Friday, 27 September 2013

Resah Seorang Aku...

    Kerap kali apabila kita jujur, kita akan dituduh bodoh. Apabila kita mengalah, kita akan dianggap lemah. Padahal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu, sukar untuk mendapatkannya. Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut jalan salah lalu dia cepat sampai; sedangkan kita di lorong yg betul, masih lelah menapak dan merangkak. Apabila yg batil ketawa, yg benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tegar melihat kebatilan melonjak ria.
    Acap kali duri berselindung di sebalik bunga lalu kita yg tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yg ikhlas dan lembut adakalanya dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yg lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yg sedia terhunus.
    Namun, jika itu yg kita ingatkan kpd yg lain, pasti ada yg mengatakan bahawa itu hanya `escapisme'. Apabila kecewa dgn manusia, orang akan `lari' kpd Tuhan. Apabila tidak dapat meraih dunia, orang mula merindui akhirat. Apabila terlepas kenikmatan nafsu, barulah ada yg merintih Syurga itu ada.
    Bukan...bukan begitu. Keyakinan kpd Allah dan Hari Akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh `etheis' dalam diri yg mendakwa bahawa manusia itulah yg `mencipta' Tuhan demi ketenangan. Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dgn manusia. Dan sesiapa yg memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya.
    Kita tidak selalunya benar dalam pendirian dan tindakan, kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah tetapi kerana kealpaan dan kejahilan, kita tersasar juga. Kita ingin tenang tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah juga. Ada rasa marah, ada rasa resah tetapi semua itu adalah `bayaran tol' di lebuh raya mujahadah.
    Ya, Allah...ampunkanlah aku! Berikanlah aku kekuatan utk memaafkan diri aku sendiri dan juga orang lain. Aku masih tidak pandai mensyukuri nikmatMU kerana aku masih mendidik hati dalam menerima ujianMU. Ya, Allah...cuma satu...cuma satu...janganlah ENGKAU serahkan diriku kpd diriku sendiri walau sekelip mata. Kutiplah aku, Ya Allah...untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufikMU. Ya Allah...aku senantiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah aku untuk menjadi orang yg jujur dan benar walau apa pun keadaan dan cabarannya. Amin!

P/S :   Kita semua ada buat dosa. Kita semua tak sempurna
              tetapi janganlah jadikan semua itu sebagai alasan
              untuk terus jauh daripada Allah.

Friday, 23 August 2013

Hadiahkanlah aku doamu, sahabat!

Sahabat...
Jika aku sahabatmu yang jahat, tolong doakan aku berpaling daripada kejahatan. Tolong doakan aku agar aku menjadi sahabatmu yang baik. Jika aku sahabatmu yang baik, tolong doakan kebaikan aku ini tulus dengan keikhlasan. Jika aku sahabatmu yang ikhlas, tolong doakan keikhlasanku sampai ke pangkuan Ilahi. Tolong gerakkan setiap tindakan aku padamu dengan sebuah doa. Tolong doakan aku agar aku tidak lupa untuk mendoakanmu jua.
Sahabat...
Bagiku hidup ini sederhana sahaja. Jika engkau senang bersahabat denganku, aku akan sambut dengan gembira walaupun engkau tidak suka. Aku tetap akan ketawa bersama dunia kerana di dalam sebuah persahabatan, rasa senang hati lebih penting sekalipun tidak semua orang boleh menyenangkan hati kita. Termasuklah aku. Bukan setiap saat aku mampu memberimu rasa aman dan nyaman.
Sahabat...
Mengenali seseorang adakalanya membuat kita ketawa, mengenali seseorang itu juga adakalanya membuat kita mengalirkan airmata. Sesungguhnya...mengenali seseorang itu mampu memberi kita sejuta rasa. Marah, sedih, gembira, sayang dan rindu tetapi sedarkah kita bahawa mengenali seseorang itu sebenarnya adalah suatu anugerah? Biarpun hadirnya hanya sekadar sementara dan sekadar teman seketika; bersyukurlah dengan kehadirannya kerana barangkali melalui saat itu kita akan mengerti apa ertinya sebuah persahabatan.
Sahabat...
Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah atas nama kesetiaan, mendahulukanmu atas nama kebajikan, menyimpan keaibanmu atas nama kejujuran, menegur kelemahanmu atas nama kebaikan, memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan...ketahuilah bahawa dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara dan sahabat sejati yang sukar dicari ganti.

