Saturday, 19 May 2012

Kenapa Aku....?

Soalan-soalan anda yang telah dijawab oleh ALLAH SWT dalam Al-Quran...

Kenapa aku sering diuji?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; 'Kami telah beriman'; sedangkan mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya ALLAH SWT mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui siapakah orang yang dusta."
(Surah Al Ankabut : 2-3)

Kenapa aku tidak mendapat apa yang aku idam-idamkan?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; sesungguhnya ALLAH SWT amat mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al Baqarah : 216)

Kenapa aku diuji dengan ujian seberat ini?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "ALLAH SWT tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
(Surah Al Baqarah : 286)

Bagaimana akan aku hadapi semua ujian ini?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebajikan) dan kuatkan kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh (di medan perjuangan) dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada ALLAH SWT agar kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
(Surah Al Imran : 200)

Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH SWT) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
(Surah Al Baqarah : 45)

Apa yang aku boleh dapat daripada semua ujian ini?
Firman ALLAH SWT, maksudnya... "Sesungguhnya ALLAH SWT telah membeli daripada orang Mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan (bayaran) Syurga untuk mereka..."
(Surah At Taubah : 111)

P/S  :   Anakanda sayang...
            Jangan dinilai sesuatu itu sekadar zahirnya semata-mata tetapi
            pandanglah dengan mata hati, renungkanlah dengan akal dan
            fikirkanlah dengan iman...
            Insya ALLAH, kita akan mengerti.


Kerana Setitis Demi Setitis...

Kerana setitis demi setitis air itu terus menimpa ketulan batu pejal itu, akhirnya batu pejal itu meninggalkan bekas lekukan setitis demi setitis. Tap...tap...tap...!!!

Terpana dengan sindiran hikmah daripada Ilahi lalu menangislah Ibnu Hajar bersama dengan keluhan hatinya...
"Wahai... kiranya hati manusia itu lebih keras lagi; jauh lebih keras daripada bebatuan yang sepejal ini"
Tepatlah firman ALLAH SWT... "...hati kamu juga menjadi keras seperti batu bahkan lebih keras lagi. Padahal ada di antara bebatuan itu terpancar dan mengalirkan sungai daripadanya; ada pula yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga yang jatuh meluncur ke bawah kerana takut kepada ALLAH SWT..."  (Surah Al-Baqarah : 74)

Andainya batu yang sedemikian keras boleh dibentuk di bawah tujahan air yang lembut, mengapa tidak hati manusia? Bukankah ALLAH SWT telah berfirman... "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih-bergantinya malam dan siang, cukup menjadi bukti kebesaran kekuasaan ALLAH SWT bagi orang yang sihat dan sempurna akal fikiran..."  (Surah Al-Imran : 190)


Setitis demi setitis butiran embun yang beruntaian dari hujung daun, menyegarkan kuntuman bunga, kembali berseri lalu dihirup serangga-serangga kecil sebagai rezeki kurniaan Tuhan dalam dingin pagi...
Begitu juga setitis demi setitis yang gugur dari bendungan awan, ada ketikanya menyerakkan warna-warni pelangi hujan; adalah curahan rahmat buat makhluk bumi. Namun di sebaliknya keindahan itu, ALLAH SWT memberi peringatanNYA...
"Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah sekadar mainan dan hiburan; bagaikan hujan yang mengkagumkan para petani pada tanamannya yang kemudiannya subur menghijau, namun akhirnya menguning dan menjadi hancur rosak. Ketahuilah, di akhirat tersedia azab yang berat (bagi yang mengutamakan kehidupan dunia) dan pengampunan serta keredhaan ALLAH SWT (bagi yang mengutamakan akhirat). Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan memperdaya..."   (Surah Al-Hadid : 20)

"Setitis tinta ulama' adalah setimbang darah syuhada."
Inilah yang dimaksudkan dengan penulis-penulis bertaqwa yang mendaulatkan kalimah ALLAH SWT di hujung ketajaman mata pena. Coretannya adalah bait-bait ilmu, ungkapan madahnya adalah seruan perhambaan kepada Tuhan, garapan kalimahnya adalah peringatan membanteras kemungkaran.

