Bersama titisan hujan malam yang jatuh longlai di dada bumi, aku terpaku digigit masalah yang kian bertambah. Hatiku rimas diamuk gelombang krisis yang datangnya waktu demi waktu. Suasana malam yang tenang bagaikan suatu sindiran pada gelodak jiwaku. Malam... indah dan tenang tetapi mengapa jiwaku resah menatap wajah malam yang basah diusap rintik-rintik hujan?
Teringat aku pada kata ustaz dalam program "Tanyalah Ustaz"... "Hati resah kerana dosa!" Ya, memang dosalah yang melemaskan kota hatiku; hingga bocor dan ternoda oleh kemungkaran dan maksiat. Mengapa hatiku begitu berat untuk dibawa berbicara denganMU, Tuhan? Mengapa anggotaku tidak bermaya dalam gerak menujuMU? Aku ingin bertanya dan mendengar pujukan wahyu dan belaian sabda kekasihMu, Muhammad SAW agar hati ini kembali tetap padaMU.
"Dirikanlah solat, jika engkau ingin berbicara dengan Tuhan..." Hatiku masih mengeluh. Aku MALAS. Dingin malam yang menggigit tulang ini bukan masa yang enak untuk aku pergi berwuduk.
"Bukalah Al-Quran dan bacalah ayat-ayatNYA jika engkau ingin mendengar suaraNYA." Hatiku masih mengeluh lagi. Aku MALAS. Wahai diri! Alangkah gelapnya hati ini. Betapa tinggi gunung dosa yang bertakhta di dalamnya. Aku MALAS. Aku jemu dan aku lesu menempuh jalan menujuMU.
Hujan kian lama kian lebat. Wajah malam makin pekat bagai marah pada diriku. Agaknya malam pun sudah jelak dengan rungutan hatiku yang berdosa ini. Tetapi... nantilah! Aku masih ingin berbicara lagi. Hatiku masih hidup walaupun denyutannya bagai nadi pesakit yang kian nazak. Biarlah wajah malam menatapku dengan wajah benci tetapi aku yakin Allah SWT tidak begitu.
Tuhan... aku manusia hina! Aku manusia lemah! Inilah keluhan demi keluhan aku. Tetapi apakah cukup dengan sekadar keluhan? Apakah ibadah yang terbarai, dosa yang bertimbun akan tertampung hanya dengan keluhan? Alangkah enaknya jika begitu! Ibadah malas. Dosa ditempuh kemudian mengeluh terus mengeluh dan mengeluh... mengharapkan keampunan. Tidak! Bukan begitu!
Hujan kian lebat. Sinar kilat memancar bagaikan kilauan pedang yang siap sedia memancung leherku. Bunyi guruh , gegak-gempita, seolah-olah memprotes angan-anganku terhadap keampunanMU. "Lupakah kamu pada taubat? Lupakah engkau pada syarat-syaratNYA? Hatiku semakin membentak.
"Dum! Dum! Dum! Kilat dan guruh beradu kekuatan di langit malam yang kian hitam, pekat dan dahsyat. Pentas hatiku bagai medan langit yang membahang kepanasan dipanah halilintar yang kian garang. Tetapi hatiku tetap terpujuk untuk terus berdialog sendiri bagai limpahan hujan yang turun dari celah-celah awan yang tidak pernah terbakar walaupun dipanggang mentari siang. Begitulah agaknya siraman rahmat Allah SWT yang masih sudi menyapa hati insan yang berdosa ini. Hatiku...
"Berwudhuklah!" Nanti... aku masih MALAS. Aduh...! Hebatnya peperangan diri, yang musuh dan kawannya silih berganti. "Kuasailah dirimu, nescaya kamu akan mengusai dunia." Tidak mungkin atau... mungkin juga. Berperang dengan diri sendiri memang payah tetapi ramai yang sanggup mati di medan perang tetapi sukar jika berhadapan dengan nafsu.
"Jika aku mengalahkan nafsu, aku akan menguasai dunia. Tetapi jika nafsu yang menguasai aku, bagaimana?" Hatiku tertanya-tanya. "Dunialah yang akan menghambakan engkau. Dunia adalah hamba yang baik tetapi tuan yang jahat. Apabila engkau dikuasai dunia, engkau akan terasa tuan apabila berhadapan dengan Tuhan dan bukan sebagai hamba kepada Tuhan."
Hujan bertambah lebat bagaikan tombak yang dihujam oleh tentera zaman dahulu di medan laga yang kian ganas. Namun di dada bumilah air hujan akhirnya meresap lembut bagaikan kain yang dijahit dengan benang oleh sebatang jarum. Bumi bersabar menanti tujahan hujan. Tidak pernah mengeluh walaupun bumi pasif menanti seribu derita yang melandanya. Walau bumi dipijak oleh insan derhaka seperti aku, namun bumi tetap redha tetapi kesedaran itu ada batasnya. Akan tiba masanya, bumi akan menganga bagai kuburan yang menghimpit penderhaka yang tidak pernah sujud di dadanya mengadap Allah SWT.
Begitulah Allah SWT yang membuka seluas pintu rahmat. Hatiku... masih berdenyut lagikah engkau dalam mendengar monolog yang berlatarkan malam yang sepinya digoncang kehadiran ribut dan petir? Ya... masih!
"Berwudhuklah!" Ah, Tidak! Engkau masih berdegil. "Hari demi hari, umurmu bertambah dan makhluk dunia mengucapkan selamat hari jadi kerana umurmu katanya semakin panjang. Tetapi hari-hari itu juga menyaksikan langkah-langkah derasmu menuju liang lahad yang mengamit-gamit agar engkau datang. Umurmu sebenarnya semakin pendek dan ucap selamat itu seharusnya ditukar kepada `ingatlah kedatangan matimu'."
Entah mengapa tiba-tiba, aku bangun daripada pembaringanku... menuju ke bilik air. Tekadku hanya satu... aku ingin berbicara denganMU dalam solat dan aku rindu hendak mendengar suaraMu melalui ayat-ayat Al-Quran yang akan aku baca.
Di luar hujan kian reda. Kilat, guruh sudah hilang kekuatan yang dipinjamkan padanya sementara. Dingin malam ini seolah-olah memujuk hatiku yang merajuk. Dingin air wudhuk yang mencecah wajah, bagaikan air hujan yang kian lembut membelai malam ketika aku bersendirian begini.
Apabila bersendirian begini, aku diriuhkan sepi
gelisah bergeseran, menderaskan rasa gemuruh
bagaikan air terjun yang mengocak ketenanganku.
Apabila sendirian begini, aku dibingitkan rasa bosan
keluh saling berselisihan, merancakkan kegelisahan
bagaikan kereta api malam yang merempuh kebahagiaanku.
Apabila sendirian begini, ruang ini menjadi medan akal
yang diriuhkan pengalaman dan perasaan, berantukan berpanjangan
lalu aku padamkan gelodak rasa itu di atas sejadah keimanan
aku lafazkan doa dan zikir berpanjangan
agar tidak lagi mengunyah kebatilan.
Apabila sendirian begini
peliharalah aku dalam kegelapanMU!
p/s: Anakanda, jangan lupa mengintai ke awan; pasti anakanda akan lihat kejayaan...
No comments:
Post a Comment