Buat Renungan Bersama...

Aku kata `Astaghfirullah' tetapi hati aku masih gemar akan maksiat.
Aku kata `Wa Atubu Ilaihi' tetapi jasad aku masih melakukan dosa yang sama.
Aku kata `Wa Nadimna, Ya, Allah' tetapi kesilapan lalu masih kuulangi.
Aku kata `Subhanallah' tetapi aku masih tak mampu menghayatinya.
Aku kata `Alhamdulillah' tetapi aku masih tak bersyukur dengan kurniaannya.
Aku kata `Allahhuakhbar' tetapi cintaku lebih kepada dunia.
Aku kata `Ma'fi Qalbi Ghairullah' tetapi masih ada ruang di hatiku untuk insan yang tak halal.
Aku kata `aku tak layak ke SyurgaMU' tetapi aku tak sanggup ke NerakaMU.
Aku kata `aku ingin mendekatiMU' namun amalku tak seiring dengan kata-kataku.
Aku malu dengan sepasang mata kurniaanMU ini kerana air mata yang mengalir seakan-akan sia-sia sahaja. Aku malu dengan tangan yang sudah lelah mengelap air mata kerana tingkah laku pemiliknya yang berdosa.

P/S   :   Jika ada yang membenci kita berdakwah,
                itu hal biasa sebab berdakwah bukan
                untuk mengambil hati semua orang tetapi
                untuk memberi suatu kesedaran.


Monday, 22 July 2013

Sekadar peringatan untuk diri sendiri...

      Terlalu lama asyik memandang yang hitam sehingga terlupa yang putih. Kita pun macam ini juga, kan? Apabila kita tengok orang buat perkara yang lain sedikit, kita mulalah bersangka buruk dan mudah sahaja kita jatuhkan hukuman, sampai kita lupa semua kebaikan yang pernah dilakukan selama ini. Kita mula sisihkan mereka. Astaghfirullah...!
      Betul! Kita boleh membenci tetapi benci bukan pada orangnya tetapi benci pada maksiat yang dilakukan mereka dan dalam masa yang sama, janganlah tinggalkan dia dengan maksiat sahaja. Banyakkanlah doa. Ajaklah dia bersama-sama kita agar hatinya terbuka untuk menerima cahaya Allah.
      Betul! Susah untuk bersangka baik tetapi kenalah bermujahadah. Jangan latih diri untuk berterusan bersangka buruk, takut hati bertambah mati; takut riak merajai diri kerana kita bukanlah nabi. Kita ini hanyalah hamba pada Allah dan semuanya berbalik pada hati kerana hati yang akan memberi `guideline' kepada akal untuk berfikir dan akal akan memberikan arahan kepada anggota badan untuk bertindak. Rasulullah SAW bersabda...
      "Sesungguhnya dalam tubuh (manusia) ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati."      (HR Muslim)


Sunday, 21 July 2013

Sepasang Kurung Biru...

Tiada salam atau ucapan
Tiada pesan tanda ingatan
Suasana penuh keriangan
Aku teringat pada seseorang...
Di hari yang berbahagia ini
Hatiku kosong dan sepi sekali
Betapa manis kenangi lalu
Menyambut raya bersama denganmu....
Tiada bisikan lembut yang kudengar
Hanya suara azan sayup bergema
Masih kurasakan hangat tanganmu
Di pagi raya bersalam denganmu...
Tetamu datang tetamu pergi
Namun tak akan tiba orang kunanti
Hanya sepasang kurung nan biru
Menjadi teman mengubat rinduku...
Makkkk....

