Friday, 23 August 2013

Hadiahkanlah aku doamu, sahabat!

Sahabat...
Jika aku sahabatmu yang jahat, tolong doakan aku berpaling daripada kejahatan. Tolong doakan aku agar aku menjadi sahabatmu yang baik. Jika aku sahabatmu yang baik, tolong doakan kebaikan aku ini tulus dengan keikhlasan. Jika aku sahabatmu yang ikhlas, tolong doakan keikhlasanku sampai ke pangkuan Ilahi. Tolong gerakkan setiap tindakan aku padamu dengan sebuah doa. Tolong doakan aku agar aku tidak lupa untuk mendoakanmu jua.
Sahabat...
Bagiku hidup ini sederhana sahaja. Jika engkau senang bersahabat denganku, aku akan sambut dengan gembira walaupun engkau tidak suka. Aku tetap akan ketawa bersama dunia kerana di dalam sebuah persahabatan, rasa senang hati lebih penting sekalipun tidak semua orang boleh menyenangkan hati kita. Termasuklah aku. Bukan setiap saat aku mampu memberimu rasa aman dan nyaman.
Sahabat...
Mengenali seseorang adakalanya membuat kita ketawa, mengenali seseorang itu juga adakalanya membuat kita mengalirkan airmata. Sesungguhnya...mengenali seseorang itu mampu memberi kita sejuta rasa. Marah, sedih, gembira, sayang dan rindu tetapi sedarkah kita bahawa mengenali seseorang itu sebenarnya adalah suatu anugerah? Biarpun hadirnya hanya sekadar sementara dan sekadar teman seketika; bersyukurlah dengan kehadirannya kerana barangkali melalui saat itu kita akan mengerti apa ertinya sebuah persahabatan.
Sahabat...
Seandainya engkau bertemu seorang kawan yang sanggup bersusah atas nama kesetiaan, mendahulukanmu atas nama kebajikan, menyimpan keaibanmu atas nama kejujuran, menegur kelemahanmu atas nama kebaikan, memendam rasa terkilan demi menjaga perasaan...ketahuilah bahawa dia bukanlah seorang kawan tetapi seorang saudara dan sahabat sejati yang sukar dicari ganti.

Buat Renungan Bersama...

Aku kata `Astaghfirullah' tetapi hati aku masih gemar akan maksiat.
Aku kata `Wa Atubu Ilaihi' tetapi jasad aku masih melakukan dosa yang sama.
Aku kata `Wa Nadimna, Ya, Allah' tetapi kesilapan lalu masih kuulangi.
Aku kata `Subhanallah' tetapi aku masih tak mampu menghayatinya.
Aku kata `Alhamdulillah' tetapi aku masih tak bersyukur dengan kurniaannya.
Aku kata `Allahhuakhbar' tetapi cintaku lebih kepada dunia.
Aku kata `Ma'fi Qalbi Ghairullah' tetapi masih ada ruang di hatiku untuk insan yang tak halal.
Aku kata `aku tak layak ke SyurgaMU' tetapi aku tak sanggup ke NerakaMU.
Aku kata `aku ingin mendekatiMU' namun amalku tak seiring dengan kata-kataku.
Aku malu dengan sepasang mata kurniaanMU ini kerana air mata yang mengalir seakan-akan sia-sia sahaja. Aku malu dengan tangan yang sudah lelah mengelap air mata kerana tingkah laku pemiliknya yang berdosa.

P/S   :   Jika ada yang membenci kita berdakwah,
                itu hal biasa sebab berdakwah bukan
                untuk mengambil hati semua orang tetapi
                untuk memberi suatu kesedaran.