Tuesday, 23 April 2013

Suatu waktu dahulu...

     Suatu waktu... aku membongkar khazanah penulisan aku, tiba-tiba aku terjumpa suatu manuskrip lama (aku tak ingat bila aku menulisnya...). Apabila membaca manuskrip itu, kenangan waktu kecil-kecil dahulu mula menerjah-nerjah mindaku. Di sini aku hendak berkongsi manuskrip itu bersama kalian. Sudi-sudikanlah membacanya... (Ianya bukanlah suatu penulisan terbaik aku tetapi baik untuk bacaan santai).
   
     Sentuh zaman sekolah... topik inilah yang paling canggih sekali dalam hidup aku. Mana tak canggihnya kerana di sekolah, akulah yang paling aktif bersama rakan seperjuangan menjalankan aktiviti menyakat bebudak sekolah dan adakalanya mangsa kami termasuklah cikgu-cikgu. Kata orang bila masa lagi kita hendak menunjukkan bakat kenakalan kita, keglamouran kita, kecanggihan kita, kebiolan kita ... semuanya bermula pada zaman persekolahanlah. Kalaulah aku ada mesin `back to the future' mahu agaknya aku bawa geng aku balik semula ke zaman itu. Tapi apakan daya aku, kat rumah aku (di Bakri, Muar) jangan kata mesin `back to the future', mesin basuh pun tak ada. Yang ada hanya mesin taip (aku beli waktu dapat royalti cerpen pertama aku).
     Kalau korang nak tahu... masa aku baru masuk darjah 1, aku dimasukkan oleh mak aku ke sekolah rendah aliran omputih (sebutan org kg aku). Masa tu manalah aku tahu sekolah omputih tu macam mana tetapi yang peliknya semua budak yang pergi sekolah tu ada macam-macam colour... ada hitam manis, sawo matang ada, putih kuning ada (macam aku lee...) dan yang kelabu asap pun ada. Jadi aku rasa tak layak lee sekolah ni digelar sekolah omputih macam orang kampung aku cakap. Nama pun Sekolah Rendah Kebangsaan Tengku Mariam. Hah! Nama pun nama Melayu. Ish.. tidaklah aku tahu. Agaknya zaman penjajah masih berlumut dalam kepala mereka.
     Yang paling dahsyat dan mengancam dalam cerita ini... akulah yang paling canggih dan anggun sewaktu mula-mula masuk darjah 1. Macamlah sejarah aku mula-mula dilahirkan dahulu. Tepat 10 Ogos... tepat jam 5am... dahsyat tau! Angin bertiup lembut. Burung jenguk sarang. Siput babi lepak aje. Mak bidan penat. Abah senyum tak sudah-sudah. Kakak dan abang mula jealous. Aku pula menangis lalok. Mak cik-mak cik buat air. Matahari mula terbit (kalau aku tak lahir pun, terbit gak) dan yang paling hangat digossipkan... comelnya aku; dah besar cute pulak. Udahlah le tu!
     Kini sejarah itu berulang kembali apabila aku mula hendak bersekolah. Luar biasanya... pagi itu, akulah yang paling awal sekali bangun. Itupun sebab aku mengigau main perang-perang. Kalau tidak, aku takkan mahu melepaskan bantal busuk kesayanganku. Habis satu rumah aku kejutkan dengan suara aku. Sebenarnya aku saja berlatih kekuatan suara aku; takut tak dapat pegang jawatan ketua darjah. Maklumlah jawatan itulah yang paling glamour masa sekolah dahulu.
     Bersama bekal air yang tersandang kat bahu ( macam handbag pulak) dan mee goreng, mak aku hantar aku pergi sekolah. Jalan kaki saja. Setibanya di sekolah aktiviti pertama aku... buka bekalan yang aku bawa dari rumah. Tak tahan lee. Maklumlah penat berjalan. Nanti perut kosong tak boleh belajar. Bebudak lain menangis lalok tapi aku buat derk jer kat sebelah mak aku. Maklumlah budak canggih macam aku ni mana boleh menangis. Tak ruggedlah.
    
