hidup aku. Mana tak canggihnya kerana di sekolah, akulah yang paling aktif bersama rakan seperjuangan menjalankan aktiviti menyakat bebudak sekolah dan adakalanya mangsa kami termasuklah cikgu-cikgu. Kata orang bila masa lagi kita hendak menunjukkan bakat kenakalan kita, keglamouran kita, kecanggihan kita, kebiolan kita ... semuanya bermula pada zaman persekolahanlah. Kalaulah aku ada mesin `back to the future' mahu agaknya aku bawa geng aku balik semula ke zaman itu. Tapi apakan daya aku, kat rumah aku (di Bakri, Muar) jangan kata mesin `back to the future', mesin basuh pun tak ada. Yang ada hanya mesin taip (aku beli waktu dapat royalti cerpen pertama aku).
     Kalau korang nak tahu... masa aku baru masuk darjah 1, aku dimasukkan oleh mak aku ke sekolah rendah aliran omputih (sebutan org kg aku). Masa tu manalah aku tahu sekolah omputih tu macam mana tetapi yang peliknya semua budak yang pergi sekolah tu ada macam-macam colour... ada hitam manis, sawo matang ada, putih kuning ada (macam aku lee...) dan yang kelabu asap pun ada. Jadi aku rasa tak layak lee sekolah ni digelar sekolah omputih macam orang kampung aku cakap. Nama pun Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Mariam. Hah! Nama pun nama Melayu. Ish.. tidaklah aku tahu. Agaknya zaman penjajah masih berlumut dalam kepala mereka.
     Yang paling dahsyat dan mengancam dalam cerita ini... akulah yang paling canggih dan anggun sewaktu mula-mula masuk darjah 1. Macamlah sejarah aku mula-mula dilahirkan dahulu. Tepat 10 Ogos... tepat jam 5am... dahsyat tau! Angin bertiup lembut. Burung jenguk sarang. Siput babi lepak aje. Mak bidan penat. Abah senyum tak sudah-sudah. Kakak dan abang mula jealous. Aku pula menangis lalok. Mak cik-mak cik buat air. Matahari mula terbit (kalau aku tak lahir pun, terbit gak) dan yang paling hangat digossipkan... comelnya aku; dah besar cute pulak. Udahlah le tu!
     Kini sejarah itu berulang kembali apabila aku mula hendak bersekolah. Luar biasanya... pagi itu, akulah yang paling awal sekali bangun. Itupun sebab aku mengigau main perang-perang. Kalau tidak, aku takkan mahu melepaskan bantal busuk kesayanganku. Habis satu rumah aku kejutkan dengan suara aku. Sebenarnya aku saja berlatih kekuatan suara aku; takut tak dapat pegang jawatan ketua darjah. Maklumlah jawatan itulah yang paling glamour masa sekolah dahulu.
     Bersama bekal air yang tersandang kat bahu ( macam handbag pulak) dan mee goreng, mak aku hantar aku pergi sekolah. Jalan kaki saja. Setibanya di sekolah aktiviti pertama aku... buka bekalan yang aku bawa dari rumah. Tak tahan lee. Maklumlah penat berjalan. Nanti perut kosong tak boleh belajar. Bebudak lain menangis lalok tapi aku buat derk jer kat sebelah mak aku. Maklumlah budak canggih macam aku ni mana boleh menangis. Tak ruggedlah.
    
     Aku tak tahulah, lepas tu mak aku jumpa siapa. Jumpa cikgu agaknya sebab lepas tu aku terus dimasukkan ke dalam kelas. Pesanan terakhir aku pada mak, rehat nanti jangan lupa bawa makanan. Mak aku hanya angguk dan cium aku kat dahi dan pipi. Sedih gak aku tengok mak aku balik... nak nangis ke tak nak, nak nangis ke tak nak... Waaaa....! Akhirnya aku join kumpulan thrash 1 Biru. Tetapi tidaklah lama, sekejap saja sebab cikgu handsome kelas aku, rasuah aku dengan gula-gula. Nasib baik dia tahu bicara hati aku. Hehehe...
     Itulah kisahnya... apabila mengimbau kembali waktu itu... nak nangis pun ada, nak gelak pun ada. Itulah secebis kenangan aku dengan mak yang aku kenang hingga sekarang. Terima kasih mak kerana melayan karenah aku dengan sabar. Aku tahu kita bukanlah daripada keluarga yang senang tetapi mak tak pernah gagal memenuhi apa sahaja permintaan aku. Aku minta maaf kerana sebagai anak, aku bukanlah anak terbaik untuk mak sebagaimana mak adalah mak yg terbaik untuk aku dunia akhirat. Mak... rindunya aku pada mak hanya Allah sahaja yang tahu. Aku rindu masakan mak, aku rindu nak makan bersuap dengan mak (walaupun aku sudah kahwin tetapi mak masih suap aku makan seperti selalu)... Arghh... mak! AKU RINDU MAK AKU!!!
 
