Terlalu lama asyik memandang yang hitam sehingga terlupa yang putih. Kita pun macam ini juga, kan? Apabila kita tengok orang buat perkara yang lain sedikit, kita mulalah bersangka buruk dan mudah sahaja kita jatuhkan hukuman, sampai kita lupa semua kebaikan yang pernah dilakukan selama ini. Kita mula sisihkan mereka. Astaghfirullah...!
Betul! Kita boleh membenci tetapi benci bukan pada orangnya tetapi benci pada maksiat yang dilakukan mereka dan dalam masa yang sama, janganlah tinggalkan dia dengan maksiat sahaja. Banyakkanlah doa. Ajaklah dia bersama-sama kita agar hatinya terbuka untuk menerima cahaya Allah.
Betul! Susah untuk bersangka baik tetapi kenalah bermujahadah. Jangan latih diri untuk berterusan bersangka buruk, takut hati bertambah mati; takut riak merajai diri kerana kita bukanlah nabi. Kita ini hanyalah hamba pada Allah dan semuanya berbalik pada hati kerana hati yang akan memberi `guideline' kepada akal untuk berfikir dan akal akan memberikan arahan kepada anggota badan untuk bertindak. Rasulullah SAW bersabda...
"Sesungguhnya dalam tubuh (manusia) ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati." (HR Muslim)