Cuaca kat luar... kejap panas, kejap sejuk. Tengah hari pulak, panas sangat sampai boleh jer nak goreng telur atas bonet kereta. Petangnya pulak, hujan lebat-selebatnya. Setakat nak banjir kilat ke, nak tumbangkan pokok ke, bila-bila masa sahaja. Samalah dengan suhu badan aku ini... kejap panas, kejap sejuk, kejap suam-suam ketiak. Nak kata demam, pagi tadi boleh jer aku belasah mee hoon goreng dengan teh o ais. Tetapi petang ni, tetiba jer boleh datang selsema, panas badan, batuk siap main tangkap kepala sekali. Apabila dah tangkap kepala, apa kerja pun tak boleh buat. Kepala mula berpusing macam gasing. Satu idea apa pun tak keluar. Hampeh!
Sebetulnya... kesihatan aku beberapa hari ini tak berapa nak konsisten. Demam, batuk, selsema, sakit kepala, penyakit basic manusia ni memang datang silih-berganti. Dah macam kerja ikut shif pulak encik penyakit ni. Yang aku tahu tentang sakit ni, selain boleh menghapuskan dosa-dosa kecil kita; juga untuk memperingatkan kita akan betapa nikmatnya waktu sihat dulu. Apabila Allah bagi kita nikmat sihat, banyak benda kita boleh buat. Apabila badan sihat, otak pun cerdas. Apabila otak cerdas, setiap keputusan boleh dibuat dengan waras dan bernas. Jadi nikmatilah waktu sihat kita sebaik mungkin.
Satu masalah aku apabila sakit, aku malas atau dengan kata lain aku ni alah dengan klinik. Aku akan cuba lawan sakit tu dengan antibodi badan sendiri. Tak boleh nak manjakan sangat badan kita ni dengan ubat. Tetapi apabila asyik terlentang kat rumah, makin tak sihat pun ada rasanya ni. Tak boleh jadi, aku kena keluar; keluar tengok-tengok alam dan manusia. Panjat tangga jejantas pun bagus juga, boleh keluar peluh.
Sebenarnya... aku cukup tak suka makan ubat; lebih-lebih lagi ubat yang jenis cecair. Aku lebih rela telan pil (walau sebesar mana pun), aku sanggup telan; asal sahaja bukan ubat cecair. Dahulu masa aku sakit, abah ajar aku makan ubat (pil) dengan biskut lemak (sekarang orang panggil cream crackers). Caranya... makan pil tu bersama biskut lemak. Jadi kuranglah rasa pahitnya. Best, kan cara abah aku.
Sakit yang paling aku tak boleh tahan, apabila sakit kepala datang melanda. Adakalanya dia tiba tanpa bagi salam pun. Dia punya sakit macam ada peluru tertembak kat kepala ni; melekat jer kat dalam. Nak keluarkan tak boleh. Walaupun badan sihat tetapi apabila sakit kepala, apapun tak boleh nak buat. Tetapi aku ada cara nak hilangkan sakit tu... senang jer... tidur atau mandi.
Seperti yang aku cakap awal-awal tadi, hargailah diri kita ketika sihat kerana apabila sihat, macam-macam kita boleh buat. Kita boleh bekerja, boleh jalan-jalan, boleh makan apa yang kita suka malah boleh beribadat dengan sempurna. Kalau dah sakit, tilam dan selimutlah teman tapi mesra kita. Adakalanya nak telan air sejuk pun tak ada selera. Makan nasi pun rasa macam makan kertas surat khabar; tak ada rasa apa-apa pun.