P/S :   Pada 2 May 2013 ini, genaplah setahun mak
               pergi tinggalkan aku dengan kenangannya.
               Al-Fatehah buat mak kesayanganku!
               Mak...huhuhu....


Friday, 19 April 2013

Ada sesuatu yang kita terlepas pandang...


  1. Sekurang-kurangnya ada 5 orang dalam dunia ini yang menyayangi anda dan sanggup mati untuk anda.
  2. Sekurang-kurangnya ada 15 orang dalam dunia ini menyayangi anda dalam pelbagai cara.
  3. Sebab utama seseorang membenci anda adalah kerana dia teringin menjadi seperti anda.
  4. Senyuman anda boleh membawa kebahagiaan kepada seseorang walaupun dia tidak menyukai anda.
  5. Setiap malam ada seseorang yang mengingati anda sebelum dia tidur.
  6. Anda amat bermakna dalam hidup seseorang.
  7. Kalau bukan kerana anda, seseorang itu tidak akan hidup bahagia.
  8. Anda seorang yang istimewa dan unik.
  9. Seseorang yang anda tidak ketahui amat menyayangi anda.
  10. Apabila anda membuat kesilapan yang sangat besar... ada hikmahnya.
  11. Sekiranya anda merasakan anda telah dipinggirkan, fikirkanlah semula. Mungkin anda yang meminggirkan mereka.
  12. Apabila anda fikir anda tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan sesuatu yang anda inginkan, mungkin anda tidak akan memperolehinya tetapi sekiranya anda percaya akan diri sendiri... lambat laun anda akan memperolehinya.
  13. Kenanglah segala pujian yang anda terima dan lupakanlah segala maki hamun, caci dan umpat keji.
  14. Jangan takut untuk meluahkan perasaan anda. Anda akan berasa lega apabila seseorang mengetahuinya.
  15. Sekiranya anda mempunyai sahabat baik, ambillah masa untuk memberitahunya yang dia adalah terbaik untuk anda kerana dengan hanya seminit diperlukan untuk mendapatkan sahabat baik, sejam untuk menghargainya, sehari untuk menyayanginya tetapi sepanjang hidup untuk melupakannya.
     Apabila kita ingin berteman, janganlah kerana kelebihannya kerana mungkin dengan satu kelemahannya kita mungkin akan menjauhinya. Andai kita ingin berteman, janganlah kerana kebaikannya kerana mungkin dengan satu keburukan kita akan membencinya selama-lamanya. Andai kita ingin berteman,janganlah kerana ilmunya kerana apabila dia buntu kita mungkin akan memfitnahnya. Andai kita ingin seorang teman, janganlah kerana sifat cerianya kerana andai kata dia tidak ceria kita mungkin akan menyalahkannya. Andai kita ingin berteman, terimalah dia seadanya kerana dia hanya manusia biasa. Jangan diharapkan dia sesempurna mana kerana kita juga tidak sempurna dan tiada siapa yang sempurna melainkan Allah SWT.

P/S :   Hidup ini ibarat airkrim... nikmatilah `ia' sebelum cair.

Jangan biarkan ibu menangis, anakku!