     Aku tak tahulah, lepas tu mak aku jumpa siapa. Jumpa cikgu agaknya sebab lepas tu aku terus dimasukkan ke dalam kelas. Pesanan terakhir aku pada mak, rehat nanti jangan lupa bawa makanan. Mak aku hanya angguk dan cium aku kat dahi dan pipi. Sedih gak aku tengok mak aku balik... nak nangis ke tak nak, nak nangis ke tak nak... Waaaa....! Akhirnya aku join kumpulan thrash 1 Biru. Tetapi tidaklah lama, sekejap saja sebab cikgu handsome kelas aku, rasuah aku dengan gula-gula. Nasib baik dia tahu bicara hati aku. Hehehe...
     Itulah kisahnya... apabila mengimbau kembali waktu itu... nak nangis pun ada, nak gelak pun ada. Itulah secebis kenangan aku dengan mak yang aku kenang hingga sekarang. Terima kasih mak kerana melayan karenah aku dengan sabar. Aku tahu kita bukanlah daripada keluarga yang senang tetapi mak tak pernah gagal memenuhi apa sahaja permintaan aku. Aku minta maaf kerana sebagai anak, aku bukanlah anak terbaik untuk mak sebagaimana mak adalah mak yg terbaik untuk aku dunia akhirat. Mak... rindunya aku pada mak hanya Allah sahaja yang tahu. Aku rindu masakan mak, aku rindu nak makan bersuap dengan mak (walaupun aku sudah kahwin tetapi mak masih suap aku makan seperti selalu)... Arghh... mak! AKU RINDU MAK AKU!!!
 
P/S :   Pada 2 May 2013 ini, genaplah setahun mak
               pergi tinggalkan aku dengan kenangannya.
               Al-Fatehah buat mak kesayanganku!
               Mak...huhuhu....


8 comments:

  1. Salam

    Saya pernah baca novel merah2 semarak api. pinjam kawan punya waktu sekolah dulu. saya teringin nak ada novel tu dalam simpanan saya. puas cari dikedai2 tapi xde jual.

    boleh saya tahu dimana lagi saya boleh beli novel tu? lama dah saya cari sehingga terjumpa blog ini.. Alhamdulillah, terus bertemu dengan penulisnya walau secara maya.

    ReplyDelete
  2. Salam buat saudari Fatiha...
    Terima kasih dgn komen yg diberikan. Terharu juga kerana ada juga insan yg meminati penulisan saya. Maaf jg kerana baru skrg saya membalasnya. Tentang novel itu berkemungkinan masih ada dalam simpanan pihak DBP. Boleh saya tahu apa yg istimewanya novel ini pada saudari?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ada tanya di Facebook Dawama. tapi tidak berbalas. saya belum lagi berkesempatan utk terus ke kedai Dawama.

      novel ini lain dari novel2 yg pernah saya baca. kebanyakkan novel terlalu fokus kepada 1 isu sahaja & selalunya tema percintaan lelaki & perempuan yg diangkat & terlalu ditonjolkan.

      tapi Merah2 semarak api menyentuh isu kekeluargaan, perkahwinan campur(Japanese & Malaysian) & watak2 yg ada merentasi zaman. Tok Ayah, dengan zaman Jepunnya. (sebab Tok Ayah, saya suruh anak saya panggil atuk dia, Tok Abah)

      Engkau, si merah api. Aku, si biru laut.

      Ya Allah, saya masih ingat lagi jalan cerita novel ni. memang beri kesan betul kat saya sampai boleh ingat jalan cerita. terlalu unik.

      cuma nak novel ni dalam bentuk fizikal utk dijadikan kenangan & diulang baca.

      Delete
  3. Salam Ramadhan...
    AllahuAkhbar! Terlalu tinggi pujian yg diberikan. Rasanya saya masih tak layak lagi untuk menerimanya. Terima kasih dgn komen saudari kerana dengan kata-kata itu dapat menghidupkan kembali jiwa penulisan saya yg telah lama terkubur. Terima kasih sekali lagi, saya menghargainya.

    ReplyDelete
  4. Assalam...
    Jika saudari sudi, kita masih boleh berkawan. Sila add saya di FB - Bintang Di Langit. Moga persahabatan ini terjalin atas nama persaudaraan.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. saya dah cuba add. tapi ada beberapa account fb guna nama yg sama.

    ada karya terbaru?

    saya sedih sebenarnya dengan novel2 yg ada sekarang. plot yg hampir sama, nama watak berbeza. tema hot sekrang "kahwin paksa & bercinta kemudian".

    ReplyDelete
    Replies
    1. Add... bintang di langit... Gambar profile adalah gambar bintang tersenyum.
      Karya terbaru masih dalam penulisan. Tak tahu bila nak siap kerana masih banyak projek yang menunggu gilirannya.
      Jika berminat lagi membaca penulisan saya, sudilah jadi follower pada blog ini.
      Apa-apa pun terima kasih kerana sudi bersahabat.

      Delete