Saturday, 24 March 2012

Warkah Buat Suami


Ya, Allah! Tolong beritahu suamiku bahawa
aku telah aturkan hatiku ini hanya padanya
agar dia tidak sangsi pada kasih sayang yang kucurahkan selama ini
agar dia tidak teragak-agak untuk menerima curahan cintaku sepanjang masa
agar dia tidak walang mencurahkan kasihnya padaku.

Ya, Allah! Tolong sampaikan pesananku ini padanya bahawa
cintaku padanya seperti setianya kasih Zulaikha dengan Yusuf AS
cintaku untuknya ibarat pengikat rindu Rasulullah SAW dengan Khadijah Al-Gubra
cintaku buatnya umpama titisan mata air kasih sayang Imam Ali AS dengan Fatimah Al-Zahra

Ya, Allah! Tolong bisikkan ke telinga suamiku bahawa
aku ingin mencintainya  seperti kata yang tidak sempat
diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya tiada
aku ingin mencintainya seperti isyarat yang tidak sempat
dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada.

Ya, Allah! Tolong layangkan warkahku ini buat suamiku bahawa
diamku ini bukan kerana aku lupa pada kasih sayangnya
diamku ini tidak bermakna aku benci pada kata-katanya
diamku ini kerana aku tidak mahu menambah beban di bahunya.

Ya, Allah! Tolong sebarkan kata-kataku ini pada suamiku bahawa
senyumanku ini ikhlas dan bukannya sindiran
senyumanku ini kuukir bukan kerana mahu menghina keperibadianmu
senyumku ini kerana aku mahu menceritakan padamu tentang kebahagiaanku.

Ya, Allah! Tolong maklumkan pada suamiku bahawa
aku ketawa bukan kerana aku lupa diri
aku ketawa bukan kerana aku bangga diri
aku ketawa untuk mewarnai kehidupanmu yang penuh dengan onak dan duri.

Ya, Allah! Tolong ingatkan pada suamiku...
jika suatu hari nanti aku diam tanpa kata-kata dan tubuhku kaku sahaja
tolonglah ampunkan segala dosa-dosaku padamu
tolonglah halalkan makan dan minumku sewaktu bersamamu
tolonglah redhakan semuanya untuk diriku
tolong jangan engkau tangisi pemergianku
tolonglah sedekahkan Al-Fatihah, doa & ayat-ayat Al-Quran buat penerang liang lahadku
dan tolong kenang aku sebagai isterimu yang satu.

Wassalam.

Daripada isterimu...
Apabila aku sudah tiada, simpanlah semua kenangan kita
dan aku akan mengintaimu di balik awan sepanjang masa.




No comments:

Post a Comment