Kerap kali apabila kita jujur, kita akan dituduh bodoh. Apabila kita mengalah, kita akan dianggap lemah. Padahal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu, sukar untuk mendapatkannya. Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut jalan salah lalu dia cepat sampai; sedangkan kita di lorong yg betul, masih lelah menapak dan merangkak. Apabila yg batil ketawa, yg benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tegar melihat kebatilan melonjak ria.
Acap kali duri berselindung di sebalik bunga lalu kita yg tercium keharumannya alpa akan tusukan bisa di sebaliknya. Huluran tangan yg ikhlas dan lembut adakalanya dikilas dalam diam dan dendam. Sering juga baldu yg lembut dan halus dihamparkan tetapi di bawahnya ada belati tajam yg sedia terhunus.
Namun, jika itu yg kita ingatkan kpd yg lain, pasti ada yg mengatakan bahawa itu hanya `escapisme'. Apabila kecewa dgn manusia, orang akan `lari' kpd Tuhan. Apabila tidak dapat meraih dunia, orang mula merindui akhirat. Apabila terlepas kenikmatan nafsu, barulah ada yg merintih Syurga itu ada.
Bukan...bukan begitu. Keyakinan kpd Allah dan Hari Akhirat itu adalah tunjang, teras dan pegangan semasa kita hidup di dunia. Jangan terperangkap oleh `etheis' dalam diri yg mendakwa bahawa manusia itulah yg `mencipta' Tuhan demi ketenangan. Selalu kita diperingatkan bahawa selesaikanlah urusan kita dengan Allah, barulah Allah akan membantu kita menyelesaikan urusan kita dgn manusia. Dan sesiapa yg memburu akhirat, dunia akan melutut di kakinya.
Kita tidak selalunya benar dalam pendirian dan tindakan, kita hanya manusia. Walaupun sungguh hati kita ingin mengikut jalan Allah tetapi kerana kealpaan dan kejahilan, kita tersasar juga. Kita ingin tenang tetapi oleh kerana ketipisan iman dan zikir, pendirian kita goyah juga. Ada rasa marah, ada rasa resah tetapi semua itu adalah `bayaran tol' di lebuh raya mujahadah.
Ya, Allah...ampunkanlah aku! Berikanlah aku kekuatan utk memaafkan diri aku sendiri dan juga orang lain. Aku masih tidak pandai mensyukuri nikmatMU kerana aku masih mendidik hati dalam menerima ujianMU. Ya, Allah...cuma satu...cuma satu...janganlah ENGKAU serahkan diriku kpd diriku sendiri walau sekelip mata. Kutiplah aku, Ya Allah...untuk selalu dibimbing oleh hidayah dan taufikMU. Ya Allah...aku senantiasa yakin bahawa kejujuran itu kemenangan dan pilihlah aku untuk menjadi orang yg jujur dan benar walau apa pun keadaan dan cabarannya. Amin!
P/S : Kita semua ada buat dosa. Kita semua tak sempurna
tetapi janganlah jadikan semua itu sebagai alasan
untuk terus jauh daripada Allah.