Tanggal 2 Mei, 2012... jam 5.05 petang (dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor), mak disahkan meninggal dunia kerana `acute coronary syndrome'. Kita menerima berita pemergian mak daripada Silah pada pukul 5.30 petang di rumah kita... kita tergamam. Betulkah... Betulkah, mak dah tak ada? Kita jadi tidak keruan, antara sedar tak sedar, kita masih dalam keadaan tidak percaya. Betulkah, kita dah tak ada mak lagi?
Baru 2 minggu lepas kita bercakap di telefon dengan mak; mak gelak sahaja apabila bercakap dengan kita. Kata mak, tekanan darah dan kencing manisnya semuanya turun dan baik sahaja. Mendengar kata-kata mak, kita bahagia sekali. Setiap kali selepas bercakap dengan mak, kita akan mohon ampun dan maaf dengan mak serta minta mak halalkan makan dan minum kita selama mana kita menjadi anak mak. Mak marah kita, kata mak, kita tak ada salah dengan dia. Kalau ada pun dah lama dia maafkan kita. Mak cakap, lain kali jangan cakap macam ini lagi. Kata mak, dia belum mati lagi. Kita gelak sahaja apabila mak marah kita. Memang salah kita, cakap macam itu. Tetapi, kita mahu mak tahu bahawa hal mati ini tidak mengenal usia. Orang muda pun ada yang mati dahulu. Tetapi kata mak, biarlah dia yang mati dahulu dan bukannya kita.... (maaf... penulisan terhenti seketika kerana hujan turun dengan lebat)
Mak...
Kita tiba di Muar agak lewat (pukul 2 pagi) kerana menunggu anak-anak kita pulang dari asrama di Perak. Setibanya kita di rumah abang, kita terus duduk terpaku melihat jenazah mak. Memang betul yang terbaring di tengah-tengah ruang tamu itu ialah mak. Ini bermakna pada tarikh ini dan pada waktu ini, kita dah tak ada mak lagi dan tiada sesiapa yang dapat kita panggil sebagai mak (melainkan mak mertua kita). Dan pada bulan `Hari Ibu' ini, kita kehilangan mak untuk selama-lamanya. Rasa ngilu itu semakin terasa apabila di setiap corong radio dan peti television sibuk menyiarkan sambutan `Hari Ibu'. Apa yang kita hendak sambutkan... kita dah tak ada mak lagi. Yang ada hanyalah dua batu nisan yang tercacak di hujung kubur yang ditinggalkan sepi oleh anak-anak.
Maakk...
Kita pulang mak. Kita pulang, nak tengok mak. Maafkan kita, mak kerana selama ini kita tidak menjadi anak yang cukup baik untuk mak. Mak... siapakah yang menemani waktu-waktu akhir mak; sewaktu mak dalam sakratul? Dapatkah mak mengucapkan kata-kata indah itu, mak? Siapakah yang menolong mak untuk mengucapkan kata-kata itu, mak? Ya, Allah! Ampunkanlah segala dosa ibuku. Engkau tempatkanlah ibuku di tempat hamba-hamba yang Engkau kasihi. Amin.
Mak, kita masih ingat lagi, suami dan anak-anak (Nabila dan Nadia) membaca surah Yassin kat tepi mak. Kemudian mereka bergilir-gilir membaca Surah Al-Baqarah sehingga habis (hingga masuk waktu Subuh). Sepanjang pukul 2 pagi hinggalah ke pagi, kita tidak tidur menemani jasad mak yang kaku dan sejuk itu. Sesekali kita singkap kain yang menutupi wajah mak. Kita cium sepuas-puasnya dan kita dekatkan pipi kita dengan pipi mak. Sejuk sekali. Sesekali kita singkap kain yang membalut kaki mak. Kita pegang kaki mak dan kita cium. Sejuk betul kaki mak. Sesekali, kita peluk jasad mak. Kita genggam tangan mak kerana kita tahu selepas ini, kita tidak akan dapat berbuat begitu lagi. Sepanjang malam, kita tidak tidur kerana mahu menemani mak kerana kita tahu inilah kali terakhir kita dapat bersama dengan mak. Kita mahu tatap wajah mak puas-puas sebelum mak di bawa ke tanah perkuburan. Kita mahu peluk mak, cium mak dan sentuh mak sepuas-puasnya kerana kita masih belum bersedia untuk melepaskan mak pergi waktu itu. Biarlah kalau mereka semua nak tidur atau apa pun, yang pasti kita mahu menemani mak seperti sebelumnya kalau kita balik untuk melihat mak.
Pukul 9 pagi, jenazah mak dimandikan. Kita dengan anak-anak turut sama mandikan dan mengkafankan jenazah mak. Sesungguhnya kita cukup bangga dengan anak-anak kita kerana mereka tidak takut atau kekok untuk memberikan khidmat terakhir mereka pada atuk mereka. (Nabila, Nadia... terima kasih sayang! Mak benar-benar terharu dan bangga dengan kalian).
Pada 11 pagi, jenazah mak dibawa ke tanah perkuburan di Batu 6, Bakri, Muar, Johor. Suami kita yang memilih tempat untuk mak bersemadi (terima kasih, sayang). Sebelum jenazah mak dimasukkan ke lubang kubur itu, suami kita memanggil kita untuk melihat mak kali terakhir. Waktu itu... hanya Tuhan sahaja yang tahu, bagaimana luruhnya hati kita melihat wajah mak yang kaku itu. Kita menarik nafas panjang dan menganggukkan kepala; mengatakan yang kita sudah bersedia untuk melepaskan mak dengan aman dan tenang.
Ya, Allah! Aku redha dengan pemergian ibuku ini. Selamatkanlah ibuku daripada seksa kubur dan peliharalah ibuku sewaktu di sana.
Mak...
Kini dah hampir 10 hari berlalu (waktu kita menulis catatan ini). 10 hari mak dah tinggalkan kita. Rasanya baru semalam kita bercakap dengan mak. Kerinduan itu terasa menusuk-nusuk hingga ke ulu hati. Rasa teramat ngilu sangat. Sampai sekarang apabila kerinduan itu datang, hanya sedekah Al-Fatihah yang dapat kita berikan. Nanti, setiap kali selepas solat kita sedekahkan Al-Fatihah banyak-banyak kat mak. Mak, tunggu ya!
Maakkk....
Biarkan aku bertafakur apabila rindu padamu
Walaupun tidak terucap, aku sangat kehilangan
Meskipun aku tidak dapat memanggil `mak' di saat akhir
Namun aku redha dengan pemergianmu
Aku berjanji setiap selepas solat akan kukirimkan
Al-Fatihah yang pernah mak ajarkan padaku
Sesungguhnya aku menangis terlalu lama
Namun aku pendam agar mak berangkat dengan tenang
Al-Fatihah buat bondaku Puan Hafsah Alias (69 tahun pada 18 Julai 2012)
P/S : Maafkan aku, mak! Aku tidak mampu menjadi seperti pohon kayu yang lebat buahnya
tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu tetapi dibalas dengan buah yang
cukup manis. Mak, cuaca di luar semendung hatiku dan derasnya hujan, selebat
air mataku. Maafkan aku, mak! Maaakkk....!!!
No comments:
Post a Comment