Pernah Siti Fatimah mengadu kepenatan kerana menguruskan rumah tangga lalu diberitahu oleh Rasulullah SAW...
"Ketahuilah, Fatimah! Kelebihan wanita yang tertitis peluhnya kerana bahang kepanasan ketika membakar roti buat anak-anak dan suaminya akan ALLAH SWT binakan parit yang menjarakkan dia dengan bahang api Neraka sejauh langit dan bumi..."
"Dan ketahuilah, Fatimah! Kelebihan wanita yang tertitis air matanya kerana kepedihan ketika menghiris bawang untuk dimasakkan buat ahli keluarganya, ALLAH SWT akan catatkan pahala baginya umpama orang yang menangis kerana takutkanNYA..."
"Ketahuilah olehmu, Fatimah! Kelebihan wanita yang menyusukan anaknya, ALLAH SWT akan catatkan pahala bagi setiap titis susu yang diteguk oleh anaknya dengan pahala kebajikan."
Ah...! Lihatlah, betapa mudah dan untungnya wanita yang rela dan redha, betapa mudah buatnya menjenguk ke Syurga hanya dengan seteguk susu, setitik peluh dan setitis air mata.
Perhatikanlah ucapan Sayyidul Mursalin yang telah diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Umamah...
"Tiada sesuatu yang lebih dicintai ALLAH SWT melainkan dua titisan; titisan air mata yang gugur lantaran takut akan ALLAH SWT dan titisan darah yang gugur dalam mempertahankan agama ALLAH SWT..."
Dan ketahuilah, salah seorang daripada 7 orang yang mendapat naungan ALLAH SWT di Yaumil Mahsyar ialah seorang yang ingat akan ALLAH SWT sendirian hingga bercucuran air matanya. Inilah yang disifatkan oleh ahli salaf pemadam julangan api Neraka.

Kemudian, perhatikanlah keutamaan demi keutamaan yang tersirat di sebalik titisan wuduk sepertimana sabda Rasulullah SAW...
"Jika berwuduk seorang Muslim atau Mukmin lalu membasuh mukanya, akan keluarlah semua dosa yang pernah dilihat dengan matanya; apabila membasuh dia kedua-dua tangannya akan keluarlah semua dosa yang pernah disentuh oleh tangannya dan apabila membasuh dia kedua-dua kakinya akan keluarlah semua dosa yang pernah dijalani oleh kaki-kakinya bersama titisan air yang terakhir.
Gugurlah dosa-dosanya... setitis demi setitis...  "...hingga dia keluar bersih dari semua dosa..."  (Riwayat Abu Hurairah)
Dan titisan inilah yang bakal menjadi hiasan sehingga umat Muhammad ini digelar `Ghurran Muhajjalin', yang putih anggotanya di Yaumul Qiamah.

Renungkanlah...
"Bukankah Kami telah menciptakan kamu dari setitis air yang kotor lalu Kami letakkan pada tempat yang teguh sehingga ke suatu masa yang tertentu..."  (Surah Al Mursalat 20-22)
"Kemudian Kami jadikan air mani itu segumpal darah yang beku lalu Kami jadikan segumpal darah itu menjadi seketul daging dan Kami jadikan ketulan daging itu tulang-belulang yang kemudiannya Kami balut tulang-temulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadiannya, Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifatnya..."   (Surah Al Mukminun : 14)

Namun, inilah hakikat kejadian yang sering dilupa-lupakan.
Alangkah...
Kiranya setitis mani yang hina itu telah menjadi makhlukNYA yang sering menderhaka...
"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui bahawa Kami telah menciptakannya dari setitis air (yang hina)? Dalam pada itu, setelah Kami sempurnakan kejadiannya dengan tenaga kekuatannya maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang lagi jelas bantahannya..."   (Surah Yassin : 77)

Hayatilah dan renungkanlah... sabda kekasih ALLAH SWT...
"Tiadalah bandingan dunia ini dengan akhirat melainkan umpama seseorang yang mencelupkan jemarinya ke dalam lautan luas MAKA perhatikanlah sebanyak mana yang terkaut olehnya..."

Kerana setitis demi setitis, renungkanlah...
Setiap titis-titis yang gugur biarpun hanya setitis, setiap satunya sarat dengan tamsilan; kiranya seluruh nikmat dunia ini hanyalah satu titisan... daripada nikmat-nikmat ALLAH SWT yang seluas lautan maka bayangkanlah... sekerdil mana pulakah kita di hadapan ALLAH SWT nanti?

P/S  :   Never argue with a fool.
            People might not know the difference.
            When you're right, no one remembers.
            But when you're wrong, no one forgets.

Monday, 14 May 2012

Jangan Ucapkan Tak'ziah Padaku...

Terdapat seorang lelaki yang telah berumahtangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini, pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan; kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.