     Setitik airmata ibu yang jatuh, sepuluh kebajikan anak akan hilang. Jadi sebagai anak, berhati-hatilah. Jangan biarkan ibumu menangis. Menangisnya seorang ibu kerana kejayaan anak, tiada masalah tetapi kerana anak derhaka... minta dijauhkanlah. 
     Jika anda balik dari mana pun, tataplah wajah ibu anda pada waktu dia tidur sebab orang yang sedang tidur akan menggambarkan segala-galanya. Ada 3 mata yang tidak akan dijilat api Neraka iaitu...
  1. Mata yang melihat Kaabah hingga menitisnya air mata
  2. Mata yang membaca Al-Quran hingga menitisnya air mata
  3. Mata yang memandang wajah ibu yang sedang tidur ataupun tengah jaga hingga menitisnya air mata
Ada 3 orang yang kita kena selalu tengok dan pandang dalam hidup ini (kalau boleh waktu mereka tidur) :-
  1. Anak kita
  2. Ibu kita
  3. Suami atau isteri kita
     Kalau kita tidak mampu meletakkan diri kita di tempat yang terbaik, Allah SWT akan meletakkan kita di tempat terbaik dengan syarat kita meletakkan ibu kita di tempat yang terbaik dahulu. Berbahagialah mereka yang masih ada ibu lagi kerana dapat berbakti dan mengaut sebanyak-banyak pahala. Jadi jika anda masih ada ibu, tunggu apa lagi... buatlah banyak-banyak kebajikan pada mereka kerana itu jalan pintas untuk anda ke Syurga. 

P/S :   Buat aku yang tiada ibu lagi (sebentar hujan turun seketika...) 
             aku rindu ibu aku!
             Aku masih rindu bau ibu aku, rindu untuk memeluknya 
             seperti selalu dan rindu mendengar kata-katanya.
             Ya, Allah! Selamatkanlah ayah dan ibuku dari azab api Neraka.
             Ya, Allah! Sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangiku.
             Ya, Allah! Hubungkanlah mereka dengan taliMU...
             Amin Ya Rabbal Alamin!

Monday, 8 April 2013

If that day comes...

     One day, I'll leave the world and never come back. You are going to miss the little text message I give you. You're going to miss how I used to worry about you when you're out too late. You're gpoing to miss my annoyingness. One day when I'm gone, you're going to miss how you actually had someone that actually wanted you and when I'm not there anymore, you're going to miss me.
 
     One day I'll leave this world. You will cry when you see my books, my words, my belongings. You will miss me when you sit alone and won't be able to hear my laugh and my voice again. There will be `no more ME' to irritate, tease, make you laugh and say sorry stupidly. Tears might flow out of eyes but I will be gone, long and forever. So enjoy my silly stupidly company as much before I close my eyes forever.
 
P/S :   Jika aku berdiri di muka jendela hati terluka
              Bulan sedang mengintai di balik awan kusapa
              Angin yang datang bertamu kutanya
              Engkau datang tanpa suara menjamahku tanpa sabda.

Adakalanya kita memerlukan seseorang bernama `sahabat'

     Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan kerana dia juga seorang manusia. Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu.
     Kita selalu melihat dia ketawa tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik ketenangannya itu mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu  tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia mungkin kita akan tahu.

 
P/S :   Aku belajar diam daripada banyaknya bicara
              Aku belajar sabar daripada sebuah kemarahan
              Aku belajar menangis daripada sebuah kebahagiaan
              Aku belajar tegar daripada sebuah kehilangan
          

Tuesday, 19 March 2013

Kehilangan ketiga...

Allahyarham Abang Khaidir Baksis (30 July 1958 - 16 Mac 2013)
     Tanggal 16 Mac 2013... kami kehilangan abang tersayang iaitu Abang Khaidir Baksis. Peristiwa itu merupakan suatu tamparan hebat buat suamiku kerana arwah merupakan penguat semangatnya selepas mak dan ayah. Aku menjadi terkedu mendengar suamiku menangis teresak-esak bagaikan si kecil yang baru kehilangan induknya. Melihatnya menangis, air mataku turut mengalir bersama dan melihat isteri arwah dan anak-anaknya menangis kesedihan, aku menjadi speechless untuk mententeramkan keadaan kerana waktu itu aku turut juga menangis.
     Arwah disahkan meninggal dunia jam 21:40 pm kerana penyakit asma.
Keluarga Allahyarham Khaidir Baksis bersama Allahyarhamah Ibu
     Buat keluarga arwah, ucapan takziah daripada kami sekeluarga. Aku tidak dapat nafikan betapa pedihnya rasa kehilangan itu kerana aku telah merasainya. Memang pedih dan orang yang pernah mengalaminya sahaja yang tahu akan rasa itu. Buat Kak Mah, kuatkan semangat dan tabahkanlah hati dalam berhadapan dengan dugaan Allah ini. Kami akan senantiasa berada di sisi Kak Mah selagi kami diperlukan. Buat Along Hazirah, sabar dan tabahkanlah hati. Acik tahu pedih dan sakitnya kehilangan ayah ini kerana daripada kecil Acik hidup tanpa ayah. Teruskanlah hidup dan teruskan perjuanganmu dalam menuju kejayaan. 
     Buat Intan, arwah selalu bercerita tentang Intan kepada kami dan daripada situ kami tahu akan besarnya harapan arwah pada Intan untuk menjadi seorang doktor. Teruskan perjuangan Intan untuk menjadikan suatu kenyataan pada amanat arwah ayah Intan. Sabar dan tabah, ya. Buat Farhan, sekarang Farhan adalah hanya satu-satunya lelaki dalam keluarga Farhan. Acik tahu Farhan masih keliru dan sedih. Sabarlah. Jadilah lelaki seperti ayah Farhan. Teruskan perjuangan dan banggakanlah arwah ayah di sana. Buat Wani, perjalanan masih jauh lagi. Usaha untuk kejayaan. Buat si kecil Aliya, nanti Acik belikan vitagen lagi ya. Jangan nakal-nakal.
    Sometimes there are things that we don't want to happen but have to accept, things that we don't want to know but have to learn and people we can't live without but have to let go. You don't always have to be strong. You don't always have to fight off those tears. Sometimes, it's good to let them flow and let it go. All your holding back can just keep building it all up. It's alright not to have it all figured out yet. Give it time to unfold.
Allahyarham Khaidir Baksis bersama isteri dan si kecil Aliyah

