Friday, 23 March 2012

Warkah Buat Anakanda

Warkah buat anakanda ibu - Nurnabila & Nurnadia

Anakanda yang ibu kasihi...
serasa baru semalam anakanda dilahirkan,
namun akhirnya ibu tersedar bahawa
aksara usiamu kian menjangkau remaja
memekar segar pohon hayatmu
subur rendang memperkasa jati diri
kekuatan jasad lahiri warisan ayahandamu yang tidak terperi
usahlah dibiarkan berlalu tanpa terisi makna dan erti hakiki.

Anakanda yang ibu sayangi...
ibu senantiasa pohon dan mendoakan serta sering mengharapkan
anakanda mampu membantu memayungi keluarga kita
mengasihi ayahanda dan ibu lalu menjadi contoh mithali sebagai anak
ayahanda selalu berpesan tuntutlah ilmu hingga penghujung dunia kerana
dengan ilmu anakanda akan memperoleh harta yang tidak mampu ayahanda hulurkan dan
kasihilah dirimu sebelum anakanda belajar mengasihi lelaki yang bakal menjadi suamimu
kerana nilai hakiki seorang puteri terletak pada maruah dan harga diri.

Anakanda yang ibu cintai...
jika anakanda  rebah dalam perjalanan, cepat-cepatlah bangun dan sedar
kesatlah lukamu dan teruskanlah berlari
jika anakanda menangis, kesatlah airmatamu
teruskanlah pendakian masa hadapanmu dengan tabah
jangan biarkan dirimu mengelongsor jatuh
dipijak rakan yang senantiasa mahu mengatasimu
bangunlah... bangunlah anak-anakku.. bangun dari tidur lenamu
kerana kejayaan hari esok bermula dengan usaha hari ini
tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu
bangunlah sayang... jangan ketinggalan
kerana nilai manusia itu semahal matlamatnya
dan perjalanan 1000 batu bermula dengan satu langkah.

Anakanda harapan ayahanda dan ibu...
hiasilah dirimu dengan budi pekerti yang mulia
isilah jiwamu dengan alunan zikir serta ayat-ayat suci
lembutkanlah lidah dengan mengucap syukur atas nikmatNya
lafazkanlah ikrar untuk taat atas qada' dan qadarNya
penuhilah diniharimu dengan sujud memohon ampun daripadaNya
eratkan perpaduan ilmu, iman dan amal agar tersemat dalam sanubarimu.

Ingatlah anak-anakku...
masa muda usahlah dipersiakan tanpa usaha peningkatan kendiri
masa sihatmu usahlah dipersiakan tanpa amal kebajikan
masa lapangmu usahlah dipersiakan tanpa ibadah pelengkap rohani dan jasmani
masa kayamu usahlah dipersiakan tanpa sedekah jariah pembersih jiwa
dan masa hidupmu usahlah dipersiakan tanpa panduan ilmu,iman dan amal sebagai penyuluh jalan.

Anakanda yang ibu kasihi...
ingatlah bahawa nikmat dunia hanyalah sementara
adakalanya ibu terlupa sesaat untuk mensyukuri nikmatNya
kerana ada suatu ketika nikmat sihatmu ditarik sementara olehNya
hati ibu resah memikirkan apakah dosa ibu?
apakah ibu pernah angkuh kepadaNya atau ibu terleka dengan kemewahan yang dikurniakanNya?
atau ibu sering terlena panjang sedangkan saat itu adalah paling mustajab
untuk ibu sujud memohon redhaNya
ibu yakin setiap musibah itu ada hikmahnya dan ibu bersyukur atas semua ketentuanNya.

Anakanda yang ibu sayangi...
ibu persembahkan hadiah termahal buat anakanda iaitu
bicara dan pesanan buat bekalan sepanjang kehidupan
demi masa hadapan dan kebahagiaan
binalah kekuatan rohani dan jasadi demi menjadi Muslimah hakiki
renungilah dan hayatilah pesanan ini dan moga menjadi kompas dalam hidupmu
kerana kembara dan perjalananmu masih jauh dan panjang
penuh onak dan duri ujian serta liku-liku cabaran
demi hari yang penuh istimewa ini
ibu dan ayahanda senantiasa mendoakan
usia anakanda akan dihulurkan berpanjangan
rezekimu akan diluas tambahkan
tubuh badanmu akan disihat sejahterakan
dan kejayaan akan selalu dikurniakanNya sepanjang kehidupan

Diiringi doa dan permohonan kepada Yang Maha Empunya
dengan penuh iltizam dan istiqamah demi kebahagiaan dunia dan akhirat
ketahuilah bahawa ibu dan ayahanda amat menyayangi anakanda berdua
amat mengasihi dan amat mencintai dirimu
moga anakanda akan menjadi insan berguna dan bermakna di sini dan di sana nanti
doa ibu buatmu...
jadilah anak-anak cerdik yang solehah serta pewaris generasi rabbani.

Wassalam dan moga menjadi renungan serta tatapan keinsafan
sayang dan hormat senantiasa daripada...
ibu yang sering berleter tanda sebuah kasih sayang dan
ayah yang sering kelihatan marah tanda beramanah dan bertanggungjawab.

Buat anak-anak ibu dan ayah...
kejarlah pelangimu selagi hujan masih membasahi bumi dan
sesekali renunglah ke langit kerana
ibu dan ayah mengintaimu di balik awan-awan biru itu.



No comments:

Post a Comment