Isterinya, sewaktu hidupnya adalah seorang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah. Dia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebai-baik pendidik kepada anak-anaknya.

Rumahtangga yang indah ini hanya kekal selama 22 tahun sehinggalah isterinya meninggal dunia. Setelah jenazah isterinya diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli keluarga, sanak-saudara dan kaum kerabat berhimpun di rumah lelaki ini untuk mengucapkan tak'ziah. Semua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan lelaki itu kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun begitu, sebelum sempat sesiapa berkata-kata, lelaki ini telah berkata...
"Semoga tiada sesiapa daripada kamu yang mengucapkan tak'ziah kepadaku sebaliknya dengarkanlah kata-kataku ini..."
Semua yang berhimpun di situ terkejut dan terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Lelaki itu meneruskan kata-katanya...
"Demi Allah SWT! Sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku kerana dia senantiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan dia juga telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku senantiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila dia meninggal dunia, aku teringat sebuah hadis Nabi SAW, yang mengatakan bahawa... "Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

"Tatkala aku meletakkan jenazahnya ke dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata... `Wahai Allah SWT! Aku sesungguhnya redha kepadanya, maka redhailah dia.' Aku mengulang-ulang kata-kataku itu sehingga tenang dan puas hatiku. Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, pada saat ini amat berbahagia dan bergembira; tidak dapat aku gambarkan pada kalian betapa hebatnya kebahagiaan dan kegembiraan yang aku rasakan ini."

"Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan tak'ziah padaku atas kematian isteriku itu maka janganlah kalian melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah padaku kerana isteriku telah meninggal dunia dalam keadaan aku redha padanya. Semoga Allah SWT menerima isteriku dengan keredhaanNYA."

Subhanallah! Alangkah bahagianya mendapat keredhaan suami macam ini. Adakah kita mampu melakukan seperti yang dilakukan oleh suami si mati ini sehingga pemergiannya diredhai dan membahagiakan suaminya. Kebanyakkan sekarang ini, banyak suami yang redha dan bahagia jika isteri mereka meninggal dunia tetapi bahagia kerana boleh kahwin lagi ler... he..he..he....



P/S :   In life, you'll realize that there is a purpose for everybody you meet.
           Some people are there to test you, some will use you,
           some will teach you and some will bring out the best in you.
           But it's so hard to forget someone who gave you so much to remember.
           Maakkk....!!!!

Tentunya anda ingat semua ini jika anda lahir pada 1971-1984...

(Kenangan bersama abang dan kakak di rumah Embah di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, 1972)

Masih ingat lagi atau tidak; kita membesar dengan menonton rancangan kartun G-Force, HeMan, Transformer, Thundercats. Silver Hawk, Woody Woodpecker, Chipmunks. Mickey Mouse, Ninja Turtles, Mask, Smurfs, Ultraman,Tendangan padu maut (Satria Baja Hitam) dan Voltron. Gambar di sebelah, gambar rancangan kartun kegemaran aku suatu masa dahulu iaitu Thunder... thunder...thunder... catssss... Hoooooo...!!!!