P/S:   Sesiapa yang membaca blogku ini, sudi-sudikanlah sedekah
              Al-Fatehah buat arwah. Semoga arwah ditempatkan bersama
              -sama mereka yang beriman. AMIN!

Saturday, 2 March 2013

Abadikan kasih seorang Ayah.

Pernahkah kita terfikir betapa tingginya kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya? Pasti tidak kesampaian akal ini untuk memikirkan betapa hebatnya kasih sayang itu. Namun kita masih boleh menghayatinya melalui lakaran-lakaran kartun di artikel ini.

Coretan ringkas kasih sayang seorang ayah ini amat menyentuh hati. Mungkin sewaktu kecil dahulu kita tidak menyedari hakikat ini. Namun apabila kita sendiri menjadi seorang ayah, pasti kita akan mula terfikir... "Dahulu ayah aku juga melakukan seperti apa yang aku lakukan kepada anakku sekarang."
Wahai anak-anakku,
ketika jenazah ayah dimandikan
tubuhku yang kaku, pasrah dengan segala yang berlaku
mulutku yang bisu tak mampu menyatakan malu
basuhlah seluruh tubuh lusuhku
jangan kalian harapkan jari-jemari tanpa pertalian
menjamah tubuhku bagi menutupi aibku.
 
Wahai anak-anakku,
ketika jenazah ayah dikapankan
janganlah kalian menjauhkan diri
tataplah wajahku sepuas-puas hatimu
kucuplah dahiku untuk kesekian kalinya
sebelum kain kapan menutup seluruh tubuhku
janganlah kalian tinggalkan aku bersama jiran dan taulan
tanpa kalian solatkan aku bagi menyempurnakan aku.
 
Wahai anak-anakku,
ketika jenazah ayah di atas usungan
ayah akan pergi jauh dan tak akan kembali lagi
anak-anak lelakiku, usungilah aku
seperti aku menjulang kalian ketika kecil dahulu
anak-anak perempuanku, iringilah aku
seperti aku memayungi langkah kalian ketika kecil dahulu.

Wahai anak-anakku,
menantilah ayah di alam sana
doa kalian, anak-anak yang soleh dan solehah
bagi menjanjikan damai ayah di sana.

Fikir-fikirkanlah...
Jika kita masih mempunyai seorang ayah, berikanlah kasih sayang kita pada ayah kita. Janganlah kita kedekut dengan kasih sayang kepada kedua orang tua kita. Lakukanlah sebelum Allah SWT mengambil mereka daripada kita.
 
P/S:   Buat sesiapa yang membaca tulisanku ini, sudi-sudikanlah
            bersedekah Al-Fatihah buat abah kesayangan aku
            (Abdul Rahman bin Mohd Shah) dan ayah mertuaku
            (Baksis bin Mat Taksir).
            I love my father as the stars. He's a bright shining examples
            and a happy twinkling in my heart. Miss you so much, Abah!
 