P/S   :    Adakalanya susah untuk memujuk hati sendiri
                  Sometimes Allah allows us to cry for tears
                  to clear our eyes so we can clearly see the
                  good things ahead.
                  Ya, Allah! Sakitnya rindu ini!

Dia hanya seorang `AYAH' ...

Banyak orang cakap...
Ayah berfikir dalam diamnya. Ayah menahan rasa kesal dalam diamnya juga. Ayah rasa bangga pada anak-anaknya dalam diamnya. Ayah menyimpan semua beban hidup dalam diamnya. Ayah menyayangi anak-anaknya dalam diamnya.
Ada yang berkata begitu dan aku percaya...
Dalam diamnya bukan bermakna ayah tidak memikirkan anak-anaknya, masa depan anak-anaknya bahkan keperluan anak-anaknya sehinggalah mereka dewasa. Dalam diamnya, bukan bererti ayah tidak menyayangi anak-anaknya tetapi ayah selalu menginginkan yang terbaik dalam hidup anak-anaknya. Dalam diamnya bukan bermaksud ayah tidak bangga pada apa yang telah anak-anaknya dapatkan tetapi ayah hanya menjaga agar anak-anaknya tidak menjadi manusia dengan rasa sombong yg luar biasa. Dalam diamnya, bukan bererti ayah tidak memiliki beban tetapi ayah tidak mahu menyusahkan anak-anaknya. Ayah hanya ingin merasakan dan memikul bebannya sendiri kerana ayah sayang anak-anaknya.
Saat anak-anaknya begitu banyak melakukan kesalahan, ayah selalu memaafkan. Ayah selalu menerima permintaan maaf dan penyesalan anak-anaknya. Ayah tidak pernah mencatat semua pengorbanannya untuk anak-anaknya tetapi ayah selalu ingat masa anak-anaknya mula membesar dan memberikan anak-anaknya keberuntungan kerana memiliki saat-saat kenangan itu bersamanya sebab cinta dan ketulusan ayah selalu mengalir sebagaimana aliran darah yang mengalir bersamanya degupan jantung dalam tubuh anak-anaknya.
Sebesar itulah cinta ayah. Tidak terhitung dan seringkali tidak anak-anaknya sedari tetapi tetap selalu menghangatkan kehidupan. Sebelum terlambat, berlarilah dan hampirilah ayah mu. Minta maaf atas semua kesalahanmu dan peluk serta ciumlah ayahmu. Katakan bahawa "Saya sayang, ayah!". Satu kalimat yang cukup sederhana tetapi cukup besar impaknya pada hati seorang ayah. Dia hanya seorang `AYAH' sahaja...

P/S   :    Walaupun panas terik dan hujan lebat...
                  Dia sanggup mencari rezeki untuk anak-anaknya.
                  Walaupun penat dan sakit...
                  Dia tetap teruskan kerja.
                  Dialah, AYAH!

Saturday, 6 July 2013

Senandung Sambal Tumis

Kusandarkan beg sekolahku pada kerusi
lemah dan longai kusalin pakaianku
namun semua keletihan segera jauhkan diri
apabila kurasai sambal tumis ibu...
Aku pun menuntut ilmu di tempat orang
dan selalu sahaja aku dilanda rindu
siang dan malam sering terkenang-kenang
bila lagi akan aku rasa sambal tumis ibu...
Sambal tumis ikan bilis sambal belacan
bersama petai jeruk panggang ikan haruan
gulai tempoyak di musim durian
senantiasa berpuisi dalam kenangan (berpuisi dalam kenangan)
Bila aku berada jauh di rantauan
menjejakkan kaki di bumi asing
namun kerap sahaja aku berdendangan
bersyair menghibur hati yang rungsing
Kini aku tersandar di pangkuanmu
sambil menikmati senandung getah asli
dan berharap agar kau segera hidangkan padaku
sambal tumis ikan bilis yang kuminati.

P/S   :   Ehmm... terliur melihat sambal tumis ikan bilis ini!
               Mak adalah chef terbaik dalam masakan ini...
               Mak, aku rindukan masakan mak! Oh, mak...!!!