  • Pernah berus gigi sewaktu rehat di sekolah rendah? Hmmm... mesti anda ingat pegang cawan yang warna-warni sambil mencangkung kat tepi parit bersama dengan classmate dan bestfriend anda.
  • Ingat lagi tak sewaktu jururawat kat sekolah masuk ke kelas dengan senarai nama temujanji untuk berjumpa dengan doktor gigi? Selepas tu, bunyi gigi member kita kena gerudi kat bilik sebelah mebuatkan jantung kita macam nak meletup. Kalau ada gigi yang berlubang, alamatlah kena tampal.
  • Rasanya, tentunya anda ingat sangat waktu ini, program minum susu di sekolah untuk menggalakkan bebudak sekolah waktu itu minum susu. Sekotak harganya hanya 30 sen jer.
  • Cikgu-cikgu pula kalau hendak mendenda pelajar mesti guna pembaris panjang warna kuning untul pukul tapak tangan.
  • Mee sup semangkuk pun harganya 30 sen juga di kantin sekolah.
  • Hankyu Jaya, Yaohan adalah merupakan shopping kompleks yang popular pada zaman aku dahulu tetapi shopping kompleks ini hanya ada di Kuala Lumpur sahaja.
  • Sewaktu sekolah menengah pula, tentunya anda masih ingat dengan kasut sekolah jenama Bata. BM Turbo atau Pallas Jazz. Ada yang suka kasut sekolah high-cut buatan China dan ada pula yang suka pakai stokin tebal.
  • Internet? E-mail? Apa benda semua itu? CD? Apa tu? Kaset tape adalah pernah dengar.
  • Tiket wayang pun harganya RM5 jer.
  • Kalau kita pergi kedai runcit, tentunya kita beli Chikerdis, Mamee, Kum Kum, O-Ya, Ding Dang, rokok Chewing Gum, KiKi Bubble Gum. Yang tak dapat dilupakan `tikam'.
  • Apabila dah habis exam, main Monopoly, Donkey, Happy Family dalam kelas.
  • Tetapi yang paling ditunggu sekali ialah bunyi loceng yang menandakan sekolah tamat dan boleh beli ais-krim dengan apek kat luar pagar sekolah.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) mesti tak boleh dilupakan kerana dapat keluar rehat awal.
  • Permainan kegemaran baling selipar, main guli, batu seremban, ceper (penutup botol), batang ais-krim, biji asam jawa, 123, Polis & Sentry, kejar-kejar lepas tu duduk dan galah panjang.
  • Waktu dahulu kalau dah penat main, kita hilangkan dahaga dengan ais-krim 10 sen (ais-krim Malaysia).
  • Lipat-lipat kertas kecik-kecik lepas tu buat lastik. Hmm... baling-baling kapur pun kita ada main juga sampai kena denda berdiri di hadapan kelas oleh cikgu.
  • Dia orang sekarang mana ada dengar lagu `We Are The World', Uptown Girl - yang dia orang tahu Westlife yang nyanyi bukannya Billy Joel nyanyi.
  • Bagi dia orang hanya ada 1 jer Jerman kat dunia ni dan hanya ada satu jer Vietnam.
  • AIDS hanya wujud sejak dia orang lahir.
  • MJ (Michael Jacksons) dah putih dah waktu tu.
  • Dia orang percaya Spiderman dan Incredible Hulk tu filem baru.
  • Dia orang tak boleh bayangkan skrin hitam putih untuk sebuah komputer. Dia orang tak percaya ada TV hitam putih dan dia orang tak reti nak switch on TV kalau tak ada remote control.
  • Dia orang tak pernah tahu pun `Atan' dengan Game & Watch.
  • Dia orang tak faham bagaimana kita boleh survive di universiti tanpa handphone.
 Mari kita post-mortem, adakah kita ni dah tua ataupun belum...
  • anda faham apa yang anda baca kat atas ni dan pastinya anda tersenyum sorang-sorang mengenang kenangan silam
  • kebanyakan kawan-kawan anda di sekolah menengah kita dah kahwin
  • anda mesti pelik apabila tengok budak-budak kecil sekarang main komputer selamba sahaja
  • kita pastinya geleng kepala apabila tengok budak-budak sekolah guna handphone
  • kita dah tak banyak sembang-sembang dengan member kat telefon lagi
  • apabila jumpa membar lama, seronok sembang cerita-cerita lama
  • last sekali apabila anda dah terbaca artikel ini, pastinya anda terfikir untuk `forward'kan kepada member-member lain.
P/S  :   Tapi yang paling aku ingat sampai la ni dan buat aku paling sakit hati
            apabila tengok TV  RTM ialah `Maaf -  Rancangan Tergendala Sebentar'.
           

Sunday, 13 May 2012

BOIKOT, apa kejadahnya!!!

Banyak orang sibuk dengan agenda boikot-memboikot. Ada yang sibuk berkempen agar memboikot parti si anu dan ada juga yang sibuk mengumpat dalam memboikot sekutu-sekutu mereka; baik dalam bidang politik, perniagaan dan jiran tetangga juga. Yang aku hendak cerita kali ini adalah agenda atau pun misi kita untuk memboikot barangan Yahudi laknat ini. Tetapi apabila aku fikir-fikirkan balik (bukannya aku menyokong tetapi...)...

