Thursday, 12 July 2012

Hebatnya Kuasa Doa

Seorang sahabat pernah menceritakan perihal seorang pekerja kontrak Bangladesh yang bertamu di hadapan Kaabah. Tatkala dia melihat kelibat Multazam (kawasan antara pintu Kaabah dan Hajar Aswad), dia terus meluru dan mengangkat tangan lalu berdoa. Susun katanya cukup mudah dan diucapkan dalam Bahasa Arab yang berslanga Bangladesh namun menjadi penuh bermakna kerana doanya diiringi linangan air mata tulus dan mulus.
Doanya... "Allah... ana fi duaa. Anta fi jawaab. Lau Anta ma fi jawaab. Ana fi musykillah. (Ya, Allah! Aku punya permohonan kepada-MU dan ENGKAUlah yang menerima doaku. Jika ENGKAU tidak memperkenankan doaku, nescaya aku akan ditimpa masalah)"
Mudah sekali doanya, bukan? Tidaklah menjadi sesuatu yang penting doa itu disusun dengan kata-kata indah tetapi yang lebih penting, doa itu tersisip indah dengan ketulusan dan keikhlasan kepada ALLAH SWT.

Doalah dengan YAKIN!
Sesiapa yang tidak berdoa maka sombonglah sifatnya. Ada juga yang berkata... "Walaupun  banyak berdoa namun tidak memberi kesan dan masalah terus datang." Ini adalah pandangan  yang tidak tepat dalam masalah berdoa. Walaupun doa itu tidak berkesan, periksalah kembali cara kita berdoa. Mungkin ada tersilap atau tersalah kaedah.Tetapi jika betul kaedahnya, pasti punya hikmah di sebaliknya. Yakinlah, doa itu tidak akan tersisa tetapi bakal disimpan sebagai `surprise' untuk kita di akhirat kelak. ALLAh tidak akan mensia-siakan kesungguhan hamba-NYA. Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah RA... "Berdoalah dengan penuh keyakinan bahawasanya ALLAH SWT pasti menerimanya. Ketahuilah bahawasanya ALLAH SWT tidak akan menerima doa daripada sekeping hati yang lalai dan leka."
Doa siapa yang paling POWER?
Berdasarkan hadis sahih, inilah senarai yang dianggap `first class' iaitu...
  1. Doa ibu dan ayah
  2. Doa orang yang dizalimi
  3. Doa orang yang berpuasa
  4. Doa orang yang bermusafir
  5. Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain dalam keadaan sahabatnya tidak mengetahui akan doanya itu
Justeru jika kita terdiri daripada salah seorang dalam senarai itu; jangan lepaskan peluang dengan tawaran ini.
Doa tidak memerlukan MODAL
Sesungguhnya doa bukanlah sesuatu yang memerlukan modal berbentuk RM untuk dibayar. Sesiapa jua pun boleh berdoa. Yang miskin, kaya ataupun sederhana. Namun begitu, doa sangat `mahal' nilainya di sisi ALLAH. ALLAH sangat suka kepada hamba-NYA yang memohon doa dan ALLAH sangat benci kepada hamba-NYA yang malas meminta.
Berbeza dengan manusia, semakin banyak diminta semakin rimas jadinya. Justeru itu berdoalah kerana ALLAH senantiasa hampir dengan kita. Walaupun mungkin tidak nampak kesannya di dunia namun yakinlah bahawa doa  itu nanti bakal terhimpun dalam timbangan kebajikan dan menjadi pemberatnya di akhirat kelak jika amalmu tidak mencukupi.
ALLAH sesekali tidak akan memungkiri janjiNYA. Hakikatnya jika doamu termakbul di dunia, anda akan gembira. Begitu juga jika doamu belum terlaksana, anda tetap akan menerima bahagianya di akhirat kelak. Amin!

kredit : Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

P/S :  Anakanda kesayangan bonda...
          Ketika anakanda minum air yang panas maka
          anakanda dengan berat akan mengatakan "Alhamdulillah"
          tetapi ketika anakanda minum air yang dingin maka
          semua organ dalam tubuh anakanda akan mengatakan
          "Alhamdulillah!"
          Renung-renungkanlah kata-kata ini agar dapat menambah ilmu anakanda

No comments:

Post a Comment