`Kurang ajar' - sebuah perkataan yang paling ditakuti untuk bangsa kita (Melayu) yang cukup pemalu. Sekarang kata-kata ini akan aku ajarkan kepada anak-anakku.
"Engkau harus jadi manusia kurang ajar agar negaramu tidak tergadai pada bangsa asing; agar tanah warisan nenek moyangmu tidak terlepas pada pendatang yang bermulut manis tetapi kelengkeng berkait; agar hidupmu terjamin dan menjadi tuan di tanah sendiri; bukannya menjadi hamba di tanah warisan ini. Bangkitlah... Jadilah kurang ajar untuk tidak mewarisi sifat malu ayah dan bonda. Lihatlah bangsa asing yang kurang ajar itu. Suatu waktu dahulu, mereka tidak punya apa-apa tetapi kini sudah punya harta tanah sendiri dan menjadi tuan kepada anak-anak pribumi."
"Jangan nanti kita menjadi hanya sebatang lidi yang tidak mampu berbuat apa-apa. Tetapi ikatlah lidi-lidi itu dengan kuat agar menjadi seberkas penyapu yang kuat dan dengan penyapu itu juga umat Islam bangsa Melayu boleh menyapu semua sampah yang boleh mengganggu gugat umat dan bangsa. Jika tidak, anasir luar dengan mudah akan mematah-riukkan kita hingga menjadi hancur dan lebur."
"Semoga Allah SWT mengampunkan kita dan memberi kekuatan ukhwah serta istiqomah demi kesinambungan umat Islam bangsa Melayu di Tanah Melayu ini. Bangkitlah, anak-anakku! Jangan biarkan mereka melukaimu lagi. Bangkitlah untuk menebus rasa malu itu dengan sifat kurang ajar!"
Sajak "Melayu" hasil nukilan Usman Awang...
Melayu itu orang yang bijaksana
nakalnya bersulam jenaka
budi bahasanya tidak terkira
kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
apabila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
kecut, takut kerana benar
janji simpan di perut
tetapi selalu pecah di mulut
biar mati adat jangan mati anak.
Dalam sejarahnya,
Melayu itu pengembara lautan
melorongkan jalur sejarah zaman
begitu luas daerah sempadan
sayangnya kini segalanya kehilangan.
Melayu itu kaya falsafahnya
kias kata bidal pusaka
akar budi bersulamkan daya
gedung akal laut bicara.
Malangnya, Melayu itu kuat bersorak
terlalu ghairah pesta temasya
sedangkan kampung telah tergadai
sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
meski telah memiliki telaga
tangan masih memegang tali
sedang orang lain mencapai timba
berbuahlah pisang tiga kali.
Melayu itu masih bermimpi
walaupun sudah mengenal universiti
masih berdagang di rumah sendiri
berkelahi cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dengan senyuman
marahnya dengan diam
merendahnya bukan menyembah
meningginya bikan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
setia dan sabar tiada sempadan
tetapi jika marah tidak nampak telinga
musuh dicari hingga ke lubang cacing
tidak dapat tanduk, telinga dijinjing
maruah dan agama dihina jangan.
Hebat amuknya tidak kenal lawan
berdamai cara Melayu indah sekali
Silahturrahim hati yang sungguh murni
maaf diungkap senantiasa bersahut
tangan dihulur senantiasa disambut
luka pun tidak lagi berparut.
Baiknya hati Melayu itu tiada terbandingkan
selagi yang ada sanggup diberikan
sehingga tercipta sebuah kiasan
"Dagang lalu nasi ditanakkan
suami pulang lapar tak makan;
kera di hutan disusu-susukan
anak di pangkuan mati kebuluran."
Bagaimanakah Melayu abad 21 ini?
masihkah tunduk tersipu-sipu?
jangan takut melanggar pantang
jika pantang menghalang kemajuan
jangan segan menentang larangan
jika yakin kepada kebenaran
jangan malu mengucapkan keyakinan
jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
memegang tali, memegang timba
memiliki ekonomi mencipta budaya
menjadi tuan di negara Merdeka!
P/S : "Ada masa aku dihukum dengan mata, aku tak marah. Ada masa aku
dihukum dengan kata, aku masih tak marah. Tetapi yang aku marah
apabila aku dihukum dengan fitnah tanpa usul periksa.