Sekarang ni, aku menaip ruangan blog aku menggunakan komputer INTEL.
Apabila hujung bulan ataupun waktu aku malas nak masak, aku makan MAGGIE.
Apabila bershopping barangan keperluan, aku selalu ke TESCO ataupun CARREFOUR.
Apabila perlukan minuman yang berkhasiat, aku minum  MILO daripada cap NESTLE.
Barangan make-up aku selalunya jenama L'OREAL, MAYBELLINE dan REVLON.
Apabila aku period, aku selalu gunakan KOTEX.
Barangan baby, aku guna produk daripada JOHNSON&JOHNSON.
Masa anak-anak baby lagi, anak-anak aku tak pakai lampin, mereka gunakan HUGGIES.
Anak-anak suka tengok cerita karton rancangan DISNEY.
Yang remaja mula asyik dengan NATIONAL GEOGRAPHIC.
Apabila bosan aku suruh anak-anak tukar ke rancangan 20th CENTURY FOX;
Ataupun layan cerita sensasi terkini CNN.
Sambil layan television, aku minum SPRITE dan COCA-COLA serta makan KIT KAT.
Apabila bersin, aku gunakan KLEENEX.
Teringat suami bekerja esok, aku tolong kilatkan kasutnya dengan menggunakan KIWI,
Menggosok kemeja jenama RALPH LAUREN, POLO dan JOHN'S MASTER.
Hendak bagi rumah wangi, aku gunakan AMBI PUR.
Sebelum ke tempat kerja, sembur badan dengan HUGO BOSS dan GIORGIO ARMANI.
Sambil tunggu pelanggan datang, aku melepaskan lelah di MARKS & SPENCER;
Sambil membaca majalah TIME.
Apabila sampai ke rumah dalam keletihan, aku buka peti sejuk dan minum SUNKIST.
Dan yang lebih penting, aku gunakan telefon berjenama NOKIA.
Apabila kepala pening, kita suka sedut rokok berjenama DUNHILL.



P/S  :   Apa-apa pun, aku akan tetap BOYCOTT ISRAEL!!!

Friday, 11 May 2012

Mak, maafkan aku kerana rindu ini...

Mak...
Tanggal 2 Mei, 2012... jam 5.05 petang (dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor), mak disahkan meninggal dunia kerana `acute coronary syndrome'. Kita menerima berita pemergian mak daripada Silah pada pukul 5.30 petang di rumah kita... kita tergamam. Betulkah... Betulkah, mak dah tak ada? Kita jadi tidak keruan, antara sedar tak sedar, kita masih dalam keadaan tidak percaya. Betulkah, kita dah tak ada mak lagi?

Baru 2 minggu lepas kita bercakap di telefon dengan mak; mak gelak sahaja apabila bercakap dengan kita. Kata mak, tekanan darah dan kencing manisnya semuanya turun dan baik sahaja. Mendengar kata-kata mak, kita bahagia sekali. Setiap kali selepas bercakap dengan mak, kita akan mohon ampun dan maaf dengan mak serta minta mak halalkan makan dan minum kita selama mana kita menjadi anak mak. Mak marah kita, kata mak, kita tak ada salah dengan dia. Kalau ada pun dah lama dia maafkan kita. Mak cakap, lain kali jangan cakap macam ini lagi. Kata mak, dia belum mati lagi. Kita gelak sahaja apabila mak marah kita. Memang salah kita, cakap macam itu. Tetapi, kita mahu mak tahu bahawa hal mati ini tidak mengenal usia. Orang muda pun ada yang mati dahulu. Tetapi kata mak, biarlah dia yang mati dahulu dan bukannya kita.... (maaf... penulisan terhenti seketika kerana hujan turun dengan lebat)

 Mak...
Kita tiba di Muar agak lewat (pukul 2 pagi) kerana menunggu anak-anak kita pulang dari asrama di Perak. Setibanya kita di rumah abang, kita terus duduk terpaku melihat jenazah mak. Memang betul yang terbaring di tengah-tengah ruang tamu itu ialah mak. Ini bermakna pada tarikh ini dan pada waktu ini, kita dah tak ada mak lagi dan tiada sesiapa yang dapat kita panggil sebagai mak (melainkan mak mertua kita).  Dan pada bulan `Hari Ibu' ini, kita kehilangan mak untuk selama-lamanya. Rasa ngilu itu semakin terasa apabila di setiap corong radio dan peti television sibuk menyiarkan sambutan `Hari Ibu'. Apa yang kita hendak sambutkan... kita dah tak ada mak lagi. Yang ada hanyalah dua batu nisan yang tercacak di hujung kubur yang ditinggalkan sepi oleh anak-anak.

Maakk...
Kita pulang mak. Kita pulang, nak tengok mak. Maafkan kita, mak kerana selama ini kita tidak menjadi anak yang cukup baik untuk mak. Mak... siapakah yang menemani waktu-waktu akhir mak; sewaktu mak dalam sakratul? Dapatkah mak mengucapkan kata-kata indah itu, mak? Siapakah yang menolong mak untuk mengucapkan kata-kata itu, mak? Ya, Allah! Ampunkanlah segala dosa ibuku. Engkau tempatkanlah ibuku di tempat hamba-hamba yang Engkau kasihi. Amin.