Tak kuasa aku nak layan,,,

Tak kuasa aku nak layan si bodoh sombong.
Cakap tak pernah kalah. Tahu itu dan tahu ini. Kenal menteri itu, kenal menteri ini tapi semuanya kosong. Cakap bergegar-gegar tapi tak ada satu pun yang betul. Lagi banyak cakap, lagi terserlah kebodohannya.
 
Tak kuasa aku nak layan kaki bodek.
Ampu sana, ampu sini. Kipas sana, kipas sini. Orang macam ni lebih pentingkan diri sendiri daripada orang lain.
 
Tak kuasa aku nak layan orang yang hipokrit.
Golongan spesies ini jenis sesumpah; memang bahaya tahap gaban lee... Bahaya berkawan dengan spesies ini. Depan kita manis berkata-kata tapi di belakang kita, dia taji habis-habisan.
Tak kuasa aku nak layan orang yang terlalu sensitif.
 
Tegur sikit merajuk. Cakap sikit dah muncung sedepa. Bak kata kalau tinggi suara sikit mahu putus saudara. Semua nak ikut kehendak dia. Kalau jenis bebudak tu, tak apa juga tapi kalau dah jadi bapak atau mak budak... eiii, hodohnya.
 
Tak kuasa aku nak layan orang yang buta hati perut.
Walaupun mata tak buta, perut pun bukannya ada mata tapi spesies ni, memang tahap rock ooo! Cerita bab agama berdesup lari. Tapi kalau kawan bukak cerita pasal pompuan, artis, saham, skim cepat kaya, bab tahyul-mahyul bukan main bersemangat lagi. Kalau bercerita pulak bab semua ini... ish, dialah yang paling tahu.
 
Tak kuasa aku nak layan orang yang gedik semacam.
Kalau dengan sesama gender, cakap tak payah pakai speaker. Sebatu pun boleh dengar tapi kalau berlainan gender...amboi, bukan main mesra lagi. Kalau bercakap memang tak pakai speaker tapi pakai bisik-bisik lagi.
 
Tak kuasa aku nak layan spesies yang rasa dia lebih dahsyat daripada orang lain.
Kalau ada orang yang berjaya, dia cepat-cepat bangkang dan mengatakan yang orang itu berjaya sebab tuuuttt..! (tak sanggup nak cakap). Kalau ada anak orang yang berjaya atau apa-apa yang bagus tentang orang itu, spesies inilah yang akan bangun dan mendabik dada dengan mengatakan..."Ahh, akulah yang lebih bagus daripada si polan, si polan tu sebab aku memang bagus!" Jangan lupa ya sedara, sesungguhnya Allah SWT itulah yang Maha Bagus.
 
Tak kuasa aku nak layan orang yang kuat berahsia.
Ada ke patut apabila kita tanya..."Boleh tahu siapa yang bercakap dalam telefon?" Selamba jer dia jawab... "Biarlah rahsia..." (buat-buat macam suara Siti Nurhaliza) Eiii... menyampah betul aku! Rasa macam nak bagi penampar Jepun jer!
 
P/S :   Nabi SAW mengajar kita apabila lalu di kawasan kubur,
             ingat mati. Tetapi orang kita sekarang, lain pula...
             Apabila lalu di kawasan kubur... LARI!!!! Ada hantu!
             Isk, isk, isk... ada ke patut!
 

Thursday, 28 February 2013

Did you know that Allah SWT give us gifts?

     Allah give us gifts! But then we often become dependent on those gifts instead of Allah . When Allah give us money, we depend on the money and not Allah. When Allah gives us people, we depend on people and not Allah. When Allah gives us status or power, we depend on and become distracted by these things. When Allah gives us health, we become deceived. We think we will never die. Allah gives us gifts but then we come to love them as we should only love Allah SWT.
     We take those gifts and inject them into our heart until they take over. Soon we cannot live without them. Every waking moment is spent in contemplating of them in submission and worship to them. The mind and the heart that was created by Allah, for Allah becomes the property of someone or something else. And then the fear comes. The fear of loss begins to cripple us. The gift that should have remained in our hands - takes over our heart so the fear of losing it consumes us. Soon what was once a gift becomes a weapon of torture and a prison of our own making. How can we be free of this? At times in Allah infinite mercy. Allah free us by taking it away.
 
P/S :   When people hurt you over and over, think of them
              like a sand-paper. They may scratch you and hurt
              you a bit but in the end, you end up polished and
              they end up useless.