Mak, kita masih ingat lagi, suami dan anak-anak (Nabila dan Nadia) membaca surah Yassin kat tepi mak. Kemudian mereka bergilir-gilir membaca Surah Al-Baqarah sehingga habis (hingga masuk waktu Subuh). Sepanjang pukul 2 pagi hinggalah ke pagi, kita tidak tidur menemani jasad mak yang kaku dan sejuk itu. Sesekali kita singkap kain yang menutupi wajah mak. Kita cium sepuas-puasnya dan kita dekatkan pipi kita dengan pipi mak. Sejuk sekali. Sesekali kita singkap kain yang membalut kaki mak. Kita pegang kaki mak dan kita cium. Sejuk betul kaki mak. Sesekali, kita peluk jasad mak. Kita genggam tangan mak kerana kita tahu selepas ini, kita tidak akan dapat berbuat begitu lagi. Sepanjang malam, kita tidak tidur kerana mahu menemani mak kerana kita tahu inilah kali terakhir kita dapat bersama dengan mak. Kita mahu tatap wajah mak puas-puas sebelum mak di bawa ke tanah perkuburan. Kita mahu peluk mak, cium mak dan sentuh mak sepuas-puasnya kerana kita masih belum bersedia untuk melepaskan mak pergi waktu itu. Biarlah kalau mereka semua nak tidur atau apa pun, yang pasti kita mahu menemani mak seperti sebelumnya kalau kita balik untuk melihat mak.

Pukul 9 pagi, jenazah mak dimandikan. Kita dengan anak-anak turut sama mandikan dan mengkafankan jenazah mak. Sesungguhnya kita cukup bangga dengan anak-anak kita kerana mereka tidak takut atau kekok untuk memberikan khidmat terakhir mereka pada atuk mereka. (Nabila, Nadia... terima kasih sayang! Mak benar-benar terharu dan bangga dengan kalian).
Pada 11 pagi, jenazah mak dibawa ke tanah perkuburan di Batu 6, Bakri, Muar, Johor. Suami kita yang memilih tempat untuk mak bersemadi (terima kasih, sayang). Sebelum jenazah mak dimasukkan ke lubang kubur itu, suami kita memanggil kita untuk melihat mak kali terakhir. Waktu itu... hanya Tuhan sahaja yang tahu, bagaimana luruhnya hati kita melihat wajah mak yang kaku itu. Kita menarik nafas panjang dan menganggukkan kepala; mengatakan yang kita sudah bersedia untuk melepaskan mak dengan aman dan tenang.
Ya, Allah! Aku redha dengan pemergian ibuku ini. Selamatkanlah ibuku daripada seksa kubur dan peliharalah ibuku sewaktu di sana.


Mak...
Kini dah hampir 10 hari berlalu (waktu kita menulis catatan ini). 10 hari mak dah tinggalkan kita. Rasanya baru semalam kita bercakap dengan mak. Kerinduan itu terasa menusuk-nusuk hingga ke ulu hati. Rasa teramat ngilu sangat. Sampai sekarang apabila kerinduan itu datang, hanya sedekah Al-Fatihah yang dapat kita berikan. Nanti, setiap kali selepas solat kita sedekahkan Al-Fatihah banyak-banyak kat mak. Mak, tunggu ya!

Maakkk....
Biarkan aku bertafakur apabila rindu padamu
Walaupun tidak terucap, aku sangat kehilangan
Meskipun aku tidak dapat memanggil `mak' di saat akhir
Namun aku redha dengan pemergianmu
Aku berjanji setiap selepas solat akan kukirimkan
Al-Fatihah yang pernah mak ajarkan padaku
Sesungguhnya aku menangis terlalu lama
Namun aku pendam agar mak berangkat dengan tenang

Al-Fatihah buat bondaku Puan Hafsah Alias (69 tahun pada 18 Julai 2012)


P/S :   Maafkan aku, mak! Aku tidak mampu menjadi seperti pohon kayu yang lebat buahnya
           tumbuh di tepi jalan, dilempar orang dengan batu tetapi dibalas dengan buah yang
           cukup manis. Mak, cuaca di luar semendung hatiku dan derasnya hujan, selebat
           air mataku. Maafkan aku, mak! Maaakkk....!!!